Kini, Jiang merupakan salah seorang daripada beratus-ratus lelaki di China yang berkongsi tentang tip kecantikan di alam maya. Keadaan itu sekali gus membuatkan industri kecantikan di Beijing, China dimonopoli oleh kaum lelaki.

“Saya dapati memakai alat solek adalah satu perkara mudah. Jika ada wanita yang ingin memakaikan saya alat solek, saya rasa mereka tidak mampu mencapai tahap yang saya mahukan,” kata Jiang, 24, sambil mengoles berus pada wajahnya.

Setiap minggu, Jiang menghabiskan masa berjam-jam di hadapan iPhone untuk merekodkan tutorial menyolek wajah menggunakan pelbagai rangkaian alat solek baharu dan lama.

Kadangkala, Jiang akan membuat sesi siaran langsung bersama beratus-ratus pengikutnya secara online.Jiang menjadikan bilik kecilnya sebagai studio.

Jenama kosmetik

“Warna ini tidak begitu sesuai untuk lelaki,” katanya di hadapan telefon sambil menerangkan sebab-sebab mengapa warna berkenaan tidak digalakkan untuk dipakai.

Selebriti kecantikan secara online telah membentuk industri yang besar kepada China sehingga menyatukan dunia hiburan dan e-dagang.

Syarikat seperti Alibaba dan JD.com telah melancarkan platform siaran secara langsung yang membolehkan penonton membeli sambil menonton video berkenaan.

Malah, jenama kosmetik membayar wang yang lebih tinggi kepada selebriti secara online terutamanya wanita untuk mempromosikan produk-produk mereka.

Namun ketika ini, pasaran dan norma jantina sudah berubah dengan kosmetik tidak lagi dilihat hanya layak untuk wanita sebaliknya lelaki.

Jiang berkata, firma yang menguruskan penulis blog membayarnya sekitar 5,000 yuen (RM3,000) sebulan untuk mengguna dan mempromosikan produk daripada syarikat kosmetik berkenaan.

Menurut firma penyelidikan Euromonitor, pasaran kecantikan lelaki di China dijangka meningkat 15.2 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding peningkatan global sebanyak 11 peratus dalam tempoh sama.

Sementara itu, seorang blogger video, Lan Haoyi dibayar syarikat asing seperti La Mer dan Aesop untuk mempromosikan produk mereka kepada hampir 1.4 juta pengikutnya.

Lelaki berusia 27 tahun itu membelanjakan sehingga 10,000 yuan (RM6,000) sebulan untuk membeli produk kecantikan.

Walaupun telah mencapai banyak kemajuan di kebanyakan bandar, Lan berkata, dia masih menerima kritikan dan mesej membenci kerana muncul dengan pembayang mata berwarna merah.

“Mengapa seorang lelaki kelihatan seperti itu? Kenapa seorang lelaki perlu memakai alat solek? Ini adalah beberapa mesej yang saya dapat,” kata Lan, sambil menambah dia pernah digelar pondan dan sebagainya.

Dalam pada itu, bagi Jiang, ketakutan untuk ditertawakan oleh ibu bapanya sendiri menghalangnya daripada memegang berus alat solek di hadapan mereka.

“Saya tidak mahu bertengkar dengan ibu bapa. Kami tidak pernah berjumpa secara begini (ketika memakai alat solek).

“Saya tidak mengatakan mereka akan memberi komen solekan saya buruk tetapi mereka tidak akan dapat menerima rutin sebegini dilakukan oleh kaum lelaki,” ujarnya.

Bisnes online

Namun kepada Pengarah Eksekutif Chetti Rouge, Mo Fei yang mensasarkan lelaki sebagai pelanggannya berkata, keadaan itu akan berubah dari semasa ke semasa.

“Tidak lama lagi akan ada lebih ramai lelaki yang mengambil berat tentang rupa paras mereka, lelaki di Barat akan lebih menerimanya,” kata Mo.

Dia membuka Chetti Rouge pada tahun 2005 dengan beberapa produk. Kini, syarikat kecantikan itu menjual pelbagai jenis kosmetik semata-mata untuk lelaki dan telah menjalankan perniagaan secara online sepenuhnya.

“Kami telah melihat potensi itu lebih awal. Memang ada lelaki terbuka menerima alat solek tetapi untuk membelinya secara terbuka di pusat beli-belah mungkin sedikit menakutkan.

“Maka cara terbaik untuk mereka ialah membeli secara online. Itulah strategi jualan kami,” katanya sambil menambah bahawa syarikatnya itu telah berkembang ke Thailand sejak tiga tahun lalu. – AFP