Kapal malang yang membawa 28 orang krew itu dipercayai dihanyutkan oleh arus kuat dan ombak besar.

Selepas beberapa hari terperangkap di terumbu karang berkenaan, salah seorang krew terlihat kelibat sekumpulan kecil orang keluar dari hutan yang terletak beberapa ratus meter dari kapal itu.

Sebahagian besar anggota kumpulan itu tidak berpakaian, membawa tombak, busur dan anak panah sambil melambai ke arah kapal.

“Dianggarkan lebih 50 orang membawa senjata buatan sendiri dalam dua atau tiga buah bot kayu. Kumpulan lelaki ini sangat liar.

“Kami bimbang mereka akan menyerang dan merampas kapal selepas matahari terbenam. Keselamatan anak kapal akan terancam,” jelas kapten kapal Primrose selepas tiba di ibu pejabat Hong Kong.

Menurut ahli sejarah, Adam Goodheart, kapal Primrose terselamat daripada kumpulan lelaki tersebut atas bantuan ombak dan angin kencang yang menenggelamkan bot kayu mereka.

Selepas tiga hari menakutkan, kapal dan semua krew Primrose berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal tentera laut India yang melakukan rondaan di situ.

Itulah antara kisah yang pernah dicatatkan dalam sejarah mengenai serangan suku kaum Sentinel, penghuni Pulau Sentinel Utara.

Pulau Sentinel Utara merupakan salah sebuah pulau yang terletak di sebelah barat kepulauan Andaman.

Pulau berkeluasan 72 kilometer persegi itu diliputi hutan dan perairannya dikelilingi batu karang.

Suku kaum itu meneruskan kelangsungan hidup dipercayai dengan berburu, mencari hasil hutan dan menangkap hidupan laut.

Daripada gambar-gambar yang berjaya diambil oleh pihak berkuasa, suku kaum berkenaan tinggal dalam pondok yang diperbuat daripada daun-daun dan batang pokok tanpa pintu serta tingkap.

Terbaharu pada 14 November lalu, seorang pengembara dan pendakwah Kristian, John Allen Chau, 26, telah dibunuh selepas pergi ke pulau terpencil itu.

Mayat mangsa yang berasal dari Amerika Syarikat itu telah ditanam di Pulau Sentinel Utara yang dihuni oleh suku kaum yang dianggap sebagai puak pra-Neolitik terakhir di dunia.

Sukar diramal

Menurut segelintir ahli antropologi dan sejarah, suku kaum Sentinel sangat sukar diramal dan tidak suka diganggu oleh orang luar.

Jumlah suku kaum berkenaan dianggarkan 100 orang dan hidup terpisah daripada arus pemodenan dan teknologi.

Hakikatnya, banyak lagi kisah serangan oleh suku kaum Sentinel terhadap orang luar.

Misalnya, pada tahun 1974, kaki salah seorang krew National Georgaphic telah dipanah oleh suku kaum tersebut sewaktu membuat penggambaran sebuah dokumentari.

Setahun kemudian, raja Belgium yang hidup dalam buangan telah membatalkan lawatannya ke Pulau Sentinel Utara selepas melihat kelibat suku kaum bersenjata muncul dari hutan dan melambai ke arah kapal.

Bagaimanapun, beberapa individu yang berpengalaman berada di Pulau Sentinel Utara menolak secara agresif mengenai keganasan suku kaum itu.

“Mereka adalah suku kaum yang penuh dengan kasih sayang dan cintakan keamanan. Sewaktu kami berinteraksi, mereka ada mengancam, namun tidak sampai tahap mencederakan atau membunuh.

“Apabila mereka kelihatan gelisah, kami mengambil langkah untuk berundur,” ujar seorang antropologi, TN Pandit kepada sebuah portal berita di India, The Economic Times baru-baru ini.

Pandit yang kini berusia 84 tahun antara kumpulan antropologi pertama yang masuk ke kawasan penempatan suku kaum berkenaan pada tahun 1964.

Curiga

Dalam bukunya, The Sentinelese, dia menceritakan suku kaum Sentinel hidup bersembunyi di dalam hutan.

Jelasnya, selepas berjalan sejauh satu kilometer ke dalam hutan dari pantai, dia melihat sebuah kawasan lapang dengan dipenuhi 18 buah pondok yang diduduki oleh manusia.

