Tidak kira di mana kita berada, pelajar tahfiz dan ilmu agama tidak pernah dapat dipisahkan. Gelaran ustaz mahupun imam adalah siulan yang sebati bagi seorang individu yang menjadi penuntut atau pernah menuntut di pusat tahfiz yang sinonim dengan pengajian hafazan al-Quran itu.

Seperti satu label yang tidak pernah akan padam, perkataan tahfiz itu juga diibaratkan sebagai kehidupan satu dimensi yang hanya menumpu kepada ilmu agama.

Sebagai seorang pelajar tahfiz di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Syed Nuh Syed Burhannuddin, 16, turut mengakui dirinya turut terpalit dengan stigma itu.

Menurutnya, ia bukanlah sesuatu yang menjengkelkan, tetapi persepsi sebegitu seolah-olah memberi satu gambaran bahawa kehidupan pelajar tahfiz seperti dalam satu gelembung yang terasing daripada gaya hidup normal.

“Sejak dahulu, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan pelajar tahfiz hanya penuntut sekolah agama, belajar agama dan hafaz al-Quran. Realitinya sehingga hari ini memang itu menjadi rutin kami di maahad tahfiz tetapi ia turut berubah seiring zaman.

“Mungkin segelintir masyarakat tidak tahu, konsep pembelajaran di maahad tahfiz tidak lagi seperti dahulu. Bukan sahaja menumpukan ilmu ukhrawi tetapi kami turut didedahkan dengan pendidikan konvensional dan aktiviti kokurikulum dalam rutin harian,” kata anak jati Kuantan, Pahang itu.

Tambahnya, menjadi penuntut di MTNP adalah atas kehendaknya, malah anak sulung daripada empat beradik itu juga mengakui meskipun belajar di maahad tahfiz, dia masih dapat mengembangkan minatnya dalam aktiviti kokurikulum.

Antarabangsa

Menjadi salah seorang wakil MTNP dalam sukan ekuestrian di peringkat antarabangsa, Syed Nuh merupakan antara pelajar tahfiz yang telah memecahkan stigma penuntut maahad.

Syed Nuh juga seorang pelajar yang cemerlang dalam pendidikan.

Jelasnya yang pernah mewakili negara di Australia dan Iran, kejayaan dalam mengimbangi kedua-dua bidang itu merupakan salah satu hasil daripada transformasi pendidikan di maahad tahfiz yang hari ini turut mendedahkan pelajar dengan aktiviti bermanfaat.

“MTNP sentiasa mendorong pelajar untuk mengimbangi ilmu dunia dan akhirat. Selain belajar ilmu agama dan pendidikan konvensional, pelajar turut didorong melibatkan diri dalam sukan mahupun aktiviti lain berlandaskan bakat.

“Saya telah belajar sukan berkuda sebelum masuk ke MTNP dan minat itu tetap dapat diteruskan meskipun bergelar pelajar tahfiz. Ia perlulah dilaksanakan seiring dengan disiplin selain sokongan ibu, bapa, guru serta pengurusan maahad,” ujarnya yang turut mewakili MTNP di pertandingan ekuestrian antarabangsa di Bangkok, Thailand tahun ini. Selain Syed Nuh, seorang lagi rakannya, Adam Haiqal Johan, 14, turut bertanding di Taiwan dalam satu kejohanan junior ekuestrian pada tahun ini.

Sebelum ini juga, pelajar maahad itu pernah memenangi anugerah pingat emas pada pertandingan akhir Anugerah Pencipta Muda Antarabangsa (IYIA) anjuran Persatuan Promosi Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa (INNOPA) di Indonesia pada 2016.

Oktober lalu, maahad itu juga mengharumkan nama negara apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam kategori inovasi World Robot Games 2018 di Filipina mengatasi beberapa negara lain termasuk Jepun dan Korea.

Coretan kejayaan-kejayaan pelajar tahfiz ketika masih menuntut atau pascapersekolahan menjadi satu lagi bukti bahawa pendidikan di pusat pendidikan berteraskan aliran agama itu tidak lagi di takuk lama.

