Menerusi riak wajah mereka, masing-masing seakan-akan tidak sabar untuk menyaksikan teater Sekangkang Kera yang bakal dipentaskan bila-bila masa sahaja itu.

Tiba-tiba seluruh ruang dewan bergelap kecuali kawasan pentas yang dilimpahi beberapa lampu sorot.

Seluruh perhatian penonton kini tertumpu kepada wayang hidup yang berada di atas pentas.

Ada watak A, selaku pencerita, ada watak Ibrahim Yamamoto, Pak Ridhuan dan Lolita yang membantu menghidupkan pementasan.

Berkonsepkan satira komedi, tidak hairanlah apabila hilai tawa penonton sentiasa kedengaran sepanjang teater yang berdurasi satu jam 15 minit itu dipentaskan.

Apa yang pasti, Sekangkang Kera anjuran Integriti dengan kerjasama Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pewira) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sarat dengan sindiran serta falsafah berkaitan sosial semasa.

Penyelaras Program Warisan dan Budaya Integriti, Ahmad Fison Hamdi berkata, persembahan teater itu merupakan sebahagian daripada aktiviti program sempena Integrity Art Night yang bertujuan untuk menyebar mesej integriti kepada masyarakat menerusi seni.

"Sebenarnya, kami mempunyai 10 program lain di bawah Pusat Pembangunan dan Pelaksanaan Program di Integriti. Warisan dan Budaya adalah salah satu daripada 10 program itu.

"Menerusi teater ini, secara tidak langsung, kami dapat mengajak kalangan pengamal seni, artis dan aktivis seni tempatan memahami mesej integriti secara lebih dekat selain berupaya menyebarkannya kepada masyarakat," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ahmad Fison yang turut melakonkan watak A dalam teater itu memberitahu, sebelum ini, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program berkaitan seni seperti bedah filem, majlis puisi, pementasan muzik dan teater.

Hak tanah

"Kami pernah mementaskan teater Plastik Hitam tahun lalu dan Sekangkang Kera merupakan teater kedua yang dipentaskan oleh Integriti bagi tujuan itu.

"Bezanya, sebelum ini kami hanya terlibat di belakang tabir, namun kali ini dua kakitangan Integriti termasuk saya terlibat secara langsung bagi memegang watak A dan Lolita yang dibawa oleh Maszura Majid.

"Berdasarkan sambutan hangat yang diberikan, kami merancang untuk mementaskan lebih banyak teater pada masa hadapan termasuk di negeri-negeri lain," ujarnya.

Mengangkat tema masyarakat, Sekangkang Kera merupakan karya Subroto Katimin yang dihasilkan pada tahun 2008 dan pernah dipentaskan di DBP pada tahun tersebut.

Subroto yang juga merupakan Pengarah Sekangkang Kera berkata, teater itu berkisar tentang kisah Haji Sidik yang mempunyai seorang anak angkat bernama Pak Ridhuan lakonan Prof. Datuk Rahman Shaari.

Selepas kematian Haji Sidik, Pak Ridhuan telah membolot semua tanah miliknya termasuk sebidang tanah sekangkang kera.

"Haji Sidik sebenarnya mempunyai seorang anak perempuan bernama Badariah, namun wanita itu telah dibuang keluarga kerana berkahwin dengan lelaki asing, Yamamoto.

"Selepas Badariah meninggal dunia, anak lelakinya, Ibrahim (lakonan Anwar Jami) telah datang berjumpa Pak Ridhuan bagi mendapatkan hak terhadap tanah sekangkang kera itu.

"Di situlah bermulanya perebutan antara mereka termasuk kisah percintaan Ibrahim dan Lolita, anak Pak Ridhuan yang menyebabkan konflik itu terus berpanjangan sebelum diselesaikan di sebuah mahkamah khas," katanya.

Kisah masyarakat



DARI kiri; Subroto, Anwar, Maszura, Rahman dan Ahmad Fison merupakan teraju utama Sekangkang Kera.

Menurut Subroto, biarpun jalan cerita teater itu agak ringkas, ia sarat dengan sindiran dan perlambangan kerana kisah-kisah sebegini sering berlaku dalam masyarakat.

Jelasnya, integriti sendiri mempunyai maksud yang sangat luas seperti tanggungjawab, jujur, amanah dan setia.

Namun, lebih berkesan sekiranya ia disampaikan dalam bentuk satira komedi yang dekat dengan jiwa penonton.

"Oleh sebab itu, saya memilih naskhah ini untuk dipentaskan kerana mempunyai kesemua elemen integriti di samping nilai-nilai positif lain seperti tidak berputus asa, mempertahankan hak dan maruah serta mengangkat tamadun bangsa.

"Bagaimanapun, disebabkan mesej yang disampaikan agak tersirat, kami terpaksa olah sedikit dengan memasukkan perkataan integriti agar ia mudah difahami dan bersesuaian dengan tema persembahan," ujarnya.

Katanya, cabaran utama teater itu ialah untuk mendapatkan pelakon wanita bagi memegang watak Lolita.

"Sebelum ini ada beberapa pelakon wanita yang cuba membawa watak itu, namun kurang sesuai sehinggalah kami menemui Maszura yang berjaya menghidupkan watak itu.

"Latihan pula diadakan sekitar sebulan sahaja kerana masing-masing mempunyai pelbagai komitmen dan tugasan hakiki. Namun, berkat kesungguhan mereka, teater ini berjaya dipentaskan," jelasnya.

Sementara itu, Rahman berkata, beliau bersetuju untuk berlakon dalam teater Sekangkang Kera kerana kekuatan mesej yang disampaikan selain pernah berlakon teater sama pada tahun 2008.

Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu mengakui, watak Pak Ridhuan yang dikaitkan dengan sikap tamak, tidak jujur dan pentingkan diri sendiri banyak berlaku dalam realiti kehidupan pada masa ini.

"Teater merupakan platform terbaik yang berupaya menyampaikan kritikan secara sinis terhadap apa yang berlaku di sekeliling.

"Menerusi garapan skrip yang kuat, selain jenaka santai, saya percaya ia mampu menjadi wadah dalam usaha Integriti menyampaikan mesej-mesej integriti dengan lebih berkesan," katanya.

Mencabar

Bagi Maszura pula, dia berbangga kerana menjadi sebahagian daripada individu penting dalam teater itu di samping mempelajari ilmu lakonan teater daripada pelakon-pelakon berpengalaman.

Kakitangan Integriti di Program Institusi Ekonomi itu mengakui, seni merupakan medium yang berkesan dalam menyampaikan mesej dan kritikan kepada masyarakat.

"Saya akui pengalaman pertama ini agak mencabar apatah lagi watak Lolita yang dipegang sangat berat dan memerlukan penghayatan emosi yang mendalam.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada mereka yang arif dalam bidang ini, sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk melakonkan watak itu," katanya.