Apatah lagi filem sekuel Munafik iaitu Munafik 2 mencatatkan kutipan paling tinggi dalam sejarah penghasilan filem dengan jumlah kutipan pecah panggung sebanyak RM40 juta.

Bukan sahaja Munafik 2, malah beberapa filem tempatan antaranya Paskal dan naskhah sutradara prolifik, Mamat Khalid bertajuk Hantu Kak Limah (HKL) turut mengikut rapat pencapaian Munafik 2.

Filem HKL bersandarkan genre komedi mencatatkan kutipan sebanyak RM36 juta. Paskal yang mengangkat kisah unit pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) arahan Adrian Teh yang juga debut sulung pengarah itu dalam sinema Melayu pula mencatatkan kutipan sebanyak RM30 juta.

Menyaksikan aliran kutipan pecah panggung filem tempatan sejak beberapa tahun lalu adalah sukar untuk sesebuah filem mencatatkan kutipan minimum RM20 juta.

Malah, tirai filem pada tahun 2017 menyaksikan filem sekuel Abang Long Fadil 2 sekadar mengutip sebanyak RM18 juta.

Maka, tidak hairanlah kejayaan tiga filem mencatatkan kutipan melebihi RM30 juta pada tahun lalu dilihat sebagai tanda aras baharu terhadap industri filem negara.

Fokus pembikinan

Mendapatkan pandangan daripada pengarah Paskal, Adrian tidak menyangka filem sulung yang dibikin khas untuk pasaran Melayu tersebut berjaya mendapat tempat dalam kalangan khalayak.

Pada awal pembikinan filem tersebut, dia sebenarnya tidak meletakkan sebarang sasaran berikutan tema yang diketengahkan.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran ketika mengarahkan Paskal. Cuma, hasrat saya mahu melakukan yang terbaik dan mencipta kelainan. Pada pendapat saya, atas kapasiti itu Paskal berjaya di pawagam,” jelasnya.

Imbaunya, ketika kali pertama menggarap Paskal, dia gagal menemui mana-mana pelabur yang sudi menyalurkan wang untuk menyiapkan filem berkenaan.

“Sewaktu saya mahu mengarahkan Paskal, saya masih ingat betapa sukarnya untuk mencari pelabur. Kini setelah kejayaan Paskal, pelabur lebih yakin terhadap karya saya.

“Selepas kejayaan Paskal, peluang membikin filem hadir sendiri. Mereka pula yang berusaha memenuhi keperluan produksi,” dedahnya.

Kembali ke kerusi pengarah dengan menghasilkan Wira, Adrian kekal dengan pegangan tidak menghiraukan pendapat penonton.

Namun, katanya, pegangan sebegitu tidak bermaksud menafikan kehendak penonton di pawagam, sebaliknya dia enggan berdepan sebarang tekanan sepanjang membikin Wira.

Tambahnya, walaupun pernah menghasilkan filem pecah panggung, dia masih tidak dapat meneka kehendak khalayak.

“Kutipan pecah panggung bukan bawah kawalan saya atau mana-mana pengarah. Seperti filem terdahulu, saya tidak mempunyai sebarang sasaran.

“Fokus saya ingin menghasilkan filem yang mampu meletakkan Malaysia ke mata dunia. Saya mahu orang ramai berasa bangga bahawa Malaysia mempunyai filem setaraf produk antarabangsa,” katanya.

Realistik industri

Industri filem Malaysia pernah dikejutkan dengan luahan tulus kekesalan pelakon yang juga pengarah, Nam Ron berikutan filemnya, One Two Jaga gagal mendapat tempat di hati penonton.

Biarpun gagal di pasaran komersial, ternyata filem berkenaan beroleh kemenangan besar dalam majlis anugerah.

One Two Jaga yang mencatatkan kutipan sebanyak RM343,000 juga telah mengiktiraf Nam Ron dalam lapangan dunia pengarahan sehingga bergelar Pengarah Terbaik Asia.

Menerusi filem berkenaan, julung kalinya Nam Ron diangkat sebagai Pengarah Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-30 dan Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean yang lalu.

Umum berpendapat filem kedua Nam Ron tersebut unik atas keberanian mengangkat tema rasuah kepolisan dalam filem.

Bagaimanapun, pada masa sama, tema tersebut dianggap tabo dan gagal menarik perhatian penonton berikutan garapan filem yang dianggap berat dan berfalsafah.

