Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut pencinta alam, Laili Basir sewaktu meninjau keadaan semasa hutan di Merapoh, Pahang baru-baru ini.

Ketika tinjauan itu, hutan tersebut sedang ditebang dengan rakus oleh pembalak tanpa memikirkan kesannya kepada hidupan.

Menurut Laili, aktiviti pembalakan di hutan yang bersempadan dengan Kelantan itu mula dikesan pada bulan lalu.

Jelasnya, aktiviti pembalakan itu merangkumi kawasan keseluruhan seluas 668.8 hektar di kawasan hutan sekitar Gua Hari Malaysia. Ketika ini, dianggarkan lebih 200 hektar hutan di situ telah ditebang.

“Saya difahamkan, aktiviti pembalakan ini dilakukan bagi membolehkan kegiatan perladangan secara besar-besaran.

“Keadaan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk sekitar apabila semua pokok ditebang tanpa mengira saiz,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Khazanah alam semula jadi yang terletak di hutan berhampiran Jalan Merapoh-Gua Musang itu dianggarkan berusia ratusan juta tahun.

Kawasan itu memiliki deretan gua batu kapur, air terjun, sungai dan gunung yang cukup mempesonakan.

Tidak cukup dengan itu, hutan tersebut menjadi habitat kepada flora seperti spesies bunga pakma tikus iaitu keluarga rafflesia terkecil di dunia.

Justeru, tidak hairanlah Merapoh sering menjadi pilihan pencinta alam semula jadi yang ingin menenangkan fikiran atau membuat kajian.

Selain itu, ia turut menjadi tumpuan para penggemar aktiviti lasak yang berhajat mendaki gunung, meredah hutan dan meneroka gua.

Laili yang juga pengasas Gua Hari Malaysia memaklumkan, kedudukan kawasan pembalakan tersebut begitu hampir dengan Sungai Merapoh.

Katanya, keadaan itu dikhuatiri akan menjejaskan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih penduduk setempat.

“Setahu saya, pihak pembalak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antaranya jauh daripada sumber air.

“Namun, kawasan pembalakan ini begitu hampir sehingga menyebabkan air sungai menjadi keruh selain dipenuhi sampah-sarap,” jelasnya.

Kemusnahan alam yang berlaku di Merapoh turut mendapat perhatian Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Membimbangkan

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan baru-baru ini, kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti pembalakan tersebut.

Peka dan SAM dimaklumkan pelesen tidak mengemukakan sebarang Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar.

Situasi itu dibimbangi akan menyebabkan semua hasil hutan di kawasan Merapoh dieksploitasi secara tebang habis sehingga menjejaskan habitat flora dan fauna.

Nada terkilan dan rasa tidak puas hati turut disuarakan oleh salah seorang penduduk tempatan, Muhammad Fairul Azwan.

Pemuda yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Meropoh itu memaklumkan, aktiviti pembalakan telah menjejaskan sumber pendapatannya sebanyak 40 peratus.

“Kebanyakan pelancong yang datang ke Merapoh adalah untuk meneroka keindahan hutan dan gua-gua yang jarang ditemui di tempat lain.

“Selepas aktiviti pembalakan ini, ramai pelancong yang membatalkan kunjungan mereka ke sini,” katanya dalam nada sayu.

Menurut lelaki berusia 22 tahun itu, tempias pembalakan tersebut juga dikhuatiri terkena pada Gua Hari Malaysia yang terkenal sebagai antara gua tercantik di negara ini.

Jelasnya, sekiranya gua itu terjejas, dia yakin jumlah kehadiran pelancong ke kawasan berkenan akan terus berkurangan.