Percubaan demi percubaan dibuat dengan menggunakan tanah liat biasa yang dibeli di kedai alat tulis bagi menghasilkan kuntuman bunga yang diuli dan digubah menggunakan bahan tersebut.

Mengakui biarpun nampak mudah, namun hasil yang diperoleh bukanlah seperti yang diharapkan apabila kuntuman bunga yang dibuat kelihatan tidak menarik selain kekemasannya juga begitu menghampakan.

Namun, didorong dengan semangat tidak berputus asa dan ingin mencuba, hari demi hari percubaan Lee Wah Mun, 44, untuk menghasilkan kraf dengan menggunakan tanah liat semakin memberangsangkan dari segi hasil dan kreativitinya.

Menurut Wah Mun atau lebih mesra disapa Danny, selepas hampir 10 tahun, dia kini semakin mahir menghasilkan kraf yang dinamakan sebagai Clay Craft untuk menghasilkan hiasan dekorasi pelbagai bentuk atau bunga tangan untuk perkahwinan.

Tempahan pertama

Dakwa Danny, pada awal permulaannya menghasilkan seni kraf tanah liat itu, dia cuma mempelajarinya melalui laman perkongsian video, YouTube dan tidak pernah mengikuti mana-mana kursus seni.

“Saya sekadar suka-suka untuk menghasilkan kraf tanah liat ini dan timbul rasa minat untuk mempelajarinya secara serius,” ujar anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Atas dorongan keluarga dan kawan-kawan, Danny mula mempelajari beberapa teknik menghasilkan gubahan bunga dan hiasan kecil menggunakan tanah liat biasa sehinggalah dia betul-betul yakin untuk menggunakan tanah liat khas yang diimport dari Korea.

Bercerita lebih lanjut, Danny masih teringat apabila dia telah mendapat tempahan pertama daripada seorang pelanggan dari England untuk menghasilkan gubahan bunga tanah liat di dalam pasu lapan tahun lalu.

Menurut Danny, dia tidak sangka akan mendapat tempahan dan berasa gembira apabila ada pihak yang berminat dengan kraf yang dia hasilkan.

“Pada waktu itu saya hanya tahu membuat bunga ros dan selepas mendapat tempahan pertama, saya belajar untuk menghasilkan lebih banyak rekaan bunga,” ujarnya.

Sehingga kini, Danny telah mahir untuk menghasilkan lebih daripada 10 jenis rekaan yang terdiri daripada bunga-bungaan, haiwan dan juga buah-buahan yang hias cantik sama ada di pasu kecil atau botol kaca.

Oleh kerana mempunyai pekerjaan tetap sebagai kerani, Danny hanya menghasilkan kraf jika mendapat tempahan sahaja.

Buatan tangan

Untuk menyiapkan satu-satu tempahan, Danny mengambil masa selama tiga minggu hingga sebulan bergantung pada bentuk dan kuantiti bunga yang dihasilkan.

Selain kraf tanah liat untuk hiasan meja, Danny juga menghasilkan bunga tangan untuk pengantin yang diperbuat daripada tanah liat serta rantai kunci.

Kebanyakan rekaan yang dihasilkan adalah daripada ideanya sendiri, namun pelanggan juga boleh memberikan gambar mengikut rekaan yang mereka inginkan.

Bercerita tentang keistimewaan kraf yang dihasilkan, Danny memberitahu, perhiasan yang dibuat itu lebih ringan dan tahan lama.

“Tanah liat yang digunakan juga sangat berkualiti dan diimport khas dari Korea,” jelas Danny.

Tambah menarik, kraf yang dihasilkan juga adalah 100 peratus buatan tangan daripada kelopak hingga ke daun, malah bunga-bungaan yang dihasilkan juga kelihatan seperti bunga sebenar.

Menyimpan impian untuk menghasilkan lebih banyak dekorasi menarik berasaskan tanah liat, Danny juga berharap untuk membuka sebuah galeri pameran di bawah jenama Clay Craft untuk mempamerkan dan menjual hasil tangannya kepada orang ramai.

“Kini saya sibuk menyiapkan tempahan bunga pahar untuk sebuah majlis perkahwinan pada bulan Mac akan datang,” kata Danny menutup bicara.