Ayam-ayam yang diasingkan mengikut saiz itu dibilas dengan air terawat beberapa kali bagi menghilangkan darah-darah kotor.

Setelah darah-darah itu dibersihkan, ayam itu dibilas dengan air dalam tempoh 10 hingga 15 saat sebelum dibungkus.

Rutin pembersihan itulah yang dilakukan setiap hari oleh 16 pekerja yang bekerja di syarikat Ladangku Maju Sdn. Bhd.

“Dalam tempoh satu jam selepas disembelih dan dibuang bulunya ayam-ayam ini akan dihantar di sini untuk dibersihkan.

“Kesemua ayam yang dibersihkan akan dibasuh dengan air terawat beberapa kali dan proses pembersihan akan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat bagi memastikan ia betul-betul bersih dari kotoran darah dan sebagainya sebelum dibungkus,” jelas Penyelia Keselamatan Makanan, Ladangku Maju Sdn. Bhd., Nurul Farah Sakinah Anuar, 28.

Beliau merupakan bekas pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam jurusan Bioteknologi Makanan.

Ladangku Maju Sdn. Bhd. bertanggungjawab membekalkan ayam yang diproses mengikut syariah.

Makanan halal merupakan satu aspek yang amat dititikberatkan oleh umat Islam.

Untuk haiwan ternakan yang halal dimakan oleh umat Islam, sembelihan adalah salah satu cara untuk mematikan atau menghilangkan nyawa binatang itu. Sembelihan mestilah memutuskan urat halkum dan urat marih menggunakan alat tajam dengan niat kerana Allah.

Beroperasi sejak tahun 2013, Ladangku kini menjadi antara syarikat milik bumiputera yang membekalkan ayam halal untuk rakyat Malaysia.

Laporan-laporan yang didedahkan oleh media berhubung penjualan ayam yang diragui status halalnya mendorong Yani Hardinata Hairuddin, 38, untuk terlibat secara serius dalam bidang tersebut.

Pengalaman ditipu membeli ayam yang tidak kurang beratnya di pasar berhampiran kediamannya benar-benar membakar semangatnya.

“Semasa di pasar, ayam kelihatan besar dan berat namun apabila ditimbang di rumah ia ringan.

“Dari situ timbul niat untuk saya membantu masyarakat dengan mendapatkan hak mereka yang sewajarnya,” kata bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar itu.

Yani Hardinata pada mulanya menjalankan perniagaan itu secara kecil-kecilan bersama isterinya, Safinas Abd. Samad, 37, di sekitar kediaman mereka di Shah Alam, Selangor.

Sambutan

Dia mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang dikenali dan disahkan halal tentang proses penyembelihannya.

“Saya beli ayam yang sudah siap disembelih sebelum dijual kepada jiran-jiran.

“Peringkat awal saya hanya menjual antara 10 hingga 20 ekor ayam seminggu. Namun, tiga bulan selepas itu permintaan bertambah kepada 80 hingga 120 seminggu,” jelasnya.

Sambutan positif daripada pengguna akhirnya mendorong anak kelahiran Kuala Lumpur itu untuk menceburi perniagaan tersebut secara serius.

Yani Hardinata kemudiannya meletak jawatan sebagai jurutera yang disandangnya selama lebih sedekad di syarikat telekomunikasi. Dia memulakan perniagaan itu secara serius dengan mencari pelabur untuk membuka kilang memproses ayam halal.

Kilang memproses ayam pertamanya terletak di Jalan Kapar Klang, Selangor pada tahun 2013 sebelum membuka sebuah lagi kilang baharu tiga tahun kemudian. Antara cabaran yang dihadapinya ketika mula-mula untuk membuka kilang memproses ayam adalah untuk mendapatkan sijil halal.

“Sijil halal ini penting bagi meyakinkan pengguna bahawa ayam yang kami proses menepati syarak.

