Ekoran daripada kegagalan untuk mengesan semula tiga spesies badak jawa tersebut, haiwan itu dikatakan telah pupus sepenuhnya di Malaysia.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konservasi Biodiversiti, Jabatan Perlindungan Hi­dupan Liar dan Taman Negara (Perhi­litan), Mohd. Samsudin Mohd. Suri yang ditemui kru Jurnal menjelaskan bahawa spesies badak jawa di Malaysia sebenarnya telah lama pupus iaitu sejak 85 tahun lalu.

Menurut rekod Red List Threatened­ yang dikeluarkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), badak jawa telah lama pupus di Malaysia iaitu sebelum era Perang Dunia Kedua pada tahun 1932 lagi.

“Bahkan terdapat maklumat tiga ekor badak jawa terakhir telah ditembak mati di Selangor dan Perak sekitar tahun 1926 dan 1932.

“Badak jawa juga dilaporkan telah pupus sejak 50 tahun lalu di beberapa tempat lain seperti di Vietnam, namun satu bangkai yang didakwa daripada spesies badak jawa telah ditemui dengan kesan tembakan pada 2010 di Vietnam,” ujar Mohd. Samsudin.

Ujung Kulon

Dakwanya lagi, satu-satu­nya taburan yang menjadi habitat badak jawa yang masih ada di dunia adalah di Taman Nasional Ujung Kulon yang terletak di bahagian barat Pulau Jawa, Indonesia.

Melihat kepada populasi badak jawa yang begitu membimbangkan, haiwan yang dikenali dengan nama saintifik rhinoceros sondaicus itu telah diletakkan sebagai haiwan yang di­lindungi sejak tahun 1931 di Indonesia sebelum Ujung Kulon diisytiharkan sebagai taman nasional pada tahun 1992.

Taman Nasional Ujung Kulon yang menjadi satu-satunya tempat pemuliharaan badak jawa di dunia pada hari ini dianggarkan mempunyai sekitar 45 hingga 60 ekor badak jawa sahaja.

Bercerita tentang sejarah taburan badak jawa di Asia, haiwan tersebut dikatakan menyebar dari utara ke timur India dan memasuki bahagian selatan China sebelum sampai ke bahagian tanah besar Asia Tenggara yang meliputi Laos, Myanmar, Kemboja, Vietnam, Thailand, Semenanjung Malaysia serta Pulau Sumatera dan Pulau Jawa, Indonesia.

“Jika diikutkan, badak jawa dan badak sumatera mempunyai sejarah taburan yang hampir sama, cuma bezanya badak jawa tidak didapati di Pulau Borneo, manakala badak sumatera pula tidak pernah direkodkan di Pulau Jawa,” kata Mohd. Samsudin

Terdapat lima jenis spesies badak yang ada di dunia dengan tiga daripadanya terdapat di Asia termasuk dua spesies di Asia Tenggara iaitu badak jawa dan badak sumatera, sementara dua lagi di benua Afrika.

Kalau diikutkan, spesies badak terutama di Asia iaitu badak jawa, badak sumatera dan badak india telah melalui zaman terancam sejak dahulu lagi disebabkan pelbagai faktor seperti kemusnahan habitat yang diteroka dan ancaman daripada pemburu haram.

Kejadian bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi turut menyumbang kepada ancaman kepupusan spesies badak jawa di Indonesia. Kesan kehilangan habitat dan pemburuan menjadi punca menyebabkan populasinya menjadi kecil sekali gus membawa kepada masalah-masalah lain seperti demografi dan genetik terutamanya badak sumatera.

Apabila populasi badak menjadi semakin kecil, ia mengakibatkan badak-badak yang ada semakin terpisah antara satu sama lain dan berlaku kemerosotan kepelbagaian genetik yang akhirnya populasi menjadi kurang daya tahan.

Kehidupan badak tidak se­perti gajah yang bergerak secara berkumpulan. Maka, apabila berlakunya pecahan populasi yang meluas, ia mengakibatkan badak tidak dapat bertemu pasangan untuk mengawan.

