Kemenangan di hadapan ribuan penyokong sendiri itu pastinya meninggalkan satu lagi detik bersejarah buat Malaysia apabila skuad bola sepak kebangsaan melayakkan diri pada Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

Lebih manis, Bakri merupakan salah seorang penjaring gol yang berjaya merobek gawang Korea Selatan dalam pertemuan penuh dramatik itu.

Mengimbas kembali detik penuh bermakna dalam kariernya itu, Bakri berkata: “Pada masa itu, saya meluru ke dalam kotak penalti, begitu juga James (Wong). Shukor Salleh melakukan hantaran jauh kepada James tetapi bola termuntah kepada saya.

“Ketika itu, James pula dikawal ketat oleh beberapa pertahanan lawan. Saya mengambil kesempatan dengan situasi kelam-kabut pada masa itu dan tenang menolak bola ke gawang Korea Selatan,” jelas Bakri ketika ditemui Rembat Kosmo! di Shah Alam baru-baru ini.

Namun, hajat Bakri dan rakan-rakan sepasukannya beraksi di Moscow tidak kesampaian ekoran keputusan kerajaan menyahut seruan Amerika Syarikat yang memboikot temasya Sukan Olimpik 1980. Tempat Malaysia digantikan Iraq.

Kini selepas 38 tahun detik bersejarah itu berlalu, Bakri masih lagi dikenang sebagai antara hero Malaysia yang berjaya membenam ego Korea Selatan.

Mengulas mengenai penglibatan awalnya dalam karier bola sepak, Bakri berkata, dia mula bermain secara kompetitif sejak berada di bangku sekolah rendah ketika usianya menginjak usia 10 tahun.

“Ketika itu, saya bermain di bawah bimbingan Syed Yazid Abdan yang mengendalikan murid-murid di peringkat sekolah. Saya juga mampu membentuk nilai kepimpinan dalam diri saya seawal usia itu. Bayangkan saya diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk mengemudi latihan seluruh pasukan ketika dia ada urusan lain.

“Pada Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN 1969, saya turut dilantik mengetuai skuad Bawah 15 tahun negara. Daripada peringkat sekolah rendah dan menengah sejurus mewakili negeri, saya kemudian menyertai skuad Perlis,” katanya.

Bakri memberitahu, dia tidak pernah berpindah ke pasukan lain sehinggalah pada 1984, dia mengambil keputusan meninggalkan Perlis atas sebab-sebab tertentu.

“Saya kemudiannya menyertai Talasco untuk berada dalam satu pasukan bersama Allahyarham Mokhtar (Dahari),” jelasnya yang kini membimbing Akademi Bola Sepak Nuri sejak 2009 secara percuma.

Menurut bapa kepada dua orang anak itu, dia memiliki kelayakan kejurulatihan dari England dan Jerman selain pentauliahan lesen A di Malaysia.

Biarpun pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan Perlis, Bakri berkata, saat paling menggembirakan bagi dirinya adalah ketika membimbing Bank Rakyat yang rata-ratanya dianggotai kerani, pengawal keselamatan dan kakitangan sokongan tetapi masih berkeupayaan muncul juara saingan antara bank.

“Satu demi satu divisyen kami berjaya langkau. Saya sangat bangga dengan pasukan bimbingan saya kerana mampu bersaing dengan bank-bank lain yang sibuk membeli pemain-pemain hebat.

“Selama tempoh beberapa tahun itu, saya mempunyai kebebasan penuh dalam mengendalikan dan membentuk strategi pasukan itu,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau berminat untuk melatih pasukan negeri atau kelab dalam Liga Malaysia (Liga M), Bakri mengakui belum terfikir ke arah itu.

“Sesungguhnya sehingga hari ini, cinta saya terhadap bola sepak begitu mendalam. Walaupun masih sibuk menguruskan perniagaan, saya tetap mencuri masa untuk melibatkan diri dalam bola sepak di peringkat akar umbi.

“Saya akan terus memainkan peranan untuk mengembangkan bola sepak negara, mudah-mudahan ada pemain berbakat dari akademi yang saya kendalikan ini dapat dilahirkan suatu hari nanti,” katanya menutup bicara.