Sejurus rombongan memasuki pintu masuk politeknik itu, hampir 100 pelajar melambaikan Jalur Gemilang dengan penuh semangat.

Jalur Gemilang merupakan simbol perpaduan dan ketaatan kepada negara yang harus dipertahankan oleh rakyat Malaysia.

Senyuman dan suara keriangan pelajar-pelajar ketika peserta KMJG 2019 tiba di pekarangan sekolah mereka memeriahkan suasana Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Politeknik Merlimau Melaka itu.

Salah seorang pelajar Politeknik Merlimau, Muhamad Shahnizan Mohd. Zainiurin, 21, menyatakan keterujaan melihat peserta KMJG datang ke kampus mereka.

“Dari awal pagi lagi, kami telah berdiri sepanjang jalan ini bagi menyambut kedatangan para peserta konvoi.

“Deruman motosikal berkuasa tinggi, Honda Goldwing membuatkan kami berasa cukup teruja dan semangat kemerdekaan semakin meningkat,” katanya ketika ditemui K2 di politeknik itu baru-baru ini.

KMJG 2019 merupakan inisiatif Jabatan Penerangan untuk menyemarakkan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos ini.

Program yang bermula pada 3 Ogos dan akan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini merupakan medium bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, malah menjadi satu landasan menzahirkan penghargaan terhadap pejuang negara terdahulu.

Sejarah

Sejarah Jalur Gemilang bermula pada tahun 1949 apabila Majlis Raja-Raja memperkenankan sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baharu.

Untuk tujuan itu, satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu pada tahun 1949 telah diadakan di peringkat kebangsaan yang disertai oleh 373 karyawan.

Bagaimanapun, rekaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang.

Konvoi itu dijangka melalui perjalanan sejauh 6,200 kilometer di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang merangkumi 62 perhentian di peringkat negeri, daerah dan komuniti.

Bermula siri jelajah di Melaka, KMJG 2019 melibatkan 133 orang peserta termasuk 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi, Honda Goldwing di bawah kelab Permotoran Johor 17 atau J17.

Kelab yang dinaungi oleh Tunku Datuk Hassan Tunku Mohammed Archibald itu adalah antara kelab pemotoran yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Menurut Ketua Konvoi Pertama KMJG 2019, Shahrom Abdullah, matlamat KMJG 2019 adalah untuk menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang di seluruh Malaysia agar rakyat cinta akan negara tanpa mengira agama, bangsa dan darjat.

“Mesej yang dibawa oleh peserta KMJG 2019 cukup jelas iaitu mengajak masyarakat untuk sama-sama memahami erti kemerdekaan dan menterjemahkan semangat kemerdekaan itu dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis dan tempat yang sesuai.

“Oleh itu, di setiap lokasi yang disinggahi, pelbagai aktiviti dijalankan antara para peserta KMJG2019 dengan agensi-agensi kerajaan negeri dan masyarakat.

“Antaranya, penyerahan Jalur Gemilang kepada kepimpinan negeri, ketua agensi kerajaan dan masyarakat sebagai simbol perpaduan dan semangat cintakan negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bangsa dan fahaman.

Tambah Shahrom, KMJG telah diadakan sejak tahun 2006 di peringkat negeri sahaja sebelum diperbaharui pada tahun 2014 iaitu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan kelab permotoran mengembara satu Malaysia.

Dalam pada itu, Shahrom berkata, sepanjang laluan dan lokasi sambutan KMJG 2019, sambutan yang diterima agak meriah dengan kibaran Jalur Gemilang oleh kanak-kanak dan pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

“Setiap hentian di sekolah ataupun universiti, kami menekankan erti pengorbanan dalam sebuah negara yang merdeka.

“Antara lokasi yang terpilih untuk menyebarkan mesej ini ialah Politeknik Merlimau, Melaka; Sekolah Menengah Kebangsaan Kelapa Sawit, Kulai Johor dan Politeknik Muadzam Shah, Pahang,” tuturnya.

Erti kemerdekaan

Tambah Shahrom, amanah yang dibawa oleh semua peserta cukup besar.

“Ia sekali gus selari dengan objektif KMJG 2019 iaitu meningkatkan semangat patriotisme dan cintakan negara, menggalakkan penyertaan golongan muda dalam program anjuran kerajaan serta menghayati semangat Rukun Negara yang merupakan tonggak perpaduan dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru, sejak hari pertama, setiap motosikal dan kenderaan pacuan empat roda peserta dihiasi Jalur Gemilang.

“Kita berharap apabila bergerak di jalan raya, penunggang dan pemandu lain akan turut teruja dan sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing,” ujarnya.

Menurut salah seorang peserta konvoi, Asyraf Yusof, dia menghargai erti sebuah kemerdekaan.

“Biarpun terpaksa berpanas, bangun awal dan meninggalkan segala keseronokan selama sebulan menyertai KMJG 2019 ini, hati saya tetap seronok.

“Bagi saya, kemerdekaan dan kemakmuran yang dicapai oleh rakyat Malaysia hari ini adalah hasil daripada titisan darah yang diperjuangkan oleh perajurit-perajurit terdahulu,” tegasnya.

Tambah Asyraf, jika askar dahulu sanggup bergadai nyawa bagi memastikan kemakmuran negara, apalah sangat dengan panas terik dan hujan yang terpaksa ditempuh oleh peserta konvoi KMJG 2019 selama sebulan berkonvoi ke seluruh Malaysia.

“Bagi kami sebagai peserta, Jalur Gemilang merupakan panji-panji negara yang mesti dihormati.

“Semua peserta sanggup meninggalkan anak cucu, isteri, keluarga dan mengenepikan tugasan serta mengambil cuti semata-semata untuk menjayakan program KMJG 2019.

Katanya, memang pengorbanan itu tidaklah sehebat Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut, Kanang Anak Langkau dan tokoh-tokoh tersohor mempertahankan kedaulatan negara.

“Sedikit pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit ini, setidak-tidaknya terpahat di hati para peserta konvoi erti pengorbanan dalam sebuah kemerdekaan,” katanya.

Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan, perpaduan dan ketaatan kepada negara yang harus dipertahankan oleh rakyat Malaysia.