“Tetapi, tidak sangka dia serius dan benar-benar melakukan apa yang diberitahu kepada saya” jelas Murad, 29.

Murad merupakan bekas tunang Aina dan mereka bakal mendirikan rumah tangga pertengahan tahun hadapan.

Menceritakan kisah sedih itu, Murad mendakwa tindakan nekad tunangnya untuk menggantung diri di dalam bilik sewanya disebabkan oleh masalah kemurungan.

“Kami berkawan sejak menuntut di menara gading lagi.

“Sepanjang lapan tahun perkenalan, saya begitu senang dengan perwatakannya. Dia sentiasa ceria dan seorang wanita yang sangat disenangi oleh rakan-rakannya.

“Saya tidak pernah mendengar Aina merungut atau bercerita perkara negatif berkaitan kehidupan hariannya. Semuanya indah belaka,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Murad lagi, tidak dinafikan karakter Aina berubah sedikit demi sedikit selepas dia berpindah ke tempat kerja baharu dua tahun lalu.

“Rezeki Aina memang sangat murah. Selepas beberapa minggu menamatkan pengajian, dia dipanggil bekerja sebagai seorang akauntan di sebuah firma di sekitar Lembah Klang.

“Prestasinya yang cemerlang menyebabkan dia dilamar salah sebuah firma akauntan terkemuka di Kuala Lumpur.

“Bermula dari saat itu, saya lihat karakternya mula berubah sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Tertekan

Daripada seorang ceria dan peramah, Aina bertukar menjadi seorang yang serius dan suka mengasingkan diri.

Bagaimanapun menurut Murad, dia percaya perubahan tersebut disebabkan tanggungjawab baharu sebagai ketua unit yang dipikulnya.

“Pernah kami keluar makan bersama, dia mengamuk apabila makanan dipesan lambat sampai.

“Dia juga pernah menangis dan meraung secara tiba-tiba. Pertama kali melihat kelakuan anehnya itu, saya terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Tanpa dipujuk, Aina berhenti menangis sendiri dan memberitahu dia kini dalam keadaan tertekan,” jelasnya.

Menurut Murad lagi, selepas insiden itu, Aina menjadi semakin aneh.

“Karakternya berubah-ubah. Adakala dia ceria seperti yang saya kenali dahulu.

“Adakala dia akan marah-marah dan serius. Pernah saya mengadu masalah ini kepada seorang rakan dan dia mengatakan, itu mungkin disebabkan perubahan emosi wanita yang datang bulan,” jelasnya.

Akui Murad, perhubungannya dengan Aina agak terganggu akibat karakter tunangnya yang sentiasa pasang surut.

Jelak dengan keadaan tersebut, Murad mengambil keputusan untuk memutuskan tali pertunangan.

“Seperti yang diduga, Aina menangis dan merayu apabila menerima berita tersebut.

“Tetapi tangisan itu tidak berpanjangan. Dia berhenti dan berkelakuan seperti biasa. Katanya, dia terima keputusan saya dan meminta maaf kerana emosinya yang berubah-ubah membuatkan saya bosan,” jelasnya.

Gantung diri

Malam itu, Aina menelefon Murad seperti biasa. Wanita tersebut menyuarakan hasrat ingin membunuh diri kerana gagal mengawal emosi.

Dua hari kemudian, Murad menerima panggilan telefon daripada teman serumah Aina.

“Pada waktu itu saya baru sahaja ingin makan tengah hari. Terkejut saya apabila suara daripada gagang kedengaran cemas dan kelam-kabut.

“Rakannya memberitahu Aina ditemui mati dengan kepala tergantung di dalam biliknya. Pada mulanya saya hanya ketawa kerana menyangka ia hanyalah prank semata-mata.

“Tetapi apabila suara wanita tersebut benar-benar cemas dan separa menangis, saya bergegas ke rumah sewa Aina,” jelasnya.

Hampir luluh jantung Murad apabila melihat sekumpulan anggota polis memenuhi ruang kediaman sewa itu.

Mulutnya terkunci apabila melihat polis mengusung mayat Aina keluar dari bilik.

“Saya rasa kesal dengan apa yang terjadi. Jika saya tidak mengambil keputusan untuk memutuskan tali pertunangan, Aina mungkin masih lagi hidup sehingga ke saat ini.

“Saya menceritakan perkara yang sebenar kepada keluarganya dan meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan.

“Bagaimanapun, ibunya mendakwa Aina memang mengalami masalah kemurungan beberapa tahun lalu kerana tekanan kerja. Sebagai tunang, saya rasa begitu teruk kerana langsung tidak mengetahui masalah yang dialami.

“Sebaliknya, semakin mengeruhkan keadaannya dengan memutuskan tali pertunangan,” jealsnya.

Ujar Murad, perasaan bersalah masih lagi menyelubungi dirinya sehingga ke hari ini.

Murad kesal memutuskan pertunangan dengan Aina mengeruhkan lagi keadaan penghidap kemurungan itu apabila wanita berusia 18 tahun nekad membunuh diri.