MOHAMAD SYUKRI
MOHAMAD SYUKRI

Suasana pada petang itu dirasakan cukup nyaman sehinggalah secara tiba-tiba pekerja di salah sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat sekitar Selangor itu ditahan oleh sekumpulan pemuda di suatu simpang.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, keadaan tersebut tidak sedikit pun mencurigakan malah mencuri perhatiannya.

Hal ini kerana kumpulan pemuda tersebut memakai pakaian yang diperbuat daripada bendera Jalur Gemilang sambil mengedarkan bendera Malaysia secara percuma kepada orang ramai. Jelas Mohamad Syukri, pemberian bendera tersebut dilakukan bersempena sambutan bulan kemerdekaan pada Ogos ini.

“Apabila saya mengambil bendera tersebut daripada tangan mereka, tiba-tiba sayu rasanya hati ini.

“Hal ini kerana saya terkenang suasana melakukan persiapan pada bulan kemerdekaan dengan menghias rumah di Kampung Sanggang, Temerloh, Pahang menggunakan bendera Jalur Gemilang.

Suram

“Kebiasaannya, kami sekeluarga akan memasang bendera dan mengibarkannya di luar rumah pada setiap tahun,” jelas Mohamad Syukri.

Tambah Mohamad Syukri, rata-rata jirannya di kampung juga akan menghias rumah mereka dan memasang bendera yang terdiri daripada pelbagai saiz.

Bagaimanapun katanya, suasana tersebut nyata jauh berbeza dibandingkan dengan keadaan di kawasan kejiranannya kini.

Kongsi Mohamad Syukri, jumlah bendera yang berkibaran di kawasan kejiranannya itu boleh dikira dengan jari.

“Semasa di kampung, kami berlumba-lumba untuk menunjukkan semangat patriotik.

“Malah, ada segelintir anak muda yang mengibarkan bendera sambil konvoi mengelilingi kampung dengan menaiki basikal dan motosikal.

“Saya pun tidak faham mengapa persiapan menyambut kemerdekaan di kawasan bandar seakan-akan suram sedangkan sepatutnya ia lebih meriah berbanding di kawasan kampung,” keluhnya.

Bagi pakar sosiologi Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi, semangat patriotisme yang kian luntur disebabkan sebilangan masyarakat menganggap kemerdekaan sebagai suatu isu yang remeh.

Katanya, masyarakat tidak melihat bahawa kemerdekaan itu relevan untuk diraikan.

“Masyarakat kini tidak nampak betapa besarnya perjuangan orang terdahulu malah mereka tidak merasai kesusahan serta keperitan membebaskan negara ini daripada penjajah.

“Sedangkan, maklumat berkaitan sejarah negara sangat penting dan perlu dihayati oleh seluruh masyarakat.

“Dalam konteks survival masa depan pula, masyarakat perlu sedar sejarah hitam dijajah oleh kuasa luar itu mungkin berulang sekiranya penghayatan dalam diri masyarakat berkaitan maklumat sejarah masih nipis,” katanya.

Justeru itu, Mohd. Zaidi menyarankan supaya suntikan semangat patriotisme perlu dilakukan sejak dari peringkat akar umbi.

Katanya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapkan semangat cintakan negara dari rumah menerusi amalan serta tauladan yang ditunjukkan setiap hari.

Hal ini kerana ibu bapa merupakan modal peranan yang akan menjadi ikutan anak-anak kelak.

Perubahan

Selain itu, kurikulum sistem pendidikan juga perlu menjalani transformasi menerusi hala tuju baharu di bawah Kementerian Pendidikan.

Katanya, ia merupakan masa terbaik bagi melaksanakan perubahan selepas rombakan besar-besaran kementerian tersebut.

“Sistem pendidikan kita mesti memberi keutamaan kepada kurikulum patriotisme dari peringkat awal kanak-kanak lagi.

“Saya sarankan tiga tahun pertama sekolah rendah perlu memberi fokus kepada amalan budaya yang baik dan patriotisme.

“Kerajaan baharu mesti berani membuat perubahan pada kurikulum untuk membentuk budaya patriotisme pada generasi akan datang yang bukan sahaja bersandarkan teori semata-mata malah berasaskan amalan praktikal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohd. Zaidi, media juga memainkan peranan yang sangat penting bagi mendekati generasi muda dengan kandungan digital yang lebih kreatif.