Memandangkan usia yang kian meningkat, Ifa tidak terlalu memilih soal jodohnya dan bersetuju untuk berkahwin dengan Hisyam (bukan nama sebenar), 48, selepas diperkenalkan oleh rakannya pada sebuah majlis perkahwinan.

Menurut Ifa, sewaktu mula-mula diperkenalkan dengan Hisyam, dia tidak tahu status lelaki tersebut yang merupakan seorang duda dan memiliki dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Ifa tidak menafikan bahawa Hisyam mempunyai karakter seorang lelaki idamannya kerana berperwatakan matang dan romantik walaupun telah berusia.

“Sepanjang tempoh enam bulan berkawan, dia (Hisyam) akhirnya masuk melamar dan ingin menjadikan saya isterinya yang sah,” ujar Ifa yang telah diijabkabulkan bersama Hisyam pada satu majlis sederhana.

Kurang disenangi

Rumah tangga yang dibina bersama lelaki itu bermaksud, Ifa juga perlu menerima kehadiran sepasang anak tiri yang masing-masing berusia 21 dan 19 tahun di dalam hidupnya.

Namun, niat dan cinta wanita itu untuk mengisi kekosongan hidup Hisyam ternyata bukannya mudah, apabila kehadirannya kurang disenangi oleh kedua-dua orang anak tirinya yang bersikap dingin terhadapnya.

Menurut Ifa, perkahwinannya dengan Hisyam bukan bermaksud untuk menjadi pengganti ibu kepada anak-anak tirinya selepas suaminya berpisah dengan bekas isterinya lapan tahun sebelum itu.

Dakwa Ifa, sehari selepas berkahwin dengan Hisyam, dia telah dimalukan olah anak tirinya di hadapan keluarga mentua.

“Ketika makan malam bersama keluarga mentua, salah seorang anak tiri dengan sengaja menumpahkan air di baju saya.

“Kebetulan pula saya memakai baju putih sehingga menampakkan bahagian baju dalam apabila basah,” ujar Ifa malu.

Selepas kejadian itu, Ifa telah menangis di dalam bilik kerana dia tahu perbuatan anak tirinya itu dilakukan dengan sengaja kerana tidak suka kehadiran dirinya sebagai ibu tiri.

Pernah suatu hari, anak perempuan tirinya yang sulung telah memaki hamun Ifa selepas mendapat tahu wanita tersebut membeli alat ujian kehamilan.

Pandai berlakon

Menurut anak tirinya itu, dia tidak akan menerima sampai bila-bila wanita itu dalam keluarganya dan tidak akan teragak-agak akan memijak dan menolak Ifa jika didapati wanita itu mengandung.

“Memang anak tiri saya seorang yang panas baran dan tidak pernah menghormati saya sebagai ibu tirinya,” kata Ifa.

Oleh kerana tidak mahu memburukkan keadaan, Ifa lebih rela memilih untuk mendiamkan diri dan tidak memberitahu suaminya tentang ugutan anak tirinya.

Bukan apa, Ifa tidak mahu melihat kedua-dua beranak itu bergaduh disebabkannya dan hal tersebut akan memburukkan lagi keadaan.

Begitu juga dengan anak lelaki tirinya. Semasa ketiadaan suami, anak tirinya itu selalu membawa pulang rakan-rakan ke rumah sehingga membuatkan Ifa berasa kurang selesa.

Paling menyedihkan apabila anak tirinya memperkenalkan Ifa sebagai orang gaji di hadapan kawan-kawannya dan melayan wanita itu dengan kata-kata kesat.

“Kadang-kadang saya terfikir perkahwinan ini mungkin satu kesilapan.

“Sudah lebih setahun saya cuba mengambil hati anak-anak tiri, namun semakin saya cuba memenangi hati mereka, semakin mereka membenci saya,” jelasnya.

Di hadapan bapa mereka, kedua-dua adik-beradik itu pandai berlakon seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dalam rumah itu.

Bahkan Hisyam percaya bahawa hubungan Ifa dengan anak-anaknya juga baik memandangkan wanita itu tidak pernah bercerita perihal dan sikap buruk anak-anak tirinya kepada bapa mereka.

Namun, jauh di sudut hati, wanita itu berasa tertekan kerana hakikatnya dia dilayan dengan kasar dan tidak tahu sampai bila dia akan dilayan sebegitu.

“Saya tidak mengharapkan layanan seperti permaisuri, tetapi cukup jika mereka menghormati saya sebagai wanita yang lebih berusia,” kata Ifa.

Ifa dilayan dengan teruk dan selalu dihina oleh dua orang anak tiri yang tidak suka kehadirannya dalam keluarga hingga wanita itu dilayan umpama orang gaji.