Pertandingan kaligrafi yang dinamakan Kakizome itu ialah pertandingan pertama yang diadakan setiap tahun dan sentiasa mendapat sambutan orang ramai yang mahu menjadikan ia nukilan pertama bagi sesuatu tahun.

Pertandingan yang berlangsung di Budokan, Tokyo itu bagai mempamerkan dedikasi mega para peserta kepada tulisan tradisional apabila menulis beramai-ramai di dalam sebuah dewan sambil duduk di lantai.

Pertandingan melibatkan peserta pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak, remaja hinggalah warga emas. Pertandingan diasingkan mengikut kategori-kategori.

Dalam pertandingan Kakizome yang bermaksud ‘penulisan permulaan’ itu, para peserta dikehendaki menulis ungkapan atau puisi dengan berus tradisional dan dakwat hitam dalam tempoh masa 24 minit.

Para peserta boleh memilih sama ada untuk membuat tulisan kaligrafi tradisional kanji atau hiragana. Penilaian dilakukan oleh juri dengan mengambil kira kesempurnaan aksara-aksara Jepun itu.