Di dalam raga itu terdapat seorang kanak-kanak dan beberapa helai pakaian.

“Jelas pemandu pelancong kepada saya, demi kelangsungan hidup, pemuda itu perlu melarikan diri daripada keganasan yang berlaku di Rakhine, Myanmar.

“Dia dan ribuan pelarian lain menempuh satu perjalanan yang sukar untuk meninggalkan kampung halaman bagi mencari perlindungan di kem-kem pelarian di Bangladesh,” jelas Djohan.

Tambahnya, melihat situasi itu, perasaannya sungguh beremosi untuk merakam gambar pemuda itu dan memikirkan bagaimana mereka mendapat kekuatan untuk menempuh segala halangan bagi menyelamatkan diri.

Situasi tersebut ditemuinya ketika dalam perjalanan ke kem pelarian Kutupalong berhampiran Cox’s Bazar, Bangladesh.

Kem tersebut menjadi antara salah satu lokasi bagi pelarian-pelarian Rohingya mendapat perlindungan setelah meninggalkan kampung halaman mereka.

Berkesempatan mengunjungi beberapa kem pelarian etnik Rohingya baru-baru ini ternyata memberikan 1,001 pengalaman kepada Djohan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk sampai ke sini. Niat untuk mengunjungi kawasan ini dan melihat penderitaan yang dialami oleh pelarian ini timbul setelah saya ditugaskan untuk mengambil gambar masyarakat Rohingya di Malaysia yang mengadakan tunjuk perasaan dan berarak bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar.

“Saya tidak menyangka akhirnya niat itu dimakbulkan dan saya berpeluang untuk merakam gambar di kem-kem pelarian yang terdapat di Bangladesh,” jelasnya yang bertugas sebagai jurugambar di syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.

Sengsara

Tambahnya, dia bersyukur kerana sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan akikah dan korban di luar negara, Ez Qurban Sdn. Bhd. (Ez Qurban) telah membawanya dalam program menyampaikan sumbangan kepada etnik Rohingya di kem-kem pelarian itu.

Kem pelarian pertama dikunjungi Djohan ialah Kutupalong dan dia melihat kesengsaraan etnik Rohingya yang tinggal dalam serba kekurangan.

“Saya tiba di kem itu pada sebelah petang dan hujan baru sahaja berhenti dan keadaannya amat becak.

“Kanak-kanak pula bermain dan berlari tanpa mengenakan pakaian yang tidak lengkap dan berkaki ayam,” jelasnya.

Tambahnya, hujan lebat pada petang itu juga menyebabkan kebanyakan tempat perlindungan yang dibina daripada buluh mengalami sedikit kerosakan.

Dalam pada itu, Djohan berbangga dengan etnik Rohingya kerana surau yang dibina di kem-kem perlindungan akan dipenuhi jemaah bila tiba waktu solat.

Selain Kutupalong, dia melawat beberapa kem lain sekitar Cox’s Bazar antaranya Zam Tali, Balu Khali, Than Khali, Mosoni Nayapara dan Safarang.

Makanan

Sepanjang lawatannya ke kem-kem tersebut ia mengajar Djohan erti bersyukur dan kemanusiaan.

“Jika kita rasa kehidupan kita di Malaysia sukar, di sini lagi sukar dan serba kekurangan.

“Saya hampir mengalirkan air mata melihat kesengsaraan yang dialami oleh mereka terutamanya kanak-kanak yang sebaya dengan anak saya.

“Pada usia tersebut mereka perlu ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak di negara yang lain. Namun kerana dugaan yang mereka hadapi telah menyebabkan hak untuk mereka berbuat demikian terhalang.

“Tersentuh hati saya melihat keadaan kanak-kanak yang berebut-rebut apabila orang memberikan makanan,” katanya yang menghadapi masalah bahasa.

Djohan turut menceritakan, setiap keluarga pelarian diperuntukkan beras sebanyak 25 kilogram sebulan sebagai bekalan makanan.

Untuk mendapatkan beras tersebut mereka terpaksa beratur selama dua hingga tiga jam.

Terdapat juga kanak-kanak yang datang ke kem itu sebatang kara dan hanya mengikuti saudara-mara dan jiran terdekat kerana ibu bapa mereka dibunuh.

Selain itu, perjalanan ke kem tersebut bukanlah mudah malahan ada yang terkorban terutamanya kanak-kanak dan warga emas.

Etnik Rohingya telah melalui satu tempoh penderitaan yang panjang selama lebih sedekad akibat diskriminasi dan penindasan oleh kerajaan Myanmar.

Serangan oleh pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Rohingya Arakan itu mendorong tentera Myanmar melancarkan operasi pembersihan yang memaksa lebih 410,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Tindakan yang dilakukan oleh Myanmar seakan-akan mahu melakukan pembersihan etnik Rohingya.

Etnik Rohingya Islam sering menjadi mangsa penindasan pihak berkuasa Myanmar dengan ada wanita dan gadis dirogol serta dibunuh dengan kejam.

Sementara itu, Pengurus Ez Qurban, Muhammad Hafees Firdaus Toharudin, 32 berkata, dia sukar untuk menggambarkan perasaannya sebaik melihat penempatan pelarian etnik Rohingya di kem-kem sekitar Cox’s Bazar.

“Tidak terurus dan serba kekurangan. Mereka amat memerlukan bantuan daripada pelbagai aspek.

Cekal

“Setiap kem pelarian mempunyai masalah dan kekurangan masing-masing, namun ketabahan yang ada pada diri pelarian ini membuatkan mereka cekal untuk menempuh pelbagai dugaan,” katanya.

Kunjungan Hafees ke kem-kem pelarian etnik Rohingya itu bukan semata-mata kerana ingin melihat keadaan di situ, tetapi lebih kepada memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

Hafees menjelaskan setiap kunjungan yang dilakukan pastinya akan diiringi dengan program menyampaikan bantuan sama ada fidyah atau aqiqah dan korban.

“Kami turut mengedarkan 150 kampit beras hasil daripada fidyah umat Islam di negara ini.

“Selain itu, kunjungan itu juga adalah untuk melihat dan menyerahkan pam air yang diwakafkan untuk kegunaan pelarian di sana.

“Sehingga kini terdapat lebih 200 pam air yang diwakafkan di perigi-perigi yang terdapat di kem-kem pelarian untuk kegunaan mereka,” jelasnya.

Pelarian etnik Rohingya tabah menempuh hidup walaupun dalam serba kekurangan di kem pelarian.