Hal ini kerana, ia merupakan momen untuk meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga.

Namun, keriangan pergi bercuti terutama di kawasan air terjun atau laut boleh bertukar tangisan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini lebih-lebih lagi melibatkan nyawa individu tersayang.

Ibu bapa perlu berwaspada kerana kejadian lemas sejak kebelakangan ini semakin banyak berlaku.

Antara kes itu termasuklah lima sekeluarga mati lemas selepas terperangkap dalam pasir jerlus ketika mandi-manda di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Kejadian berlaku apabila kesemua mangsa secara tiba-tiba tenggelam akibat terjerlus ke dalam pasir pantai.

Kes lain membabitkan tujuh sahabat mati lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi itu, dua daripada mereka dikatakan tergelincir ke dalam air terjun dan cuba diselamatkan oleh seorang lagi mangsa tetapi dia turut tergelincir sebelum lemas.

Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu turut menelan seorang lagi korban.

Mangsa, Amirul Alif Najmi Amran, 16, mati lemas setelah ditarik ke tengah laut oleh arus deras ketika mandi-manda di pantai itu bersama dua rakannya.

Pengetahuan

Tragedi lemas tersebut mencuri perhatian Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud sehingga mengundang rasa sedih dalam dirinya.

Katanya, kemalangan seperti itu sukar diramal namun ia boleh dielakkan.

“Kebiasaannya, tragedi lemas berlaku disebabkan ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai destinasi percutian tersebut.

“Pelancong yang tidak begitu arif mengenai sesuatu kawasan itu cenderung untuk melakukan aktiviti perkelahan tanpa rasa khuatir dari segi keselamatan.

“Disebabkan itu, pihak berkuasa perlu meletak dan menambah jumlah papan tanda amaran di kawasan-kawasan berbahaya supaya pelancong tahu tahap keselamatan lokasi perkelahan mereka,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menyedari pasti terdapat risiko segelintir individu yang tidak mengendahkan tanda amaran tersebut, Fatimah menyarankan masyarakat setempat untuk memainkan peranan mereka dengan menegur sekiranya ternampak pengunjung yang berdegil.

Hal ini kerana, katanya, masyarakat tempatan lebih arif akan risiko bahaya di sesebuah destinasi pelancongan.

“Justeru, mereka perlu pantas bertindak dengan menegur pelancong yang melakukan aktiviti tersebut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Psikologi dan Pengarah Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, ibu bapa merupakan individu yang bertanggungjawab memastikan keselamatan anak-anak ketika menjalani aktiviti riadah.

Katanya, biarpun ghairah menjalani aktiviti tersebut, ibu bapa tidak seharusnya berkompromi soal keselamatan anak-anak.

“Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak sesekali leka menjalani aktiviti riadah hinggakan keselamatan anak itu terabai.

“Hal ini kerana insiden kemalangan itu boleh berlaku dalam sekelip mata sekiranya langkah berjaga-jaga tidak dititikberatkan,” jelasnya.