Terkejut dengan perkara itu, Ketua Polis Narathiwat, Pattanawut Angkanawin dalam satu kenyataan berkata, dia sedih apabila dimaklumkan bahawa lima orang anggota sukarelawan tempatan cedera apabila sebutir bom telah meletupkan kereta yang dinaiki mereka yang pada ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mereka yang baru pulang dari menjalankan tugas keselamatan di Tak Bai pada pukul 4.30 petang dilaporkan cedera parah manakala kereta dinaiki mereka rosak teruk.

“Bom tersebut telah diletupkan ketika mereka pulang daripada menjaga keselamatan pilihan raya ketua kampung di Mukim Chek He, Tak Bai.

“Namun, ini pula yang terjadi. Lebih menyedihkan, kaki salah seorang sukarelawan tersebut juga telah putus akibat letupan tersebut,” keluh Angkanawin.

Insiden lain

Sehari sebelum itu di wilayah Songkhla pula, seorang lelaki terbunuh manakala 14 yang lain cedera selepas motosikal yang diletakkan bom telah meletup di hadapan sebuah kedai runcit di wilayah tersebut.

Insiden yang berlaku pada petang itu turut mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Menurut jurucakap rasmi negara itu, serangan tersebut dianggap sebagai insiden keganasan dan telah melanggar hak asasi manusia.



PASUKAN penyelamat memeriksa serpihan motosikal yang musnah akibat letupan bom yang dipasang pada kenderaan itu di Songkhla pada Rabu lalu.

Hal ini kerana pengebom tergamak mengebom sesiapa sahaja sehingga mencederakan seorang kanak-kanak yang tidak bersalah.

Dalam insiden tersebut, seorang sumber memberitahu, pengebom mensasarkan bom kepada seorang pegawai yang berada di sebuah kedai runcit.

Apabila pihak berkuasa tiba un­­tuk memadamkan api, mereka meletupkan satu lagi bom yang disembunyikan pada sebuah motosikal.

Rundingan

Bom seberat 10 hingga 15 kilogram itu berjaya dikesan oleh signal radio. Insiden bom itu dikatakan sama dengan insiden yang berlaku di stesen kereta api Chana, Songkhla pada 11 April lalu.

Kesan daripada insiden tersebut, beberapa buah rumah yang jaraknya kira-kira 30 meter dari kawasan yang dibom mengalami kerosakan.

Pihak polis sedang mengkaji rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kumpulan pengebom.

Kerajaan Thailand mengutuk tindakan pengebom kerana mereka tidak mengambil kira keselamatan penduduk awam.

Gabenor Songkhla, Songpol Sawattham melawat keluarga le­la­ki yang terbunuh itu dan menyerahkan sumbangan berjumlah Bt500,000 (RM55,­636.52)

Menurut pihak berkuasa, mereka berharap agar orang ramai sentiasa berwaspada dan membantu memberikan maklumat kepada polis sekiranya terlihat kelibat orang yang mencurigakan.

Pegawai-pegawai keselamatan juga akan mengambil jalan keluar dengan mengadakan rundingan damai bersama pengganas yang dijadualkan pada akhir April dan awal Mei depan.

Pegawai keselamatan yakin mereka telah mengadakan rundingan damai dengan kumpulan hak pemberontak dan mereka berada di peringkat membina kepercayaan bersama.