Beberapa keping gambar dan video yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram, nail_sunny telah menunjukkan seekor semut hitam yang masih hidup bergerak di dalam kuku hiasan yang direka secara lutsinar pada jari seorang pelanggan yang tidak diketahui identitinya.

Salon kecantikan tersebut, Nail Sunny yang terletak di Moscow telah menarik perhatian ramai pengguna laman sosial yang menyuarakan bantahan dan kritikan terhadap idea yang diperkenalkan itu kerana menganggap ia sebagai salah satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, pekerja di salun berkenaan telah menunjukkan cara-cara menyiapkan perhiasan kuku dengan aksesori semut hidup dan disukai lebih daripada 50,000 pengguna Instagram.

Dalam rakaman video tersebut, kuku pelanggan akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dipasang dengan kuku palsu yang lebih panjang diperbuat daripada bahan akrilik dan bersifat lutsinar.

Di bawah bahagian kuku palsu itu pula diletakkan lapisan bahan plastik bagi membuatkan kuku tersebut menjadi seperti bekas kosong yang mempunyai lubang kecil pada bahagian hujung kuku tersebut.

Dengan menggunakan penyepit kecil, seekor semut hitam telah dimasukkan ke dalam lubang pada bahagian hujung kuku itu sebelum ia ditutup dengan menggunakan gam berwarna jernih.

Perbuatan kejam

Semut yang dimasukkan ke dalam setiap kuku itu dapat dilihat dengan jelas bergerak-gerak dan cuba mencari jalan keluar selepas terperangkap di dalam ruangan yang sempit tersebut.

Walaupun laman Instagram salun kecantikan itu mempunyai jumlah pengikut mencecah 1.8 juta pengguna laman sosial, majoriti daripada mereka telah mengkritik idea baharu yang diperkenalkan itu dengan menganggap ia sebagai satu perbuatan kejam.

“Tindakan yang dibuat itu jelas menunjukkan ia sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan.

“Adakah pemilik salun ini fikir ia merupakan seni kuku yang cantik?” kata salah seorang pengguna laman sosial.

Seorang lagi pengguna laman sosial memberitahu, pemilik salun kecantikan itu wajar diambil tindakan dan dikenakan hukuman kerana mendera haiwan walaupun ia cuma seekor semut.

“Bagaimana kalau dia (pemilik salun) dimasukkan ke dalam sebuah ruang sempit tanpa udara dan dibiarkan hidup di dalamnya,” kata pengguna Instagram tersebut menerusi komen yang ditulis pada video tersebut.

Wakil Nail Sunny dalam satu kenyataan melalui Instagram memberitahu orang ramai bahawa, kaedah yang menggunakan semut hidup sebagai hiasan pada kuku itu tidak dianggap sebagai bentuk penderaan, malah tidak ada seekor semut yang mati semasa dimasukkan ke dalam kuku plastik itu.

Boikot salun

Dakwanya lagi, semut-semut yang dimasukkan ke dalam kuku plastik itu masih mampu bernafas kerana terdapat rongga kecil pada kuku itu.

Bagaimanapun, penjelasan yang diberikan itu masih tidak dapat diterima oleh orang ramai, malah ia terus membangkitkan rasa marah terhadap pengguna laman sosial yang mempertikaikan tentang hak kebebasan semut-semut yang dikurung di dalam kuku plastik itu.

“Semut-semut itu pasti akan mati kerana terdedah dengan bahan kimia yang digunakan,” kata seorang wanita yang turut menyeru orang ramai supaya memboikot salun tersebut.

Selepas mendapat kritikan yang bertubi-tubi, pemilik salun kecantikan itu dalam satu rakaman video telah menunjukkan semut-semut yang dikurung di dalam kuku dilepaskan semula di atas tanah di lokasi yang tidak diketahui.