Bagi Kina (bukan nama sebenar), 36, diuji dengan rasa benci yang tidak berkesudahan menjadikan dia cukup sedih dan adakalanya mahu meruntuhkan rumah tangganya sendiri.

“Mungkin ini silap saya sendiri kerana mengambil keputusan untuk berkahwin tanpa benar-benar mengenali keluarga suami,” ujar wanita tinggi lampai itu perlahan.

Mengimbau kembali, Kina berkata, dia mula mengenali suaminya, Arshad (bukan nama sebenar) ketika mengikuti satu program di tempat kerjanya kira-kira tiga tahun lalu.

Ketika itu, Kina tahu tentang status duda suaminya itu, namun tidak kisah untuk menjalin hubu­ngan dengannya.

“Suami merupakan seorang duda anak dua. Selepas tiga bulan berkenalan, suami mengajak saya untuk bertunang dan saya akui sudah selesa dengan dirinya pada ketika itu.

“Keluarganya juga nampak se­perti orang baik-baik, menyebabkan saya yakin dengan pilihan hati saya pada ketika itu,” ujar Kina.

Bahagia

Lima bulan bertunang, Kina dan Arshad akhirnya disatukan sebagai suami dan isteri.

Kongsi Kina, dia cukup teruja bergelar isteri memandangkan dia berkahwin pada usia yang agak lewat dan sudah lama berdoa agar dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang baik.

Perkahwinan mereka cukup bahagia dan Kina juga amat rapat dengan keluarga mertuanya.

Dua orang adik ipar Kina me­layan wanita itu dengan baik dan mereka sering menghabiskan masa lapang bersama.

Begitu pun, Kina mula mengesan perubahan pada sikap kedua-dua adik iparnya apabila mereka mula kembali rapat dengan bekas isteri Arshad iaitu Siti (bukan nama sebenar).

“Bekas isteri Arshad, Siti merupakan seorang jururawat di sebuah hospital di ibu kota.

“Dahulu, adik-adik ipar sering bercerita tentang keburukan Siti kepada saya dan berkata bahawa Siti cukup pemalas dan tidak disukai oleh bapa mertua saya.

“Selaku orang baharu dalam keluarga, saya hanya mendengar cerita-cerita tersebut dan tidak pernah langsung bersuara memandangkan saya tidak mengenali Siti secara dekat,” ujar Kina.

Selain adik-adik iparnya, ibu mertua Kina juga tidak sukakan Siti dan sering membanding-ban­dingkan Siti dengan Kina.

Selaku menantu dalam keluarga itu, sudah tentulah Kina berasa bangga apabila dia sering dipuji dan dianggap jauh lebih baik berbanding Siti.

Begitu pun, kebahagiaan tersebut hanya sementara apabila Siti muncul semula dalam kehidupan Arshad. Wanita itu yang masih belum bertemu pengganti sering cuba untuk mengambil hati Arshad dan keluarganya.

Siti tiba-tiba berubah laku dan sikapnya jauh sekali dengan apa yang diceritakan oleh keluarga ­Arshad kepada Kina.

Wanita berkaca mata itu cukup baik, lemah lembut dan cukup bijak mengambil hati keluarga mertua.

Mereka menjadi rapat dan entah bagaimana, keluarga mertua mula sukakan Siti dan ‘nampak’ keburukan Kina.

“Selepas berbaik dengan Siti, ibu mertua tiba-tiba sahaja cukup suka menyindir saya dan menggelar saya perampas kebahagiaan suami.

“Walhal, saya berkenalan dengan suami selepas tahu dia telah bercerai dengan Siti. Ibu mertua juga tiba-tiba menggelar saya mandul memandangkan saya masih belum dikurniakan anak selepas dua tahun mendirikan rumah tangga,” luah Kina dengan nada sedih.

Dihina mertua

Apabila Kina pulang ke rumah ibu mertuanya, ada sahaja yang tidak kena pada mata wanita itu dan Kina sering dimarahi serta diberi pelbagai gelaran.

“Saya digelar perampas, perempuan gila dan perempuan mandul.

“Setiap kali saya memasak pula, tiada sesiapa yang sudi menjamahnya dan saya diberitahu oleh orang gaji ibu mertua bahawa mereka akan membuang makanan tersebut,” ujar Kina.

Sikap keluarga mertuanya yang berubah secara tiba-tiba menyebabkan Kina tertanya-tanya apa sebenarnya yang sudah diceritakan Siti kepada mereka.

Setiap kali pulang ke rumah mertua, Kina terpaksa menelan semua hinaan dan cacian terhadapnya.

Lebih pelik, kali ini Kina pula terpaksa mendengar pujian-pujian yang diberikan keluarga mertuanya terhadap Siti.

“Sikap keluarga mertua benar-benar menguji kesabaran saya. Kini, saya sedar bahawa selain sikap Siti yang mahu memporak-perandakan rumah tangga saya, keluarga mertua juga sebenarnya bermasalah apabila mereka bersikap seperti lalang.

“Dahulu, mereka menghina Siti kerana saya dianggap lebih baik berbanding wanita itu, kini apabila Siti kembali rapat dengan mereka dan sering memberi hadiah, saya pula dihina tanpa sebab,” katanya.

“Sudahlah dihina, Arshad juga diminta untuk menceraikan saya dan rujuk semula dengan Siti, ko­nonnya demi kebaikan anak-anak mereka, walhal sebelum ini keluarga mertua tidak pernah mengungkit tentang kebajikan anak-anak tiri saya,” ujar Kina.

Ekoran terlalu sayangkan Arshad, Kina memilih untuk bersabar dan berharap agar keluarga Arshad akan berubah.

“Saya harap satu hari nanti mereka akan penat dan ­hubungan kami sekeluarga kembali pulih,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Bekas isteri Arshad yang tiba-tiba muncul semula dalam kehidupan lelaki itu tergamak menghasut keluarga mertua supaya bencikan Kina dan menjadikan wanita itu sedih serta tertekan.