Perkara tersebut dapat dilihat apabila negara digemparkan dengan kematian seorang bayi berusia lima bulan, Adam Raykal Mohd. Sufi Naeif di rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selayang, Selangor baru-baru ini.

Kejadian tersebut bukan sahaja mempengaruhi emosi keluarga mangsa malah menimbulkan kegusaran kepada ibu bapa yang bekerja dan terpaksa meninggalkan anak untuk dijaga oleh pengasuh.

Mangsa dilaporkan mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sebelah kiri.

Mayat Adam Rayqal ditemui di bahagian sejuk beku peti sejuk dua pintu itu kira-kira pukul 11 malam selepas polis mendapati terdapat keraguan pada keterangan pengasuh yang menyatakan mangsa dilarikan individu tidak dikenali.

Ketika ditemui, bayi itu lengkap dengan pakaian dan dibalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Menurut Pakar Kriminologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, personaliti yang agresif dan mudah ekspresi kemarahan mungkin punca pelaku jenayah bertindak di luar kawalan.

“Kebiasaannya jenayah yang dilakukan oleh golongan wanita dipengaruhi oleh trauma semasa kecil sama ada pernah didera oleh ibu bapa atau keluarga mahupun pasangannya.

“Latar belakang dan psikologi pendera yang menganggap penderaan adalah cara mendidik menyebabkan pelaku menggunakan cara sama terhadap individu lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Individu muda

Bagi elemen penyembunyian mangsa pula, Mohammad Rahim berkata, suspek mungkin panik selepas tidak terfikir penderaan yang dilakukan boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.

“Suspek memerlukan tempoh berfikir apa yang perlu dilakukan kepada mangsa selepas dia didapati sudah tidak bernyawa dan peti sejuk mungkin dipilih bagi mengelakkan mangsa dijumpai atau mengeluarkan bau busuk,” jelas beliau.

Katanya, pernah berlaku sebelum ini kes ibu bapa yang mendera anak hingga mati menyembunyikan bayi mereka di dalam beg pakaian untuk dibuang.

Justeru itu, Mohammad Rahim menggesa masyarakat untuk menyiasat latar belakang pengasuh dan elakkan individu muda sebagai pengasuh.

Katanya, golongan muda biasanya kurang pengalaman dan memilih kerjaya sebagai pengasuh untuk menjana pendapatan semata-mata dan bukan berminat untuk menjaga bayi.

Keadaan tersebut menyebabkan mereka cepat tertekan dan cenderung untuk bertindak agresif.

Bukan itu sahaja, beliau juga meminta ibu bapa memastikan pengasuh tidak melakukan kerja sambilan lain kerana mereka sukar memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak.

“Masyarakat juga perlu mengambil sikap ambil tahu sekiranya tinggal berhampiran dengan individu yang bekerja sebagai pengasuh.

“Jiran-jiran perlu membuat aduan sekiranya melihat atau mendengar sesuatu yang mencurigakan di kawasan tempat tinggal,” tambahnya.

Tidak dilupakan adalah peranan kerajaan yang perlu memastikan pengasuh berdaftar dan menjalani pemeriksaan dan saringan psikologi, psikokriminogenik dan saringan mental sebelum diberikan lesen.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, ibu bapa yang bekerja bukan punca anak-anak yang dijaga pengasuh didera atau dibunuh.

Menurutnya, penyediaan pusat asuhan kanak-kanak dapat menjadi solusi kepada masalah kecuaian pengasuh.

“Walaupun tidak banyak syarikat yang menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di pejabat namun langkah tersebut membantu memastikan anak-anak lebih selamat.

“Pekerja misalnya boleh berpakat untuk mencari ruang untuk dijadikan pusat asuhan.

“Seterusnya, ambil pekerja dan memohon permit untuk menjaga anak-anak mereka semasa bekerja,” cadang beliau.

Hal ini dapat mengelak daripada ibu bapa berdepan dengan pengasuh atau individu yang mungkin ada masalah mental dan cenderung mencederakan anak yang dijaga.