“Saya juga melihat tempat memasak makanan, ikan panggang dan buah-buahan liar. Terdapat juga busur, anak panah dan tombak di sekeliling pondok.

“Mereka tidak mempunyai pakaian atau menyimpan barang-barang di dalam pondok,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pandit hanya bertemu dan berinteraksi dengan suku kaum berkenaan pada tahun 1991.

Pengalaman paling diingati Pandit adalah ketika memberi buah kelapa kepada salah seorang kanak-kanak suku kaum Sentinel.

“Kanak-kanak itu membuat memek muka lucu sebelum mengambil pisau dan memberi isyarat untuk mengelar leher saya.

“Saya segera mengambil bot dan pulang. Isyarat budak lelaki itu sangat penting dan jelas kedatangan saya tidak diundang,” imbaunya.

Pandit menambah, suku kaum Sentinel mempunyai rasa curiga yang berasas terhadap orang asing.

“Perasaan curiga suku kaum ini terhadap orang luar sangat kuat. Perasaan ini diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi,” jelasnya.

Pada tahun 1857, pulau-pulau di Andaman telah dijajah oleh British sebelum dijadikan penjara kepada pemberontak bersenjata di India.

Sewaktu pemerintahan British, suku kaum Sentinel telah diculik sebelum menahan mereka selama beberapa minggu.

Mudah pupus

Seorang panglima tentera laut British, Maurice Vidal Portman berkata, pihaknya pernah menahan sepasang suami isteri bersama empat anak mereka dari suku kaum Sentinel pada tahun 1880.

Portman memberitahu, tawanan berkenaan mudah jatuh sakit sehingga membawa kepada kematian suami isteri tersebut, manakala empat anaknya dihantar kembali ke kampung halaman bersama sejumlah hadiah.

“Kebanyakan suku kaum itu yang dibawa keluar oleh British akan menghidap penyakit akibat pengaruh alkohol, tembakau, gula dan maksiat,” ujarnya.

Portman menambah, dia sangat sedih kerana suku kaum berkenaan diancam bahaya apabila bersama dengan orang luar.

“Ia satu perkara yang amat saya sesali kerana suku kaum yang paling disenangi ini akan pupus dengan cepat,” jelasnya.

Menjelang tahun 1967, wilayah berkenaan telah jatuh ke tangan India. Kerajaan India telah berusaha memenangi hati suku kaum tersebut dengan memberikan hadiah berbentuk buah kelapa, pisang dan batang besi.

Bagaimanapun, wakil kerajaan dan ahli ilmiah yang berkunjung ke pulau berkenaan untuk memberi hadiah telah diserang dengan anak panah.

Rentetan itu, kerajaan India telah memberhentikan ekspedisi pemberian hadiah sejak dua dekad lalu.

Dasar terbaharu kerajaan India adalah membiarkan suku kaum Sentinel hidup bebas.

Keputusan berkenaan juga dipengaruhi oleh pengalaman kerajaan India dengan salah seorang suku kaum itu di kepulauan Andaman iaitu Jarawa.

Pada tahun 1996, seorang kanak-kanak lelaki dari suku kaum Jarawa telah mengalami kecederaan kaki sewaktu cuba mencuri buah-buahan dalam kawasan kejiranan.

Kanak-kanak tersebut telah dibawa menerima rawatan dan menghabiskan masa selama lima bulan di hospital.

Dia sempat mempelajari bahasa Hindi dan menonton televisyen. Kemudian dia kembali ke pangkuan suku kaumnya.

Pengalaman moden yang dilalui oleh kanak-kanak Jarawa itu membawa malapetaka apabila sebahagian besar suku kaumnya dijangkiti demam campak.

“Suku kaum di sini pernah melalui pengalaman ngeri. Mereka mati secara beramai-ramai sehingga menyebabkan rasa takut untuk memburu dan memancing,” ujar bekas pegawai antropologi India, Kanchan Mukhopadhyay.

Kes kematian Allen telah mencetuskan kemarahan penduduk India sekali gus mendorong pihak kerajaan untuk bertindak tegas.

Bagaimanapun, seorang ahli antropologi dari Amerika Syarikat memberitahu agensi berita tempatan, pihak kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk mengambil mayat Allen di pulau berkenaan.