Meskipun kesibukan terlibat untuk persediaan majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ayahanda, Al-Sultan Abdullah Almarhum Sultan Ahmad Shah, baginda tetap meluangkan masa dan menyapa pengamal media dari Kosmo! dan Bernama yang hadir dengan mesra pada sesi temu bual khas baru-baru ini.

Tiada sekelumit pun timbul rasa kekok walaupun dek jurang status yang sangat berbeza. Baginda mencerminkan keperibadian persis Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Ke mana tumpahnya tuah kalau tidak ke nasi, Tengku Hassanal bertitah, baginda sentiasa memegang nasihat yang diberikan oleh ayahanda dan bonda supaya bersopan- santun dengan rakyat dan tidak sombong.

“Sejak kecil ayahanda dan bonda sentiasa menerapkan kepada kami adik-beradik dengan sifat rendah diri, bersopan santun dengan rakyat walaupun dari mana mereka datang, selain mendidik kami dengan ajaran agama.

“Saya juga sentiasa berpegang kepada pesan ayahanda supaya mengikut seperti resmi padi, makin berisi makin menunduk dan jangan lupa diri. Kata ayahanda dan bonda juga kita tidak boleh sombong kerana semua manusia adalah makhluk ciptaan Allah,” titah baginda dengan senyuman.

Tok bok, Babah dan Mama

Tambah baginda yang memanggil ayahanda dan bonda dengan panggilan ‘babah’ dan ‘mama’, asuhan yang diberikan oleh kedua ibu bapanya telah banyak membentuk keperibadiannya sebagai seorang insan, malah baginda juga banyak belajar daripada keperibadian Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah sendiri serta Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Musta’in Billah atau lebih mesra disapa ‘tok bok’.

Menyingkap latar belakang baginda, Tengku Hassanal merupakan putera sulung Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah iaitu cahaya mata yang paling dinanti selepas 10 tahun baginda berdua mendirikan rumah tangga.

Dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang menggantikan ayahanda baginda yang kini merupakan Sultan Pahang keenam, Tengku Hassanal turut menyandang jawatan Pemangku Raja Pahang sepanjang Al-Sultan Abdullah ditabal sebagai YDPA.

Diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, Tengku Hassanal mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Saint Thomas, Kuantan pada tahun 2002 hingga 2005 sebelum berpindah ke Caldicott Preparatory School, London, Britain pada tahun 2006 ketika usia baginda 10 tahun.

Baginda kemudian menuntut di Sherbon School, London pada tahun 2015 seterusnya menyambung pengajian di University Institute - Geneva School of Diplomacy and International Relation dalam jurusan Ijazah Seni Perhubungan Antarabangsa pada tahun 2015 hingga 2018.

Selepas tamat pengajian universiti, Tengku Hassanal kemudian mengambil latihan ketenteraan Initial Cadet Familiarisation Training Program di Kem Batu 10, Pekan, Pahang pada 27 September 2018.

Baginda terbang semula ke Britain untuk mengambil Commisioning Course pada 1 Januari lalu di Royal Military Academy Sandhurst yang juga merupakan akademi sama Al-Sultan Abdullah menjalankan latihan ketenteraan pada usia mudanya.

Bakal menamatkan latihan pada 14 Disember depan, Tengku Hassanal bertitah, baginda bercadang menyambung latihan bersama tentera udara untuk kursus juruterbang.

Berkongsi pengalaman menuntut di luar negara sejak usia 10 tahun, Tengku Hassanal memberitahu, di London baginda dilayan sama seperti pelajar lain. Hal ini menjadikan baginda dapat belajar untuk hidup seperti orang biasa.

“Tujuan ayahanda menghantar saya belajar di luar negara pada usia muda adalah untuk saya belajar berdikari. Pengalaman ini juga mengajar saya untuk tidak besar kepala dan menjadi rendah diri.

“Dalam latihan ketenteraan pula, saya banyak belajar tentang kerja berpasukan, tidak boleh malas dan cepat menghukum. Ia mendidik kita lebih beretika, berdisplin dan lebih memahami operasi dalam mentadbir sebuah organisasi,” titah baginda yang berkongsi minat dengan Al-Sultan Abdullah kepada sukan polo.

Jangan lupakan rakyat

Tambah Tengku Hassanal lagi, di London tidak ramai orang yang mengetahui bahawa baginda merupakan putera raja sehingga ada antara mereka yang membuat pencarian di internet. Di sana juga baginda lebih dikenali dengan nama Shah.

Berkongsi tentang kehidupan membesar bersama ayahanda dan bonda, baginda bertitah keduanya memainkan peranan tersendiri sebagai ibu bapa.

Apabila ditanya siapa yang paling garang, Tengku Hassanal menjawabnya dengan tertawa dan memberitahu bahawa bonda baginda lebih garang daripada ayahanda.

“Mama (Tunku Azizah) selalunya akan menjadi pengantara jika ada sebarang teguran daripada babah (Al-Sultan Abdullah), sebagai contoh babah selalu marah sebab saya tidak bawa sapu tangan dan mama yang akan menegur saya.

“Babah pula seorang yang lebih tenang dan suka manja dengan anak-anak, sama juga dengan tok bah (Almarhum Sultan Ahmad Shah),” titah baginda yang menggemari sajian sheperds pie dan ayam panggang Johor air tangan Tunku Azizah.

Tambah baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah juga merupakan idolanya selain Al-Sultan Abdullah dengan berpegang kepada pendirian raja dan rakyat berpisah tiada.

Baginda juga mahu meneruskan legasi berkenaan dan mencerminkan hubungan baik institusi diraja bersama rakyat.

Titah baginda lagi, melihat hubungan Almarhum nenda dengan rakyat merupakan sesuatu yang paling manis, malah Tengku Hassanal masih ingat akan pesanan yang dititip baginda supaya jangan sesekali melupakan rakyat.

Malah, baginda juga mengagumi keperibadian Al-Sultan Abdullah yang disifatkan sebagai seorang yang sabar dalam apa jua situasi.

Menyingkap kenangan yang paling diingati bersama ayahanda dan bonda, Tengku Hassanal berkongsi saat ketika baginda dihantar berpindah sekolah di London oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

“Saya masih ingat ketika itu babah dan mama dah menangis ketika mahu meninggalkan saya. Saya tidak suka melihat mereka menangis, lantas memberitahu kepada babah supaya jangan sedih tetapi lagi teruk mereka menangis.

“Saya juga sentiasa ingat saat mengiringi ayahanda pergi melawat rumah terbakar, berhubung bersama rakyat dan itu juga sudah menjadi hobi kami berdua,” titah baginda yang meminati penyanyi antarabangsa Taylor Swift.

Mengagumi keperibadian ayahanda dan Almarhum nenda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal yang berusia 24 tahun juga berpegang teguh dengan pendirian raja dan rakyat berpisah tiada.