Graduan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Halus) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu dengan berhati-hati menghasilkan beberapa lukisan figura berskala besar pada dinding setinggi dua meter menggunakan pensel sebelum mewarnakannya.

Menurutnya yang mesra disapa Zaim Zhafir, ia merupakan prosedur biasa yang dilakukannya setiap kali memulakan tugas sebagai pelukis mural sambilan. Zaim Zhafir bekerjaya tetap sebagai pelukis seni halus dan tukang perabot.

“Melukis mural tidak sama seperti lukisan catan di kertas atau kanvas, ia memerlukan pemerhatian khusus terutama dalam membesarkan skala lukisan bagi memuatkan keluasan dinding. Ia perlu dibuat dengan teliti kerana selepas siap, lukisan ini bakal menjadi tumpuan yang kekal di dinding dan tidak boleh diubah serta-merta.

“Jika terdapat kesilapan pada saiz dan bentuk ia boleh merosakkan keseluruhan lukisan,” katanya ketika ditemui K2 semasa melukis mural di Tadika Al-Baghdadi, Taman Bidara, Selayang, Selangor baru-baru ini.

Zaim Zhafir telah memulakan karier melukis secara serius sejak tahun 2012. Kini dia turut mengikut jejak langkah abangnya, Megat Zaim Zharif, 28, yang merupakan seorang pelukis menjalankan perkhidmatan lukisan mural.

Tambah anak jati Kuala Lumpur itu, lukisan mural dihasilkan menggunakan cat industri seperti cat dinding, kapur mahupun minyak yang sesuai mengikut keadaan lokasi dan dinding.

Berubah

Menurutnya, seni mural atau lukisan dinding merupakan salah satu cabang dalam bidang seni lukis.

Seni mural atau lukisan dinding tidak asing sebagai hiasan pada dinding terutama yang sering dilihat sekitar kawasan tadika, sekolah malah kampus universiti atau kolej.

Kewujudan seni ini telah lama direkodkan terutamanya pada era Renaissance dan Baroque sekitar kurun ke-17 yang menjadikan lukisan hiasan di siling dan dinding istana atau gereja di Eropah sebagai visual penceritaan, lambang kemegahan dan kemewahan.

Bagaimanapun konteks seni mural berubah seiring peredaran zaman malah, ia juga pernah menjadi salah satu seni jalanan yang dikaitkan dengan aktiviti vandalisme menerusi lukisan bersifat contengan di dinding atau tembok.

Meskipun begitu beberapa tahun kebelakangan ini seni mural mengalami transisi apabila menjadi pilihan untuk menghias sudut atau ruang di premis perniagaan, rumah dan pejabat sebagai dekorasi yang membawa idea pemasaran atau hiasan mengikut konsep.

Jelas Zaim Zhafir, ini berikutan trend media sosial yang menjadi sebahagian daripada konteks pemasaran sekali gus mewujudkan permintaan terutama dalam kalangan pengusaha perniagaan bagi mewujudkan konsep Instagram worth di premis mereka.

Zaim Zhafir memberitahu, bidang seni mural ini merupakan antara cabang yang berpotensi membuka ruang kerjaya kepada golongan pelukis. Tambah-tambah lagi seni mural kini turut dijadikan idea dekorasi rumah, kedai atau pejabat.

Berbanding menghias ruang dengan gantungan lukisan di dinding, kini dinding itu dilakar dan diserikan dengan cat-cat lukisan berwarna.

Trend itu terserlah apabila dia dan abangnya mendapat lima hingga sepuluh tempahan lukisan dinding bagi premis perniagaan atau rumah setiap tiga bulan.

Menurutnya bagi tempahan seni mural di rumah, lazimnya mereka menerima tugasan daripada pereka hiasan dalaman.

“Walaupun mural adalah seni kekal pada dinding, ketahanannya agak terhad mengikut lokasi dan kawasan lukisan. Kebiasaanya ia memakan masa dua hingga lima tahun malah ada pelanggan yang menukar lukisan selepas tempoh setahun,” jelasnya.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Zaim Zharif yang telah memulakan perkhidmatan melukis mural sejak sembilan tahun lalu. Menurutnya, mural membawa nilai estetika tersendiri dan kebanyakannya berkonsepkan idea lukisan dengan mesej yang jelas.

“Kebiasaannya ia dihasilkan berdasarkan permintaan dan idea yang diusulkan oleh pelanggan. Tugas kami sebagai pelukis cuba mengolah idea berkenaan sebagai satu visual yang sesuai dipamerkan.

“Walaupun ia bertentangan dengan ideologi atau pendirian pelukis, setiap karya yang dihasilkan memerlukan ketelitian supaya gambaran yang pelanggan mahukan dapat direalisasikan,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Penerapan konsep

Misalnya, kata Zaim Zharif, bagi konsep flora, perincian lukisan pelbagai jenis bunga dan tumbuhan hijau menjadi motif yang diolah mengikut konsep sama ada taman Inggeris atau eksotik.

Jika dekorasi mural untuk tadika atau ruang kanak-kanak, Zaim Zharif akan bermain dengan gambar-gambar kartun atau animasi selain penggunaan warna terang untuk menceriakan lagi suasana.

Anak ketiga daripada enam adik beradik itu memberitahu, perkhidmatan melukis mural juga perlu menepati tempoh masa yang diberikan khususnya bagi projek di kawasan pusat beli-belah atau bangunan pejabat.

“Soal peralatan atau cat tidak ada masalah memandangkan lukisan mural menggunakan cat industri, namun kadangkala ada pelanggan yang mempunyai permintaan tidak setara bajet dan itu juga menjadi satu cabaran besar,” ujarnya yang turut menjalankan perkhidmatan lukisan mural bersama lima orang rakan lain.

Bagi lukisan mural, bayaran yang ditetapkan adalah mengikut saiz. Harga yang ditawarkan antara RM30 hingga RM50 sekaki persegi. Kos berkenaan turut merangkumi jenis cat dan jumlah warna yang digunakan.

Dalam pada itu, seorang pengusaha restoran Nicholas Atmadja, 22, memberitahu, seni mural kini sudah menjadi sebahagian kaedah dekorasi terutama melibatkan restoran berkonsep.

Menurutnya, ia juga merupakan elemen penting yang menjadi daya tarik pelanggan untuk datang ke restoran. Bukan sahaja untuk menikmati makanan malah, berswafoto untuk dikongsikan di laman sosial mereka.

“Saya membuka restoran berkonsepkan makanan Indonesia dengan tema ringkas dan minimalis namun, saya mahukan dekorasi yang tidak terlampau bosan dan suram. Maka tercetuslah idea untuk mempamerkan lukisan mural.

“Di restoran saya terdapat dua lukisan mural yang menggambarkan senario gerai makanan jalanan di Indonesia. Lukisan berkenaan membawa mesej jelas tentang konsep kami secara keseluruhan dan makanan yang kami tawarkan,” katanya yang merupakan pemilik Restoran Kotak di SS15, Subang Jaya, Selangor.

Tambahnya, mural juga bukan sekadar elemen yang menghidupkan sesuatu konsep bahkan mampu menjadikan sesuatu ruang itu kelihatan lebih mesra pelanggan.