Tanpa disedari, tahun ini merupakan tahun ke-30 dia bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak yang terletak di Kuala Lumpur.

Jika warga emas yang sama usia sepertinya sedang seronok bermain dengan cucu di rumah, lain pula bagi Aminah.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu terpaksa membanting tulang mencari wang demi menyara anak dan menantunya yang menganggur.

“Saya sudah penat hidup sebegini. Sejak kecil lagi saya tidak kenal apa itu bahagia.

“Mungkin, ini merupakan balasan di atas dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum ini,” jelasnya.

Menceritakan kisah hidupnya yang malang itu, menurut Aminah, dia mula bekerja di stesen minyak tersebut pada usia 28 tahun selepas dibuang keluarga.

“Ketika remaja, saya merupakan seorang gadis yang sangat liar. Jika orang lain sibuk menelaah pelajaran, saya pula lebih gemar berpeleseran bersama kawan-kawan lelaki.

“Bahana kedegilan tersebut, saya hamil anak luar nikah. Lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab pula melarikan diri.

“Disebabkan tidak mahu menanggung malu, keluarga mengusir saya dari rumah. Tinggallah saya terkontang-kanting mengusung perut yang semakin membesar,” jelasnya.

Biarpun begitu menurut Aminah, dia bernasib baik kerana sebuah keluarga yang kasihan melihat dirinya sanggup membela dia dan anaknya.

“Walaupun keluarga tersebut begitu baik dan menganggap kami sebagai anak serta cucunya, namun saya malu dengan mereka.

“Disebabkan itu, genap usia anak saya, Eddy empat tahun, saya lari membawa diri.

“Saya kemudian diterima bekerja di stesen minyak ini sebagai juruwang sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Bawa diri

Cerita Aminah lagi, dia bersyukur kerana sepanjang membesarkan Eddy, dia tidak mengalami sebarang kesukaran.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah sebaik Eddy memasuki sekolah menengah. Eddy mula terlibat dengan aktiviti lumba motor.

Puas Aminah menegur tetapi dia pula yang dimarahi semula.

“Mungkin benar kata orang, di mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

“Perangai Eddy mungkin diwarisi daripada saya dan bapanya yang sehingga ke hari ini tidak diketahui siapa,” jelasnya.

Biarpun begitu, Eddy masih tidak mengabaikan pelajaran. Walaupun sering ponteng sekolah, namun Eddy tetap menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti rakan-rakan yang lain.

Bagaimanapun, disebabkan keputusan yang kurang memuaskan, dia gagal mendapat tempat untuk menyambung belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi.

“Eddy kemudian bekerja sebagai seorang budak pejabat di sebuah syarikat guaman di ibu kota.

“Seperti yang saya duga, pekerjaan tersebut tidak bertahan lama. Eddy dibuang kerja tidak sampai dua bulan dia bekerja.

“Kata majikannya, dia mempunyai masalah disiplin yang teruk. Bukan sahaja selalu ponteng dan datang lewat, Eddy juga tidak menghantar dokumen-dokumen penting yang dipertanggungjawabkan,” jelasnya.

Menurut Aminah, sejak dibuang kerja, Eddy hanya membazirkan masa lapangnya dengan ‘membuta’ atau melepak dengan rakan-rakannya pada waktu malam.

“Satu hari, Eddy menyuruh saya meminangkannya seorang gadis untuk dijadikan isteri.

“Terperanjat saya apabila mendengar hajatnya itu.

“Mana tidaknya, makan dan minum pun masih ditanggung, ini pula mahu mendirikan masjid. Bagaimana dia mahu menjaga anak orang?” cerita Aminah.

Tebalkan muka

Disebabkan tidak mahu gadis tersebut hidup terseksa, Aminah tegas menolak hajat anaknya itu.

Bagaimanapun, Eddy masih berkeras sehingga sanggup memukul Aminah.

Mahu atau tidak, dia terpaksa tebalkan muka dan meminang gadis idaman anaknya itu.

“Pinangan Eddy diterima dengan hati terbuka oleh keluarga besan saya. Mungkin kerana anaknya itu juga tidak bersekolah dan sering keluar berpeleseran seperti Eddy.

“Lima bulan kemudian, Eddy dan Sarah selamat disatukan. Sangka saya, Eddy akan ber­ubah menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya pula berlaku kerana ia masih berperangai lama.

Perangai Sarah pula lebih kurang sama seperti Eddy dan kehidupan Aminah tidak ubah seperti seorang hamba.

Selain bekerja untuk membela anak dan menantunya itu, dia juga terpaksa mencuci pakaian kotor mereka berdua.

“Sudah lima tahun saya pendam masalah ini. Saya sudah bosan dan penat diperhambakan anak sendiri. Hujung bulan ini, Sarah bakal melahirkan anak.

“Saya tidak tahu apa yang akan terjadi nanti. Wang yang ada kini pun tidak cukup untuk kami bertiga,” keluhnya menutup bicara.

Warga emas terpaksa bekerja membanting tulang mencari rezeki untuk menyara anak dan menantunya yang merupakan penganggur.