Baru-baru ini, negara turut berbangga dengan kejayaan bekas pelajar MTNP, Muhammad Iqbal Ahmad Fadzli yang berjaya menduduki tempat pertama di Malaysia dan kelima di dunia dalam peperiksaan Financial Reporting (F7), Association of Chartered Certified Accounts (ACCA).

Hal ini, membuka perspektif ramai tentang konteks pendidikan tahfiz yang semakin terbuka dan lebih memberi pendedahan seimbang sebagai persediaan pelajar untuk menempuh kehidupan selepas tamat pengajian.

Pendidikan

MTNP merupakan sebuah institusi pendidikan swasta milik penuh Yayasan Pahang yang ditubuhkan pada tahun 1996. Menyediakan dua peringkat pendidikan, MTNP menawarkan pengkhususan dalam program tahfiz profesional untuk peringkat menengah dan dua kursus diploma tahfiz syariah serta qiraat. Bagi tahun ini, MTNP mempunyai 334 pelajar yang terdiri daripada 263 orang bagi pendidikan menengah dan 71 siswa diploma.

Bagi tahun ini juga MTNP menjadi sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 negeri Pahang selepas berjaya memperoleh gred purata sekolah (GPS) 4.77.

Salah seorang tenaga pengajar di MTNP, Abd. Rahim Abd. Salim, 38, memberitahu, pembahagian masa yang efisien merupakan antara faktor penting dalam memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar khususnya buat penuntut di maahad tahfiz.

Menurutnya yang merupakan guru penyelaras bagi kumpulan robotik di MTNP, masa pelajar telah disusun mengikut kesesuaian dan keperluan yang mengimbangi pendidikan agama, konvensional dan kokurikulum. Tidak ketinggalan waktu rehat yang mencukupi bagi memastikan pelajar tidak tertekan dengan jadual yang terlalu padat.

“Waktu pelajar perlu diselaraskan dengan seimbang kerana ia membantu pelajar supaya mereka dapat memberikan fokus sepenuhnya dalam setiap perkara yang mereka pelajari. Meskipun maahad tahfiz adalah ikon kepada pendidikan aliran agama, ia tidak menghalang pelajarnya untuk menceburi bidang lain yang mereka minati.

“Sebagai penyelaras kepada kumpulan robotik di MTNP, saya sentiasa memberi panduan dan pada masa kebebasan kepada pelajar menjana kreativiti mereka untuk mencipta robot. Ia sekali gus memberi mereka peluang untuk berfikir di luar kotak dalam menghasilkan produk akhir yang terbaik,” katanya yang sudah terlibat dalam melatih pelajar berhubung kokurikulum robotik selama 11 tahun.

Tambahnya, pendedahan pelajar dengan aktiviti kokurikulum merupakan ruang mereka untuk melegakan tekanan dan pada masa sama mengisi masa mereka dengan aktiviti bermanfaat selain mempelajari ilmu baharu.

Pencapaian

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Datuk Dr. Zulkifle Ali berkata, penglibatan pelajar mewakili negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi MTNP.

Menurutnya, ia membuktikan bahawa pusat tahfiz kini lebih berdaya saing dan mampu melahirkan pelajar berkualiti serta cemerlang dalam pelbagai aspek pendidikan.

“Pengurusan pusat tahfiz yang baik mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dan pada masa sama memberikan lebih keyakinan kepada ibu bapa untuk memilih pusat tahfiz sebagai tempat untuk anak mereka menimba ilmu.

“Kita mahu pusat tahfiz menjadi institut pendidikan yang setara dengan pusat pendidikan konvensional dan lebih baik, bertaraf dunia serta dapat dicontohi oleh negara Islam lain,” ujarnya.

Tambahya, pihak MTNP sentiasa mendorong dan memberi galakan kepada pelajarnya yang sentiasa komited dalam segala bidang yang mereka ceburi demi mengharumkan nama MTNP, negara dan sekali gus menaikkan nama negeri Pahang di mata dunia.

Pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang bukan sahaja mendalami ilmu al-Quran serta akademik bahkan mereka cipta robot dan menyertai sukan ekuestrian.