Namun kesunyian itu bertukar menjadi gamat dengan suara pengunjung yang datang ke lokasi tersebut untuk memeriahkan sebuah acara menjual barang-barang vintaj.

Baru-baru ini di lokasi tersebut telah berlangsung Kuala Lumpur Vintage Festival.

Suasana di dalam kilang paku itu begitu meriah dengan urusan tawar-menawar antara pembeli dan penjual barangan vintaj.

Penganjuran festival tersebut dilihat telah berjaya menyatukan mereka di luar sana yang menggemari barangan-barangan vintaj.

Kebanyakan pengunjung yang hadir ke festival tersebut adalah generasi muda.

Generasi muda kini dilihat semakin menghargai barangan-barangan vintaj ini kerana nilai estetikanya yang tinggi.

Pelbagai barangan vintaj dijual di festival tersebut yang bermula pada pukul 10 pagi sehingga lewat malam termasuklah pakaian, kasut, topi keledar dan lain-lain lagi.

Barangan vintaj yang membawa maksud barangan yang telah lama iaitu sekurang-kurangnya berusia dua dekad.

Azril Wan Chik, 36, yang merupakan salah seorang pengumpul dan penjual barangan vintaj telah mengambil peluang untuk menjual koleksi barangan vintaj yang dikumpulnya.

Minatnya untuk mengumpul barangan vintaj bermula sejak di bangku sekolah.

Ketika itu dia cukup menggemari pakaian daripada jenama seperti Levis, Edwin dan Nike.

“Jenama ini sememangnya mahal bagi pakaian baharu. Namun saya menggunakan alternatif lain dengan mencarinya di kedai pakaian terpakai.

“Koleksi pakaian vintaj yang masih saya simpan sehingga kini ialah sehelai baju dan sepasang kasut jenama Nike Air Jordan yang dibeli pada tahun 1999,” jelas anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Tambahnya, pada ketika itu jumlah bagi kedua-dua barangan itu sekitar RM70 dan kini harga pasarannya adalah sekitar RM1,200.

Bagi Azril, mempunyai koleksi barangan vintaj terutamanya seperti pakaian dan kasut ia memberi kepuasan kepadanya.

Unik

Jelasnya, barangan vintaj ini sesuatu yang unik dan tidak semua orang memilikinya.

“Kepuasan itu dirasai apabila kita memiliki sesuatu yang orang lain tidak ada, memandangkan ia sukar untuk diperoleh pada masa kini,” katanya.

Dia sendiri memperuntukkan sekitar RM10,000 setahun bagi mendapatkan koleksi barangan vintaj.

Azril bukan sahaja menjadi pengumpul malah dia juga menjual barangan vintaj.

Ketika menemani isterinya yang bekerja di Korea Selatan lebih tiga tahun lalu bermula Disember 2011 sehingga Jun 2015, Azril mula mencari barangan vintaj di negara itu yang boleh dijual semula.

Sekembalinya ke Malaysia, Azril menjual barangan vintaj secara online selain menyertai festival-festival vintaj yang dianjurkan.

Antara barangan vintaj yang dijualnya termasuklah beg tangan wanita, baju, seluar jean serta kasut.

Stok barangan tersebut diambil dari Korea Selatan dan Jepun.

Barangan yang dijual oleh Azril ada yang mencecah harga sehingga RM3,000.

Salah satu barangan yang mempunyai nilai estetika ialah sehelai seluar jean kanak-kanak yang diperolehnya di Korea Selatan.

“Harga bagi seluar ini adalah RM3,000.

“Seluar jean ini dihasilkan sekitar tahun 1960-an dan ia dikenali sebagai Levis Big E. Kini ia sukar dicari kerana sudah tidak dihasilkan,” jelas Azril yang mendapat sokongan daripada isterinya, Dinatra Mohd. Saat, 35.

Rata-rata peminat jean terutamanya Levis pasti mengetahui kisah mengenai Levis Big E ini.

Jean Levis Big E dihasilkan sebelum tahun 1971 dan ciri utama jean tersebut dapat dilihat pada label huruf E pada label belakang seluar tersebut.

Faktor ketulenan, sukar didapati, kenangan, nostalgia dan sebagainya menjadi pengukur sesuatu barangan vintaj itu dikumpul sesetengah individu.

Penjual

Ada juga antara mereka bukan sekadar mengumpul barangan tersebut tetapi untuk kegunaan harian.

Dalam pada itu, pengumpul dan penjual kasut jenis Red Wing, Mohd. Saiful Yusoh, 27, mengakui ramai generasi muda yang sebaya dengannya begitu meminati barangan vintaj.

Jelas anak muda yang berasal dari Jeli, Kelantan itu, dia mula menjual kasut tersebut sejak empat tahun lalu.

Permintaan yang diterima amat menggalakkan malahan ia mempunyai komuniti penggemarnya yang tersendiri.

“Bekalan kasut ini saya dapat dari Jepun kerana di sana terdapat koleksi-koleksi kasut lama yang masih baik kualitinya.

“Ada kasut yang dijual berusia lebih dua dekad. Kasut Red Wing yang saya jual ini kebanyakan dihasilkan sekitar tahun 1990-an,” jelasnya.

Apa yang membezakan tahun pengeluaran kasut-kasut Red Wing ini ialah logo dan warna kulitnya.

Harga untuk sepasang kasut Red Wings yang dijual oleh Mohd. Saiful ialah antara RM600 hingga RM900.

Kasut Red Wing dikeluarkan oleh syarikat Red Wing Shoe Company yang merupakan syarikat kasut yang berpusat di Red Wing, Minnesota, Amerika Syarikat.

Ia diasaskan oleh Charles H. Beckman pada tahun 1905.

Dalam tempoh sedekad penubuhannya, Red Wing Shoes telah menghasilkan lebih 200,000 pasang kasut setiap tahun. Ia dihasilkan untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat yang berjuang dalam Perang Dunia Pertama.

Sementara itu, berbeza bagi pemilik Yoshida Garage yang mahu dikenali sebagai Wan, pada festival tersebut dia menjual barangan aksesori motosikal seperti topi keledar dan basikal.

Jelasnya, dia sudah lebih dua dekad menjadi pengumpul barangan tersebut.

“Saya bukan sahaja mengumpul malah turut menjualnya jika ada permintaan.

“Mencari topi keledar dan basikal vintaj ini bukanlah mudah, saya perlu pergi ke setiap pelosok daerah untuk mendapatkannya.

“Seperkara lagi saya perlu memujuk pemilik asal produk itu untuk menjualnya. Ada pemilik yang enggan menjualnya kerana barangan itu mempunyai nilai sentimental,” katanya.

Sementara itu, minat yang mendalam dalam mencari barangan vintaj telah mendorong Muhammad Aizat Mohd Apandi, 24, datang ke Kuala Lumpur dari Kuantan, Pahang untuk memeriahkan festival tersebut.

Jelasnya, dia meminati barangan vintaj ini sejak di bangku sekolah.

“Ketika itu saya mencari koleksi pakaian-pakaian vintaj untuk dipakai. Pakaian vintaj ini unik kerana ia mempunyai kisah yang tersendiri.

“Saya juga mempunyai sehelai pakaian vintaj yang dibeli pada harga RM3,000. Baju ini dihasilkan ketika tercetusnya Perang Vietnam yang bermula pada tahun 1957 hingga 1975,” katanya.

Menggayakan pakaian yang tidak dipakai oleh orang lain memberi satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata, apatah lagi barangan itu sukar ditemui di mana-mana kedai seluruh dunia.