Anak perempuannya yang berusia empat tahun itu sesekali melambai ke arah Siti (bukan nama sebenar) yang sedang tersenyum kelat ke arahnya.

Raut wajah Siti pada petang itu jelas menunjukkan kekecewaan yang tidak mampu lagi dibendung.

Dugaan demi dugaan terpaksa dilaluinya hanya untuk mencari kebahagiaan dalam berumah tangga.

“Saya selalu bertanya kepada diri saya, mengapa perkahwinan saya tidak pernah membahagiakan,” keluhan yang keluar daripada mulut Siti itu cukup perlahan namun cukup untuk membuatkan sesiapa pun bersimpati dengan nasibnya.

Pada usia 35 tahun, wanita itu sudah berkahwin tiga kali namun semuanya berakhir dengan perceraian dan luka di hati yang cukup mendalam.

Memulakan bicara, Siti berkata dia berkahwin kali pertama semasa berusia 23 tahun.

Perkahwinan yang berlangsung atas dasar suka sama suka itu bagaimanapun hanya bertahan selama dua tahun selepas bekas suaminya, Rizal (bukan nama sebenar) curang dengan teman baiknya sendiri.

“Rupanya Rizal sudah lama berpacaran dengan bekas teman serumah saya, namun tetap meneruskan perkahwinan dengan saya.

“Kononnya, hubungan kami yang sudah bermula semenjak saya berusia 18 tahun itu perlu juga diakhiri dengan perkahwinan biarpun pada ketika itu dia sudah mula hilang rasa cinta pada saya,” ujar Siti.

Kahwin lagi

Memandangkan mereka tidak dikurniakan anak, agak mudah bagi Siti untuk mengatur langkah dan memulakan hidup baharu selepas bergelar janda pada usia yang cukup muda.

Selepas berpindah ke sebuah negeri di utara tanah air, hati Siti dicuri oleh rakan sepejabatnya yang merupakan bujang terlajak.

“Saya menikahi Shah (bukan nama sebenar) kurang dua tahun selepas bercerai.

“Keseriusan Shah memikat hati saya dan memandangkan jarak usia kami agak jauh iaitu 13 tahun, saya cukup menyenanginya kerana dia cukup matang.

“Namun, sekali lagi saya diuji apabila Shah kerap mengongkong saya serta memaksa saya untuk tinggal bersama ibu mertua,” jelas Siti.

Kehidupan Siti penuh sengsara apabila dipaksa berhenti kerja dan tinggal sebumbung dengan ibu mertua yang sering mencari kesalahannya.

Ibu mertua Siti tidak sukakan wanita itu kerana status janda yang dimilikinya dan sering menghina Siti serta keluarganya.

“Ibu mertua sering membanding-bandingkan saya dengan menantunya yang lain tanpa sedikit pun mempedulikan perasaan saya,” keluh Siti.

Tambah Siti, apa yang membuatkan dia semakin sebak ialah suami tidak pernah menyebelahi Siti dan sentiasa menyuruh wanita itu menambat hati ibunya.

Sudah bermacam perkara Siti lakukan, namun dirinya tetap nampak salah di mata ibu mertua sehingga Siti akhirnya menuntut cerai.

Perkahwinan kali keduanya yang kecundang selepas tiga tahun menyebabkan Siti sudah serik untuk mendirikan rumah tangga.

Begitu pun, jodohnya bersama bekas suami ketiga, Roy (bukan nama sebenar) sudah tertulis dan siapalah dia untuk menidakkan aturan Tuhan.

Perkenalan singkat dengan Roy menerusi seorang rakan lama membibitkan perasaan cinta dalam hati Siti.

“Roy merupakan seorang duda anak dua yang berpisah dengan bekas isteri selepas wanita itu kembali ke pangkuan bekas kekasih.

“Terluka, Roy yang berasal dari Sabah membawa diri ke Semenanjung dan daripada situlah kami berkenalan.

“Kurang lima bulan berkenalan, saya dilamar olehnya dan kami pun mendirikan rumah tangga pada tahun 2014,” jelas Siti.

Panas yang disangka ke petang tidak berpanjangan apabila hujan pula di tengah hari.

Lepas tangan

Kali ini, perkahwinan Siti diuji dengan sikap lepas tangan Roy dalam perkahwinan.

Ternyata, sikap Roy berubah sepenuhnya selepas berkahwin. Lelaki tersebut cukup pemalas dan sering mengharapkan wang gaji isteri atas alasan gajinya kecil.

“Ya, gaji Roy memang lebih kecil berbanding saya, namun dia tidak pernah mengeluarkan walau satu sen pun wangnya untuk saya.

“Nafkah zahir langsung tidak dihulur sepanjang lima tahun berkahwin dengannya. Apa yang dia tahu hanya meminta nafkah batinnya hampir setiap malam,” dedah Siti tentang sikap bekas suaminya itu.

Semasa Siti hamil anak sulungnya, dia jugalah yang terpaksa membuat semua kerja-kerja rumah dan Roy hanya tahu memberikan arahan dan meminta Siti untuk melayaninya.

Semua kehendak Roy dituruti Siti kerana dia benar-benar mahu perkahwinan ketiganya itu kekal sehingga ke akhir hayat, namun jiwanya terseksa dek sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab suaminya itu.

“Hati isteri mana yang tidak sakit apabila dilayan bagaikan orang gaji.

“Saya sudah sediakan segala-galanya buat Roy. Rumah, kereta, malah wang belanja juga saya hulurkan apabila dia mengomel gajinya habis dan hanya cukup-cukup makan,” kata Siti.

Serik membela lelaki seperti itu, Siti akhirnya meminta diceraikan dan mendapat hak penjagaan penuh untuk anaknya.

Selepas bercerai, Siti mendekatkan diri dengan Tuhan dan bertanya di manakah silapnya dalam setiap perkahwinan.

Ujian demi ujian yang diterima Siti membuatkan hati wanita itu luntur dan dia mula serik untuk berkenalan dan mendirikan rumah tangga dengan lelaki.

Mujur perkahwinan ketiga memberikan Siti seorang anak yang kini merupakan peneman hidupnya yang cukup disayangi.

“Biarlah saya hidup dengan anak perempuan saya sahaja. Segala kasih sayang akan dicurahkan buat Mia (bukan nama sebenar) selagi saya hidup.

“Soal kahwin, saya tolak tepi. Entah mengapa sukar benar buat saya untuk bahagia dalam sesebuah ikatan perkahwinan,” lembut tutur kata Siti sambil mengakhiri perbualan.