Meskipun baru mempelajarinya iaitu sejak tiga tahun lalu, dia yang bekerja sebagai polis bantuan cukup mahir mengendalikan alat muzik berkenaan.

Selain berkeupayaan mendendangkan muzik dalam pelbagai genre, anak jati Kuantan, Pahang itu turut mendalami ilmu pembuatan seruling yang kini menjadi hobinya pada masa lapang.

“Saya jatuh cinta pada seruling sejak pertama kali mendengar rakan baik yang juga pemain seruling profesional, Rohizat Islam membuat persembahan di Teluk Cempedak.

“Selepas itu, saya telah belajar bermain seruling dengan Rohizat dan menyertai kumpulan Seruling Malaysia di laman sosial Facebook sebelum belajar cara-cara membuatnya,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Tertua
Meskipun bermain seruling tampak mudah, ia sebenarnya tidak seperti yang digambarkan kerana terdapat banyak teknik dan kod notasi yang perlu diingat.

Seruling turut dikenali sebagai flut termasuk dalam kategori alat muzik tiup yang diperbuat daripada kayu dan yang mengeluarkan bunyi daripada aliran udara merentasi lubang. Aliran udara itu menyebabkan getaran pada lubang tersebut.

Dikategorikan sebagai alat tiupan pinggir, ia diperbuat daripada buluh namun evolusi pembuatan turut menghasilkan seruling daripada aluminium dan plastik.

Selain suara manusia, seruling merupakan alat muzik tertua yang ditemui sekitar 35,000 ke 43,000 tahun lalu. Seruling tertua ditemui di Swabian Alb, Jerman. Seruling-seruling ini menunjukkan tradisi muzik kehadiran manusia moden yang terdapat di Eropah.

Dalam pada itu, Alias mengambil masa seminggu untuk menguasai cara tiupan yang betul sebelum belajar kod-kod notasi untuk mendendangkan alunan muzik.

Menurutnya, cara meniup seruling hendaklah betul bagi mengeluarkan bunyi yang baik. Ia melibatkan udara dimampatkan di perut dan dihembuskan menerusi lubang tiup. Sekiranya sekadar angin kosong dihembus, seruling tidak akan menghasilkan bunyi.

“Pada awalnya, ia agak sukar buat saya untuk memahami cara tiupan yang betul. Selain itu, meniup seruling tidak digalakkan ketika perut penuh kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu muntah.

“Saya berjaya menguasai cara tiupan dalam tempoh seminggu dan selepas itu baru ke teknik seterusnya iaitu mengenali pic not iaitu notasi penghasilan bunyi yang mengalunkan sebuah muzik,” jelasnya.

Selain bermain seruling, Alias turut belajar cara pembuatan seruling bersama seorang lagi rakannya, Lang Megat Mahaizan Lang Megat Mazlan, 25.

Baru sahaja berkecimpung secara separuh masa sejak awal tahun lalu, Alias dan Lang Megat Mahaizan kini menjalankan pembuatan dan menjual seruling.

Bunyi
Jelasnya, pembuatan seruling tidaklah begitu kompleks tetapi ia memerlukan ketelitian kerana sedikit kerosakan boleh menjejaskan bahan utama seruling iaitu buluh.

Pembuatan seruling yang baik memerlukan buluh yang berkualiti. Alias lebih suka menggunakan buluh temiang kerana ia lebih mudah diperoleh dan ia menghasilkan bunyi yang lebih jelas dan merdu.

Seruling dihasilkan dalam pelbagai saiz yang mempunyai kunci nada yang berbeza.

“Selain buluh temiang, kita boleh juga guna buluh lain seperti buluh telur atau lemang asalkan kematangan dan saiznya diameternya sesuai untuk membuat seruling.

“Saiz diameter yang ideal bagi membuat seruling ialah 12 milimeter (mm) hingga 28mm mengikut jenis kunci nada yang ingin dihasilkan,” katanya yang mendapatkan sumber buluh dari kawasan hutan di Sungai Lembing, Kuantan.

Tambahnya, kepakaran mencari buluh diserahkan kepada rakannya, Lang Megat Mahaizan yang lebih arif dengan selok-belok kawasan di Sungai Lembing dan lebih kenal dengan jenis buluh untuk pembuatan seruling.

Selepas buluh diperoleh, ia akan dipotong seterusnya direndam dengan air garam dan pandan selama dua minggu untuk membuang baunya sebelum dijemur sehingga kering.

Menurut Lang Megat Mahaizan, kebiasaannya satu ruas buluh boleh menyediakan dua hingga tiga batang seruling.

“Buluh untuk menghasilkan seruling mestilah cukup matang bererti ia tidak terlalu muda dan lembik. Buluh untuk menghasilkan seruling perlu cukup padat dan tebal supaya semasa proses pembuatan ia tidak retak,” ujarnya.

Seterusnya proses pembuatan akan dimulakan dengan menebuk lubang pada buluh dengan gerudi. Alias melakukan kerja tersebut dalam sebuah bilik khas di rumahnya.

“Terdapat tujuh lubang perlu ditebuk termasuk lubang tiup dan semasa proses pembuatan, seruling akan ditiup terlebih dahulu bagi memastikan ia menghasilkan kunci nada yang tepat.

“Bagi mendapatkan kunci nada yang tepat, saya menggunakan satu alat pengesan khas dan juga aplikasi kunci nada daripada telefon pintar serta rujukan melalui graf nada,” katanya.

Tambahnya, sedikit kesilapan akan menjejaskan penghasilan bunyi malah merosakkan seruling.

Selepas selesai proses pembuatan hiasan seruling akan direka dengan ukiran pelbagai motif mengikut permintaan pelanggan seterusnya disapu dengan lapisan syelek.

Meskipun permintaannya tidak begitu tinggi tetapi setiap bulan Alias dan Lang Megat Mahaizan mendapat tempahan untuk membuat seruling.

Alias memberitahu, setiap pembuat seruling mempunyai identiti tersendiri yang membuatkan ia menjadi pilihan pemain seruling untuk kekal menempah instrumen mereka.

Jelasnya, setiap seruling dijual mengikut harga berbeza bergantung kepada jenis kunci nada. Anggaran harga bermula antara RM50 hingga RM120.

“Setakat ini penjualan seruling telah membantu menjana pendapatan saya antara RM600 hingga RM700 sebulan. Tempahan bukan sahaja dibuat oleh pemain seruling tetapi juga dari organisasi yang ingin menjadikan ia sebagai cenderamata.

“Muzik bukan sahaja menghiburkan malah ia boleh menjana pendapatan. Ia bergantung kepada minat seseorang dan kesungguhan untuk belajar. Instrumen seruling adalah warisan yang perlu dipertahankan dan dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya yang juga pengasas seruling jenama Siong.

Selain mampu bermain seruling, Alias Sepian dan Lang Megat Mahaizan Lang Megat Mazlan turut membuat seruling, sekali gus membantu memperkembangkan seni permainan alat muzik tersebut.