Sifat badak

Keadaan menjadi lebih buruk apabila populasi jantina badak jantan dan betina didapati tidak seimbang untuk mengawan sehingga menjejaskan pembiakannya.

Badak betina yang tidak bun­ting dalam masa yang panjang apabila sampai tempoh matang mengakibatkan saluran peranakannya mempunyai masalah yang boleh menghalang pembiakan. Menyedari populasi spesies ba­dak sumatera di Semenanjung Malaysia semakin menurun selepas mendapat tekanan daripada pelbagai faktor terutamanya pene­rokaan hutan di luar kawasan perlindungan dan pemburuan haram, Perhilitan dahulu pernah membuka sebuah pusat pembiakan badak sumatera di Sungai Dusun, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Di pusat pembiakan itu, badak-badak sumatera yang diselamatkan telah dibawa ke situ untuk pemuliharaan dan pada masa sama badak-badak tersebut telah cuba dibiakkan di dalam kurungan.

“Bagaimanapun, kita dapati hasil yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan kerana beberapa faktor antaranya masalah ke­suburan, penyakit dan keserasian tempat,” ujarnya.

Habitat badak jawa dan badak sumatera adalah di dalam hutan hujan tropika dengan ciri-ciri kawasannya diselubungi hutan tebal, struktur tanah pamah dan mempunyai banyak saliran.

Sifat badak itu sendiri sememangnya gemar berkubang di dalam kawasan berlumpur pada siang hari bertujuan untuk menyejukkan badan.

Di Malaysia, populasi badak suma­tera yang ter­tinggi pernah direkodkan adalah pada tahun 1980-an iaitu sebanyak 77 hingga 130 ekor.

Dua ekor

Di Semenanjung Malaysia, kebanyakan taburan badak sumatera yang pernah direkodkan tertumpu di kawasan perlindungan seperti Taman Negara, Taman Negeri Endau Rompin dan Taman Negeri Royal Belum.

Beberapa kawasan hutan simpan yang terdapat di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Selangor dan Johor juga dikenal pasti menjadi habitat bagi badak sumatera.

Bagaimanapun, sepanjang tahun 2000 hingga 2005, populasi badak sumatera dilaporkan me­nurun sehingga 50 peratus.

Kali terakhir kesan badak sumatera direkodkan adalah pada tahun 2008 semasa tinjauan hidupan liar di kawasan Hutan Simpan Temenggor, Perak dijalankan.

Namun, pada hari ini, belum ada tanda-tanda penemuan terbaharu di habitat liar. Populasi badak sumatera di Malaysia yang masih boleh dilihat hanya terdapat dua ekor sahaja yang mana kedua-duanya kini ditempatkan dalam jagaan di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Sabah.

Melihat pada situasi tersebut, Animal Projects & Environmental Education Sdn. Bhd. (APE Malaysia), sebuah badan sosial yang aktif melakukan program kesedaran memulihara alam sekitar giat me­lakukan aktiviti-aktiviti kesedaran terutamanya bagi golongan muda.

Pengarah Projek APE Malaysia, Mazrul Mahadzir, 36, memberitahu, mesej yang disampaikan dalam setiap program yang dibuat memberi tumpuan kepada menghargai alam sekitar kerana ia mempunyai hubung kaitnya dengan hidupan haiwan liar.

“Pencabulan terhadap alam sekitar, misalnya pembalakan haram bukan sahaja akan memberi kesan pada haiwan liar, tetapi juga kepada manusia,” ujar Mazrul sewaktu dihubungi kru Jurnal.

Penebangan hutan-hutan yang menjadi habitat semula jadi bagi haiwan liar boleh menyebabkan perubahan cuaca menjadi sema­kin panas selain turut menjejaskan rantaian ekosistem bagi haiwan liar.

Menurut Mazrul, semua pihak perlu memainkan peranan bermula dengan langkah kecil seperti mengamalkan kitar semula dalam menjaga kualiti alam sekitar.

Walaupun perkara yang dilakukan nampak kecil, namun ia sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam memastikan hidupan di muka bumi ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

Populasi badak sumatera di Malaysia yang kian meruncing dikhuatiri bakal menerima nasib sama seperti kepupusan badak jawa.