Bukan sahaja orang biasa, malah beberapa orang selebriti popular juga memilih perkara serupa namun pada masa sama, masih mampu mengekalkan populariti mereka.
Tanpa mempunyai sebuah akaun rasmi media sosial, para selebriti yang dianggap ketinggalan zaman kekal menjadi pilihan untuk mewakili jenama-jenama popular dunia.

George Clooney - Aktor berusia 55 tahun itu menganggap penggunaan media sosial sebagai satu cara yang membenarkan dirinya lebih terdedah kepada berita-berita yang mengarut dan di luar kawalannya. 

Sebagai seorang selebriti, dia merasakan eksklusiviti yang ada perlu dikekalkan dan tidak perlu menjadikan dirinya terlalu mudah didekati meskipun hanya di media sosial. Namun itu tidak menghalang dirinya menjadi wajah beberapa kempen jenama tersohor seperti jam Omega dan mesin pembancuh kopi Nespresso Print.

Scarlett Johansson - Bintang Avengers, Scarlett Johansson berpendapat penggunaan media sosial yang semakin berleluasa sebagai satu fenomena yang menjelikkan kerana dia tidak pernah berminat untuk berkongsi setiap perincian aktiviti hariannya kepada dunia.

Kata Johansson, dia sudah cukup penat melayan paparazi yang sering mengganggu privasi keluarganya, jadi dia tidak bercadang menambahkan lagi pencerobohan sedemikian dalam hidup. Sungguhpun begitu, inilah wajah yang sering menghiasi kempen bagi jenama beg tangan popular dunia seperti Louis Vuitton, Dolce & Gabbana dan Dior.

Benedict Cumberbatch - Hero filem Dr. Strange, Benedict Cumberbatch mengakui bahawa dirinya tidak memiliki skil atau kelebihan seperti orang lain untuk mengendalikan akaun media sosial dan berasakan karier dan hidupnya lebih selamat jika menjauhi dunia tersebut.

Setakat ini, dia pernah dipilih menjadi wajah bagi kempen jenama MG Cars dan Dunlop.

Julia Roberts - Aktres yang memiliki senyuman paling menawan di dunia, Julia Roberts masih mampu mengekalkan reputasi selaku antara bintang Hollywood paling mahal dibayar bagi sesebuah filem biarpun tidak memiliki akaun media sosial.

Wajah yang sering mewarnai kempen jenama seperti Lancome dan Givenchy ini menyifatkan media sosial sebagai penipuan paling manis kerana semua yang dipaparkan bukanlah realiti kehidupan sebenar.

Kristen Stewart

Aktres yang popular dengan siri filem Twilight, Kristen Stewart memberitahu bahawa dia tidak melihat kepentingan berkongsi butiran hal peribadinya dalam media sosial biarpun bergelar seorang selebriti.

Tambahnya, mewujudkan sebuah akaun media sosial hanya akan menimbulkan rasa kurang yakin sesama individu dan akhirnya menimbulkan isu yang merepek. 
Biarpun begitu, dia masih menjadi pilihan jenama seperti Chanel dan Balenciaga untuk dijadikan wajah bagi produk-produk mereka.