“Dengan bantuan dan nasihat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kami berjaya mendapatkan sijil halal dalam tempoh enam bulan selepas memohonnya. Kini kami antara syarikat milik bumiputera sepenuhnya yang mendapat pengiktirafan halal,” jelasnya.

Bekalan

Halal untuk haiwan ternakan bermula dari proses penyembelihan. Jika proses penyembelihan itu menepati syarak maka haiwan itu halal dimakan.

Dia mempunyai enam pekerja terlatih dan bertauliah untuk menjalankan kerja-kerja penyembelihan.

“Kesemua pekerja yang diambil untuk bahagian penyembelihan adalah mereka yang mengutamakan solat dan berpakaian menutup aurat. Ini penting kerana jika mereka mementingkan agama mereka akan melakukan kerja dengan sebaiknya,”katanya.

Menurut Yani Hardinata, dia akan memastikan sumber ayam datang daripada sumber baik ketika diternak.

Dia mendapat bekalan ayam daripada penternak di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor. Setiap ladang ayam yang dipilih mestilah diiktiraf oleh jabatan veterinar serta mendapat pengiktirafan persijilan myGAP.

MyGAP merupakan satu skim persijilan yang memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan Good Agriculture Practice (GAP) atau Amalan Pertanian Baik (APB) untuk mengeluarkan hasil yang berkualiti dan selamat dimakan.

“Kami memastikan ayam-ayam ini tidak disuntik hormon dan matang dalam tempoh yang mencukupi.

“Kami selalu mengunjungi ladang-ladang ternakan bagi melihat sendiri proses ternakannya mengikut syarat yang telah dipersetujui,” jelasnya.

Menurut Yani Hardinata, buat masa ini kesemua ayam yang telah disembelih dibersihkan secara manual oleh pekerja. Pengguna tidak perlu lagi bersusah payah untuk membersihkannya. Memadai dibilas sekali lagi dengan air. Selain ayam daging syarikatnya juga membekalkan ayam kampung bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Bagi memenuhi kehendak pelanggan, setiap ayam dibungkus dengan saiz yang berbeza-beza.

Jelas Yani Hardinata, pihaknya menawarkan ayam yang siap dipotong dan dijual seekor tanpa dipotong. Ayam kategori seekor, terbahagi kepada tiga pilihan iaitu kecil, sederhana dan besar.

“Pilihan ini memberi peluang kepada pengguna untuk berjimat. Jika mereka memiliki keluarga kecil mungkin boleh mendapatkan ayam bersaiz kecil dan begitulah juga sebaliknya,” katanya.

Harga seekor ayam dijual bermula dari RM14.90. Bagi memenuhi permintaan pengguna syarikat Ladangku menyembelih dan memproses antara 6,000 hingga 8,000 ekor ayam sehari.

Dalam pada itu, Ladangku juga mewujudkan program stokis bagi membantu orang ramai menjana pendapatan tambahan.

Melalui program stokis, ia dapat membantu mereka yang berminat dalam perniagaan menjana pendapatan sehingga 20 peratus keuntungan.

Stokis

“Mereka hanya perlu ada sebuah peti sejuk untuk menyimpan stok ayam untuk diedarkan di kawasan-kawasan perumahan masing-masing,” jelasnya.

Setakat ini, pihaknya mempunyai lebih 260 stokis di seluruh negara dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa. Stokis-stokis ini mendapat bekalan daripada pengedar yang dilantik di setiap negeri.

Selain stokis, pengguna juga boleh mendapatkan ayam dari Ladangku di beberapa pasar raya seperti Jaya Grocer.

Lebih membanggakan, syarikat itu telah menerima pengiktirafan daripada Asia Halal Brand Award tahun lalu untuk kategori jenama ayam terbaik.

Pengiktirafan itu adalah penjenamaan untuk syarikat-syarikat yang beroperasi dalam tempoh kurang lima tahun yang mempromosikan jenama halal.

Ladangku Maju Sdn. Bhd. sebuah syarikat sepenuhnya milik bumiputera yang membekalkan ayam segar patuh syariah.