Walaupun telah memiliki seorang isteri yang boleh dikira cukup taat dan pandai dalam menguruskan rumah tangga, Osman (bukan nama sebenar), 47, dalam diam telah menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis yang berstatus pelajar di sebuah universiti awam di ibu negara.

Menurut bapa kepada 5 orang cahaya mata itu, dia berkenalan dengan gadis tersebut yang dipanggil Mira (bukan nama sebenar), 21, ketika gadis berkenaan membuat latihan amali di sebuah kilang yang sama tempat Osman bekerja.

Semasa menjalani latihan amali di kilang elektronik tersebut, Mira telah diletakkan di bawah seliaan Osman selama enam bulan sepanjang gadis tersebut berada di sana.

Menurut Osman, pada awalnya dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Mira, lebih-lebih lagi sedar jurang usia antaranya dengan gadis tersebut agak jauh iaitu 26 tahun.

“Saya menganggap Mira seperti anak saya kerana saya juga memiliki seorang anak lelaki sebaya dengannya,” tutur lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Personaliti menarik

Pada bulan pertama sewaktu Mira menjalani latihan amali di sana, hubungan kedua-dua mereka berjalan seperti biasa antara pelatih dengan penyelia yang ditugaskan untuk memantau anak buahnya.

Sebagai pelatih, Mira sering merujuk Osman dan menyebabkan hubungan antara mereka menjadi semakin rapat di tempat kerja.

Osman mengakui bahawa Mira mempunyai personaliti yang cukup menarik dan sempurna. Tambahan pula, gadis itu cukup peramah dan mesra bukan sahaja dengan Osman, malah dengan rakan-rakan lain di tempat kerja.

“Mira terlihat matang berbanding usianya yang sebenar dan perkara itu membuatkan saya tertarik dengannya.

“Tambahan pula, Mira pandai mengambil hati saya dengan karakternya yang manja berjaya memikat hati saya untuk mengenalinya,” tutur Osman.

Dek kerana hubungan antara kedua-duanya semakin rapat, Osman mengakui telah jatuh hati dengan Mira. Bahkan, lelaki itu sebenarnya tidak bertepuk sebelah tangan apabila gadis tersebut mengakui cita rasanya terhadap lelaki yang lebih berusia daripadanya.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sejak daripada itu, Osman dan Mira akhirnya telah menjadi pasangan kekasih hanya selepas tiga bulan gadis tersebut menjalani latihan amali.

Selain berjumpa di tempat kerja, Osman dan Mira juga kerap keluar bersama seperti menonton wayang atau makan di luar.

Namun, pada masa sama, Osman terpaksa berhati-hati tentang hubungannya dengan gadis itu, takut kalau-kalau diketahui oleh rakan sekerjanya yang lain.

Ditangkap

Walaupun ada dalam kalangan rakan sekerjanya telah dapat menghidu hubungan antara Osman dengan Mira, lelaki itu bijak menyembunyikan kisah percintaannya dengan memberi alasan sudah tua dan mempunyai anak-anak yang kian membesar.

Satu hari, Osman terpaksa bekerja lebih masa untuk menyiapkan kerja, namun Mira telah menawarkan diri untuk membantunya dan menemani lelaki itu sehingga malam.

Suasana di tempat kerja yang sunyi tanpa sesiapa akhirnya telah menyebabkan kedua-duanya terlanjur kerana mengikut nafsu yang telah dikuasai syaitan.

“Saya terlupa setiap pergerakan di tempat kerja dikawal televisyen litar tertutup (CCTV) dan aktiviti sumbang yang dilakukan dirakam CCTV,” ujarnya.

Semasa asyik melayan nafsu, perbuatan kedua-dua pasangan itu sebenarnya dilihat oleh pengawal keselamatan melalui CCTV sehingga mereka akhirnya ditangkap semasa sedang melakukan aktiviti terkutuk.

Perbuatan pasangan itu telah diketahui pihak pengurusan dan mereka dikenakan tin­dakan tatatertib kerana berkelakuan sumbang di tempat kerja.

“Saya telah dibuang kerja begitu juga dengan Mira yang ditamatkan tempoh latihan amalinya,” kata Osman yang telah memberitahu isterinya bahawa dia telah berhenti kerja kerana mempunyai masalah dalaman dengan pihak kilang.

Selepas lebih sebulan kejadian itu berlaku, Osman mendapat perkhabaran bahawa Mira telah menangguhkan pengajiannya kerana masalah kesihatan.

Pada masa sama, Osman juga berharap agar gadis itu tidak mencarinya selepas ini kerana bimbang kisah hubungan mereka terbongkar dan diketahui oleh isteri dan anak-anaknya.