“Saya berharap agar semua wanita di luar sana tidak terpedaya dengan perwatakan alim yang ditunjukkan oleh lelaki.

“Kadangkala, semua itu hanyalah helah untuk memikat wanita,” tuturnya perlahan.

Wanita berusia 34 tahun itu mula membuka bicara tentang kisah rumah tangganya yang mula berantakan akibat sikap suaminya.

Ujar Auni, dia berkahwin dengan Syafiq (bukan nama sebenar) tujuh tahun lalu.

“Syafiq merupakan rakan sekelas saya sewaktu di bangku sekolah rendah, namun kami terputus hubungan selepas masing-masing melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“Begitu pun, saya mengenali Syafiq dan dia merupakan seorang lelaki yang baik. Keluarganya juga merupakan mereka yang alim dan tinggi pengetahuan agama, menyebabkan saya selesa berkawan dengannya,” luah Auni.

Bermula daripada teguran di laman sosial Facebook, Auni dan Syafiq mula bertemu dan bertukar-tukar cerita.

Mereka menjadi semakin rapat dan hubungan persahabatan itu mahu segera diikat dengan ikatan perkahwinan.

“Syafiq tidak menunggu lama untuk menyuarakan isi hatinya untuk mengahwini saya.

“Selepas empat bulan berpacaran, kami terus bernikah dan syukur semuanya berjalan dengan lancar biarpun persiapan agak tergesa-gesa,” tutur Auni lagi.

Mula menghina

Begitu pun, Auni diuji selepas usia perkahwinan mereka mencecah setahun. Syafiq tiba-tiba berubah sikap dan mula memperlekehkan keluarga Auni, terutamanya dua orang adik perempuannya.

Ujar Auni, dia mempunyai dua orang adik perempuan yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Kedua-dua gadis itu cukup cantik, namun tidak bertudung, berbeza dengan Auni yang manis bertudung.

“Syafiq selalu memerli dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap dua orang adik saya. Dia juga pernah menuduh ibu bapa saya tidak pandai mendidik anak, menyebabkan mereka tidak menutup aurat dengan betul.

“Selain adik-adik perempuan saya, Syafiq juga pernah memberitahu bahawa dia jarang melihat bapa saya menunaikan solat sunat dan membanding-bandingkan bapa saya dengan bapanya yang rajin menunaikan solat sunat,” cerita Auni lagi.

Auni akui cukup terkejut dengan kenyataan suaminya itu kerana tidak menyangka lelaki yang dianggap alim dan serba serbi tahu tentang ilmu agama seperti Syafiq tergamak membanding-bandingkan bapa mereka.

Syafiq juga sering memuji-muji adik-beradiknya yang merupakan lulusan sekolah agama terkenal di ibu kota selain merendah-rendahkan tahap pengajian Auni dan dua adik perempuannya.

Auni berkata, dia hanya mampu mendiamkan diri kerana malas bertekak dengan suaminya yang sentiasa berasa dirinya lebih bagus daripada orang lain.

Begitu pun, Auni akhirnya bergaduh besar dengan Syafiq selepas lelaki itu secara terang-terangan menghina adik-adik Auni dalam satu majlis kenduri kesyukuran.

“Pada penghujung tahun 2016, keluarga saya mengadakan kenduri kesyukuran secara besar-besaran untuk adik bongsu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke England.

“Syafiq tiba-tiba sahaja naik angin dan mula memerli adik bongsu yang tidak bertudung ketika majlis tersebut.

“Katanya, kenduri kesyukuran pun tidak mahu bertudung apatah lagi apabila dia sudah melanjutkan pelajaran di luar negara nanti,” ujar Auni.

Bergaduh besar

Keluarga besar Auni terkesima mendengar ejekan Syafiq dan Auni berasa cukup malu memandangkan sebelum ini dia sering memuji suaminya itu yang dirasakan cukup sempurna dengan ilmu agama.

Mereka bergaduh besar kerana Auni sudah benar-benar hilang sabar dengan sikap suaminya. Syafiq terkejut dengan sikap isterinya lalu mula menuduh ibu bapa Auni tidak pandai mendidik anak-anak dan menyebabkan Auni menjadi isteri yang derhaka.

Sangka Auni, selepas bersikap dingin terhadap suaminya, lelaki itu akan berubah, namun sikap Syafiq masih juga sama dan berterusan menggelar Auni isteri derhaka.

Kini, wanita bertubuh kurus itu runsing dan tidak tahu bagaimana caranya untuk menyedarkan suaminya itu bahawa cara teguran Syafiq salah dan ia tidak langsung menunjukkan bahawa lelaki itu faham tentang agama Islam.

“Biarpun saya tidak belajar di sekolah agama sepertinya, saya tahu cara teguran itu salah di sisi agama.

“Saya faham dia mahu adik-adik saya menutup aurat, namun bukan begitu caranya. Dia tidak sepatutnya merendah-rendahkan orang lain serta berasa dirinya bagus dan suci hanya kerana dia merupakan lulusan sebuah sekolah agama terkenal,” luah Auni.

Kini, wanita itu berharap agar Syafiq akan berubah kerana dia benar-benar menyayangi suaminya dan berharap perkahwinan mereka kekal sehingga ke akhir hayat.