Ujar Farah, dia kini sudah tawar hati dengan perkahwinan dengan suami.

Ia bukan disebabkan sikap suami tetapi, tetapi perangai ibu mertua dan dua orang kakak iparnya yang begitu menjengkelkan.

Membuka bicara, Farah memberitahu, perkahwinannya adalah atas dasar pilihan keluarga. Usia yang agak lewat menyebabkan keluarganya memilih untuk menjodohkan Farah dengan Hussin (bukan nama sebenar).

“Hussin muda tiga tahun daripada saya dan ketika itu, dia sudah bersedia untuk mencari pasangan hidup.

“Menyedari usia saya sudah mencecah 33 tahun, saya akhirnya bersetuju untuk berkahwin biarpun tidak begitu mengenali Hussin dan keluarganya.

“Majlis merisik, bertunang dan perkahwinan berjalan lancar dan kami akhirnya disatukan pada tahun 2015,” jelasnya.

Ujar wanita yang bekerja sebagai pegawai bank itu, semasa awal perkahwinan, ibu mertuanya cukup baik dan sering memasak menu kegemaran Farah setiap kali dia dan suami pulang.

“Ibu mertua merupakan seorang ibu tunggal dan suri rumah sepenuh masa. Dia mempunyai banyak masa terluang di rumah.

“Oleh itu, dia sering memasak makanan kegemaran anak-anak dan menantu. Ini menjadikan saya bersyukur dikurniakan seorang ibu mertua yang cukup prihatin,” jelasnya.

Berubah sikap

Begitu pun, apabila usia perkahwinan Farah dan Hussin memasuki usia setahun lebih, tiba-tiba ibu mertuanya berubah sikap dengan menabur fitnah tentang dirinya.

Kakak ipar Farah yang percaya dengan tohmahan tersebut mula melayan Farah dengan kasar dan adakalanya langsung tidak bercakap dengannya.

“Saya hairan dengan perubahan sikap dua orang kakak ipar. Setelah diselidik, ibu mertua telah memfitnah saya dan memberitahu bahawa saya curang dengan suami.

“Ibu mertua menuduh saya berkahwin dengan Hussin kerana patah hati selepas putus tunang dan tidak ikhlas cintakan anaknya itu,” jelas Farah.

Akui Farah, dia sememangnya pernah putus tunang namun sekembalinya daripada menunaikan ibadah umrah, hatinya lebih tenang.

Dia sangat bersyukur dipertemukan dengan Hussin yang baginya merupakan seorang suami yang cukup baik dan penyabar.

“Saya menerima lamaran Hussin kerana tahu dia boleh membahagiakan saya, bukan kerana cuba untuk melupakan bekas tunang.

“Saya sama sekali tidak menyangka ibu mertua yang saya panggil mama itu tergamak memfitnah saya dan turut memberitahu kepada dua orang kakak ipar bahawa saya masih berhubungan dengan bekas tunang di belakang suami,” kata Farah.

Diperli

Tidak cukup dengan itu, ibu mertua juga sering menuduh Farah terlalu manja dengan kedua-dua ibu dan bapanya hanya kerana dia kerap pulang menjenguk mereka.

Katanya, memandangkan rumah yang disewanya dan suami jaraknya agak dekat dengan rumah kedua-dua orang tuanya, dia kerap menjenguk ibu.

Jelasnya, dia juga selalu menjenguk ibu mertuanya dan bijak membahagikan masa antara keluarga sendiri dan keluarga suami.

Namun, jelas Farah, dia tidak faham kenapa ibu mertuanya tetap mengatakan dia melebihkan keluarga sendiri.

Lebih buruk lagi, ibu mertuanya menuduh Farah masih lagi meminta duit daripada orang tuanya terutamanya apabila terlihat menantunya itu membeli pakaian atau pun beg tangan baharu.

“Kedua-dua ibu dan bapa masih lagi bekerja dan saya boleh dikatakan berasal daripada sebuah keluarga senang.

“Begitu pun, sama seperti individu lain, ibu dan ayah sudah tidak lagi memberikan wang kepada saya sejak mula bekerja dan segala pakaian serta beg tangan baru dibeli menggunakan wang gaji sendiri,” kata Farah.

Cerita kononnya Farah masih meminta wang daripada kedua-dua orang tuanya mula sampai ke pengetahuan ahli keluarga Hussin yang lain sehingga Farah akhirnya menjadi bahan umpatan dan bualan mereka.

Farah mulai berasa kurang senang dengan kisah tidak benar yang disebarkan oleh ibu mertuanya itu dan mula bersikap dingin terhadap wanita tersebut.

Jelasnya, dia juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan.

“Siapa tidak sakit hati apabila difitnah ibu mertua sendiri.

Menurut Farah lagi, suaminya pula tersepit antara ibu sendiri dan juga isteri.

Ujarnya, Hussin bagaimanapun cuba memahami situasi Farah dan seboleh mungkin mahu menjaga hati ibunya. Dalam pada itu, Farah turut mendedahkan, ibu mertuanya itu sebelum ini pernah memburuk-burukkan bekas kakak iparnya.

“Sebelum ini, abang ipar saya pernah bertengkar dengan bekas isteri akibat hasutan dan fitnah yang dibuat ibu mertuanya.

“Nampaknya, kes memfitnah saya ini bukanlah kali pertama yang dibuat oleh ibu mertua.

“Ibu mertua pernah menuduh bekas kakak ipar curang dengan teman sepejabat hanya kerana dia sering pulang lewat disebabkan sibuk menguruskan sebuah projek besar di syarikatnya,” tutur Farah.

Farah mula risau sekiranya fitnah berterusan yang ditabur oleh ibu mertuanya itu bakal menghancurkan rumah tangganya dengan Hussin.

Dalam diam Farah mula membenci ibu mertuanya itu kerana tidak faham motif wanita itu merosakkan rumah tangga anaknya sendiri.

Kini, Farah cuma berharap agar dia dapat menghilangkan rasa benci kepada wanita yang sudah dianggap sebagai ibunya sendiri itu dan berharap perkara itu tidak berpanjangan.