Jantungnya mula berdegup kencang dan dia cuba untuk bertenang, namun gagal apabila lampu LED itu masih tidak menyala.

Jarum jam ketika itu menunjukkan pukul 2 pagi dan pertandingan itu dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi 29 September lalu.

Masa yang semakin suntuk menjadikan gadis yang lebih mesra disapa sebagai Najwa tidak keruan.

“Saya ada masa beberapa jam untuk membetulkan lampu LED ini. Jika tidak, markah pasukan akan dipotong,” ujarnya.

Memegang portfolio sebagai ketua kumpulan dan juga jurutera elektrik bagi pasukan yang diberi nama Vincera, Najwa kemudian membetulkan beberapa wayar pada kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh itu.

Selepas dua jam, dua lampu LED yang terletak di bahagian belakang kenderaan itu kembali menyala, membuatkan Najwa menghela nafas lega.

Saingan sengit

Mengimbau kembali, Itu adalah antara detik cemas yang terpaksa dilalui Najwa bersama lima lagi ahli pasukannya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban, Negeri Sembilan.

BIARPUN penat, pasukan Vincera tetap berulang-alik dari Seremban

BIARPUN penat, pasukan Vincera tetap berulang-alik dari Seremban ke UPM, Serdang untuk mempelajari teknik menghasilkan sebuah kenderaan pacuan empat roda daripada tenaga pengajar di situ.

“Kami terpaksa bersengkang mata dan mengorbankan waktu tidur bagi memastikan kenderaan yang dihasilkan berfungsi dengan baik semasa pertandingan,” tuturnya.

Usaha mereka ternyata berbaloi apabila muncul juara bagi pertandingan mencipta pacuan empat roda Land Rover kawalan jauh yang diadakan pada 29 September lalu.

Pasukan Vincera seterusnya akan mewakili negara bagi kejohanan dunia yang akan diadakan di University of Warwick, Coventry, England pada 12 April tahun depan.

“Sejujurnya, kami tidak menyangka akan muncul juara peringkat kebangsaan kerana pasukan daripada sekolah lain semuanya hebat.

“Pasukan Namruq daripada Sekolah Menengah Agama Johor Bahru, Johor merupakan pesaing kami yang paling sengit. Ini kerana, selain muncul juara bagi pertandingan sama tahun lalu, kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh yang dihasilkan mereka cukup mengagumkan dari segi kelajuan dan kebolehannya melepasi halangan,” tutur Najwa panjang lebar.

PASUKAN Vincera teruja bakal wakili negara di kejohanan Land Rover

PASUKAN Vincera teruja bakal wakili negara di kejohanan Land Rover 4 x 4 in Schools World Final di University of Warwick, Coventry, England April tahun hadapan.

Tambah gadis itu lagi, cabaran paling sukar dalam pertandingan tersebut adalah melalui kawasan air terjun buatan kerana kenderaan pasukan mereka tersangkut pada trek tersebut.

Ahli pasukan Vincera yang lain ialah Nur Anis Sofea Azman, 16; Goh Yen Theng,16; Selvi Hong, 16; Alliqa Azreena Amirudin, 14 dan juga Hareez Dinie Nor Azlan, 14.

Cipta sendiri

Bagi pertandingan Land Rover 4 x 4 in Schools 2018, tiga hingga enam pelajar dikehendaki mencipta kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh mengikut spesifikasi ditetapkan.

Kenderaan tersebut kemudian diuji melepasi 14 jenis trek buatan antaranya termasuklah hutan, laluan berbatu besar serta jambatan senget.

Memegang portfolio sebagai ketua pasukan Vincera dan juga jurutera elektrik bagi kenderaan pacuan empat roda itu, Najwa berkata, kumpulannya hanya melepasi tujuh daripada 14 halangan yang dipertandingkan.

“Trek laluan yang ada sememangnya agak sukar untuk dilepasi dan kami perlu mengawalnya dengan baik menggunakan alat kawalan jauh,” jelasnya.

Sebelum mula mencipta kenderaan itu, jelas Najwa, mereka terlebih dulu membuat lakaran bagi mendapatkan bayangan kenderaan yang bakal dihasilkan.

Selepas itu, katanya, mereka perlu belajar perisian elektrik bagi memasang wayar dan papan elektrik termasuk enjin pada badan kenderaan serta memastikan ia boleh berfungsi.

Tegasnya, selepas badan dan bahagian enjin kenderaan siap, pasukan itu dengan kerjasama Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Masjid Tanah, Melaka menghasilkan plastik yang digunakan sebagai badan kenderaan yang seterusnya dicat dengan warna tema kumpulan itu.

Dalam pada itu, untuk pertandingan itu, teknologi tiga dimensi dan pengekodan tenaganya dibangunkan oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pensyarah Kanan fakulti tersebut yang terlibat secara langsung dalam membantu membangunkan sistem kawalan kenderaan pacuan empat roda Land Rover in Schools, Dr. Azizan As’arry berkata, dia cukup kagum dengan semangat serta kebolehan keenam-enam pelajar terbabit untuk belajar menghasilkan sebuah kenderaan menggunakan alat kawalan jauh.

Peringkat universiti

“Sejujurnya, sistem yang diguna pakai untuk membangunkan kenderaan ini ialah sistem yang dipelajari di peringkat universiti.

“Begitu pun, keenam-enam pelajar sekolah menengah ini diberikan pendedahan lebih awal dan mampu menghasilkan kenderaan pacuan empat roda yang hebat,” jelasnya ketika ditemui kru Panorama baru-baru ini.

Bagi pertandingan itu, sekolah tersebut bekerjasama dengan lima penasihat, kesemuanya merupakan pensyarah fakulti kejuruteraan UPM.

Berkongsi rasa, pemegang portfolio jurutera reka bentuk Vincera, Selvi Hong berkata, pengalaman menjuarai pertandingan itu merupakan satu pengalaman manis biarpun berdepan pelbagai cabaran.

“Antara cabaran besar termasuk harus bijak membahagikan masa antara pelajaran di sekolah dan juga persiapan pertandingan.

“Bagi peringkat kebangsaan, ia menguji kebolehan kami bekerja dalam satu pasukan. Semua persiapan serta sistem yang diguna pakai dibangunkan dalam tempoh enam bulan bermula Mac lalu,” jelasnya.

Tambah gadis berkaca mata itu lagi, biarpun teruja dengan kemenangan tersebut, dia akui agak gementar untuk berdepan dengan juara dari negara lain seperti Australia, Portugal, Brazil dan Afrika Selatan dalam kejohanan dunia nanti.

“Begitu pun, kami akan mencuba sehabis baik untuk mengharumkan nama negara,” ujarnya.

Pasukan dari SMK King George V, Seremban berjaya menjadi johan pertandingan kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh Land Rover 4 x 4 in Schools peringkat kebangsaan dan bakal berentap dalam kejohanan antarabangsa pada April tahun depan. - K! ONLINE