Gerakan yang disambut meriah oleh seluruh pencinta alam itu akan mengetengahkan tema yang berbeza pada setiap tahun.

Bagi tahun ini, tema yang diperkenalkan ialah Mengakhiri Pencemaran Plastik.

Isu pencemaran plastik bukan sahaja menghantui rakyat Malaysia tetapi meliputi penduduk di peringkat global kerana ia bagaikan musuh kepada alam sekitar.

Aktivis Alam Sekitar, Amlir Ayat berkata, masyarakat kini terlalu bergantung pada penggunaan plastik, sekali gus menyebabkan ia sukar untuk dikawal sehingga berlaku pencemaran.

Oleh yang demikian, perkara paling utama yang boleh dilakukan bagi mengurangkan pencemaran plastik ialah menerusi pendidikan berterusan di peringkat akar umbi.

Impak negatif

“Pencemaran plastik bukan sahaja akan merosakkan alam sekitar tetapi akan memberikan impak negatif terhadap kehidupan manusia.

“Jika sejak kecil masyarakat telah diberitahu mengenai keburukan plastik, saya pasti mereka akan membesar dengan tahap kesedaran yang tinggi.

“Bagi memastikan ia dapat dijayakan, mesej itu perlu disebarkan secara konsisten dan berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, Amlir juga menyarankan penggunaan alternatif mesra alam berasaskan tumbuhan bagi menggantikan plastik.

Sebagai contoh, penggunaan beg kertas dan kain dilihat relevan untuk membungkus bahan mentah seperti ikan bagi menggantikan plastik ketika berbelanja di pasar.

Ia seterusnya dapat terurai dan dijadikan baja secara semula jadi.

Bagi penulis buku bertemakan alam sekitar, Fanny Lai, tema pencemaran plastik bagi sambutan Hari Bumi kali ini begitu dekat di hatinya.

Fanny berkata, dia bersama beberapa orang rakannya merantau ke negara Papua Barat, Indonesia baru-baru ini.

“Ia merupakan destinasi percutian yang menakjubkan kerana disajikan dengan pemandangan laut yang menenangkan.

“Selain itu, aktiviti marin yang ditawarkan kepada pelancong juga menyeronokkan terutamanya apabila mereka dapat bermain dengan hidupan laut eksotik secara lebih dekat.

“Ironinya, segala keindahan itu direncatkan oleh sampah, botol plastik, bekas makanan dan sandal yang dibuang di merata tempat,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Fanny, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana pembuangan sisa plastik di kawasan laut terbuka akan menjejaskan hidupan marin kerana ia tidak dapat terurai secara semula jadi.

Oleh yang demikian, Fanny menyifatkan sambutan Hari Bumi kali ini merupakan medium terbaik baginya berkongsi keburukan plastik.

Ia bukan sahaja untuk kebaikan dirinya tetapi manfaat generasi akan datang yang mahu menikmati alam semula jadi.

Kemeriahan sambutan Hari Bumi itu turut dirasai di negara ini seperti yang dianjurkan oleh Malaysian Environmental NGOs (Mengo) di Banglo Khazanah Ilmu, Taman Tugu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara itu dianjurkan sebagai tanda sokongan terhadap kempen perlindungan alam sekitar.

Difahamkan, sambutan Hari Bumi di peringkat global itu mula diperkenalkan sejak tahun 1970.

Ia merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengurangkan pencemaran industri serta perlindungan alam sekitar.

Menariknya, Mengo menggunakan pendekatan berbeza pada sambutan Hari Bumi kali ini.

Pengerusi Mengo, I. S. Shanmugaraj berkata, sambutan Hari Bumi yang dianjurkan di Banglo Khazanah Ilmu itu lebih berpaksikan kepada pemerkasaan flora dan fauna.

“Sebanyak 31 pokok daripada pelbagai spesies akan ditanam di kawasan hutan Taman Tugu oleh wakil ahli Mengo.

“Selain itu, dianggarkan kira-kira seribu anak benih pokok merbau telah ditanam di kawasan sama dengan penglibatan orang awam.

Tarikan

“Pokok itu akan melatari kawasan pejalan kaki di hutan Taman Tugu serta menjadi tarikan utama taman yang dijangka dibuka pada penghujung tahun ini,” katanya.

Sambutan Hari Bumi anjuran Mengo mencatatkan penyertaan lebih 350 pengunjung dari seluruh negara.

Ia merupakan acara terbuka dengan pelbagai aktiviti dan pameran berkaitan alam semula jadi yang menarik untuk diteroka.

Shanmugaraj berharap, aktiviti seperti itu dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang, sekali gus menyokong usaha melestarikan alam sekitar di peringkat global.

Ia merupakan kempen kesedaran dengan sajian pelbagai informasi berkaitan alam dalam bentuk yang lebih santai serta menyeronokkan.