Ketelitian dan kehalusan setiap sudut jam tangan itu dibuat dengan sempurna walaupun ia sekadar replika semata-mata.

Replika jam tangan itu yang dihasilkan oleh seorang artis dari Saitama, Jepun, Manabu Kosaka tiba-tiba menjadi tular dalam laman sosial kerana hasilnya dilihat begitu sempurna dan cantik.

Apa yang lebih menarik, model jam tangan yang dihasilkan itu diperbuat daripada kertas kent berkualiti tinggi sehingga tiada siapa pun yang perasan bahan yang digunakan itu adalah kertas.

Kertas kent adalah kertas yang diperbuat daripada pulpa kimia dan mempunyai struktur yang licin, bersifat anjal dan tidak terlalu tebal. Kertas kent sangat sesuai untuk dijadikan kertas lukisan dengan menggunakan pensel, pen dan cat larut air.

Rata-rata pengguna dalam laman sosial begitu kagum melihat kehalusan rekaan jam yang dikatakan sangat mirip dengan jam tangan sebenar.

“Saya tidak percaya jam tangan Rolex dan Casio yang dihasilkan ini diperbuat daripada kertas,” ujar seorang pengguna Twitter.

Menghasilkan replika jam tangan kertas itu 100 peratus dengan tangan, Kosaka akan melukis reka bentuk jam tangan yang dikehendaki terlebih dahulu pada kertas kent.

Peralatan asas lain yang turut digunakan adalah gam, pisau khas untuk memotong bahagian sekecil satu milimeter, pinset atau penyepit untuk mencantumkan bahagian-bahagian sukar serta dremel, iaitu mesin yang digunakan untuk merata dan membentuk sesuatu permukaan.

15 tahun lalu

Kebanyakan pengguna laman sosial mempersoalkan bagaimana Kosaka mampu membentuk sehelai kertas menjadi replika seutas jam tangan dengan sentuhan terperinci dan halus.

Menurut Kosaka dalam satu temu bual dengan pihak Spotlight Media, dia telah mula menghasilkan replika daripada kertas kent sejak 15 tahun lalu.

“Sepanjang tempoh tersebut saya telah gagal beratus-ratus kali terutama untuk menyiapkan bahagian-bahagian kecil dan sukar,” tuturnya.

Namun, atas usaha dan kesungguhannya untuk menghasilkan suatu rekaan mengagumkan, Kosaka akhirnya berjaya menyempurnakan beberapa replika seperti dompet, kamera dan pemetik api.

Sehingga kini, antara koleksi replika jam tangan yang telah disiapkan adalah jam tangan daripada jenama Casio, G-Shock, IWC Portugieser Chronograph, Frank Muller dan jam mewah terkenal, Rolex.

Ketelitian dan kehalusan seni yang dihasilkan juga ditonjolkan pada bahagian gear yang terletak di dalam jam walaupun kelihatan amat terperinci dan sukar untuk dihasilkan.

Hasil kerja replika kertas kent yang dihasilkan itu telah dimuat naik dalam akaun Twitter rasmi miliknya iaitu 
@coca1127.

Bagi Kosaka, walaupun mengakui penat untuk menyiapkan satu-satu hasil replika itu kerana memakan masa yang agak lama, dia tidak pernah berputus asa dan gembira apabila melihat hasil kerja seni yang disiapkan berjaya menarik perhatian ramai.

Sebagai contoh, baru-baru ini dia telah menyiapkan replika sebuah dompet daripada jenama terkenal, Louis Vuitton yang juga diperbuat daripada kertas kent dan berjaya meniru tekstur dan corak seakan-akan kulit di atas kertas tersebut.

Artis Jepun, Manabu Kosaka hasilkan replika jam tangan dengan kehalusan reka bentuk dan gaya seakan-akan jam sebenar yang diperbuat daripada kertas kent.