Dalam erti kata yang mudah, One Two Jaga hebat pada mata juri, namun lemah dari sudut komersial.

Akur dengan status filem One Two Jaga tidak mempunyai nilai komersial, Nam Ron bagaimanapun masih berpuas hati berikutan terdapat pihak yang masih menghargai naskhah arahannya.

Namun, tegas pengarah berusia 50 tahun itu, sebagai pengkarya, dia perlu teguh dengan nilai seni berbanding memenuhi selera komersial dambaan penonton.

“Sebagai pengarah, saya berpendapat golongan kami sama seperti seorang sasterawan, ahli pemikir dan penulis. Ada suara dan pendapat yang ingin disampaikan.

“Sebagai anak seni, sesebuah karya yang dihasilkan tidak boleh atas kapasiti hiburan semata-semata atau mereka-reka cerita tanpa nilai,” tegasnya.

Jelasnya lagi, apabila mengakui diri sebagai anak seni, mereka perlu mengambil tanggungjawab sebagai pencerita kepada masyarakat yang tidak bersandarkan untung semata-mata.

Nam Rom lebih gemar menjadikan filem sebagai penghubung penceritaan bermanfaat atau didikan terhadap isu-isu terkini.

“Mengambil contoh menerusi One Two Jaga, saya telah mengangkat isu rasuah dalam dunia kepolisan.

“Kami tidak mereka-reka kisah ini kerana isu tersebut benar-benar berlaku. Kami berjumpa dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan perbincangan demi filem berkenaan.

“Pada pendapat saya, isu rasuah ini segar dan perlu diketengahkan tetapi watak dan jalan cerita adalah khayalan.

“Di situ imaginasi saya sebagai pengarah mula menggarap kisah tersebut, namun asas atau cerita asal dalam filem adalah realiti dunia kepolisan dan bukan rekaan,” tuturnya.

Evolusi industri

Pada tahun lalu, produksi Astro Shaw antara yang galak mencatatkan kutipan memberangsangkan dalam industri, sama ada sebagai rakan kerjasama mahupun penerbit filem tunggal.

Selain Paskal, Astro Shaw turut bekerjasama dengan produksi lain untuk menerbitkan filem seperti HKL dan Polis Evo 2 dengan kutipan sebanyak RM20 juta.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu & Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, saban tahun beliau menyifatkan industri perfileman tempatan sedang berevolusi.

Asas menyokong pendapatnya, Khairul berkata, menyaksikan kemampuan filem mencatatkan kutipan pecah panggung selain sokongan penonton, beliau yakin terhadap perkembangan positif industri kreatif tanah air.

“Satu masa dahulu sukar untuk filem anak tempatan mencecah kutipan sehingga RM20 juta, tetapi kita telah melihat tiga filem berada dalam kelompok kutipan RM30 juta ke atas pada tahun lalu.

“Saya bersyukur Paskal menjadi sebahagian dalam kelompok berkenaan di samping HKL dan Munafik 2.

“Sukar untuk filem tempatan mencatatkan kutipan sebanyak itu. Kejayaan ketiga-tiga filem ini menunjukkan bahawa penerimaan penonton semakin positif,” ujarnya.

Seiring perkembangan tersebut, Khairul berkata, seluruh penggiat seni perlu mengambil tanggungjawab untuk bersaing secara sihat menghasilkan filem berkualiti.

Katanya, sudah tiba masanya penggiat industri bercita-cita tinggi mengangkat martabat filem Malaysia.

“Salah satu faktor yang perlu difikirkan penggiat filem adalah penguasaan pasaran.

“Sebagai contohnya dalam penghasilan Wira, naskhah ini sarat dengan aksi. Pada masa sama, kami tidak mahu rating tontonan terhad pada tangga usia 18 tahun ke atas.

“Kami mahu pastikan filem ini boleh disaksikan setiap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Hakikatnya, sesebuah filem perlu menjaga nilai komersial pada masa sama menjanjikan nilai sinematik berkualiti dan membawa penonton ke dimensi berbeza.

“Setiap filem perlu mempunyai keunikan tersendiri. Di Astro, kami jelas dengan genre yang ingin dipersembahkan.

“Sama ada komedi, seram dan aksi, kami akan memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah,” janjinya.

Kejayaan kutipan pecah panggung sehingga mencecah lapan angka tidak boleh dijadikan sandaran bahawa industri perfileman semakin positif, sebaliknya penggiat industri perlu gigih menggali idea segar demi meningkatkan martabat produk filem tanah air.