Itu pertanyaan yang pernah diungkapkan novelis Amerika Syarikat, Sherman Alexie.

Tabiat membaca sinonim dengan kejayaan sesuatu individu, masyarakat dan negara bangsa. Kata-kata hikmah, ‘membaca jambatan ilmu’ acap kali kedengaran meniti di bibir guru-guru di sekolah tatkala mahu menggalakkan amalan mulia itu diterapkan dalam kalangan murid-murid.

Namun, tidak semua kanak-kanak bernasib baik untuk mendapatkan bahan bacaan. Untuk itu, kempen The Book Effect anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Friends to Mankind menyasarkan misinya untuk membekalkan buku kepada kanak-kanak dan golongan yang memerlukan.

Ketua Projek The Book Effect, Apshy Vimal berkata, The Book Effect adalah satu projek untuk mengumpulkan 10,000 buku bagi menubuhkan perpustakaan kanak-kanak di rumah anak yatim piatu, pusat pemulihan dadah, masyarakat Orang Asli, rumah pelarian dan pusat tahanan juvana.

“Projek ini akan mengambil masa selama setahun bermula dari pelancarannya pada bulan Ogos lalu.

“Selain mengumpul dan mengedarkan buku, The Book Effect berhasrat untuk menggalakkan pembinaan sudut bacaan di pelbagai tempat selain bekerjasama dengan masyarakat untuk memupuk tabiat membaca,” katanya pada majlis pelancaran The Book Effect di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis itu ialah anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz yang juga Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Kempen itu antara lain menyahut seruan kerajaan untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Statistik menunjukkan, walaupun 94 peratus rakyat Malaysia boleh membaca, hanya 3 peratus menjadikan membaca sebagai tabiat berterusan.

“Penekanan tentang amalan membaca sudah pun dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi slogan Malaysia Membaca.

“Kempen ini juga bertepatan dengan pemilihan Kuala Lumpur yang dinamakan sebagai World Book Capital 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” ujar gadis itu.

Kotak kutipan

Katanya, buku-buku akan dikumpul daripada orang ramai dan organisasi yang berminat untuk menderma.

Tambah Asphy, mereka mempunyai sehingga 40 orang pembantu sebagai sukarelawan selain syarikat atau pihak seperti Prince Court, Brickfields Asia College, GSC dan Starbucks yang menzahirkan kerjasama. Ia juga menjalin usaha sama dengan kedai-kedai buku seperti Dakwah Corner Bookstore.

“Kita meletakkan kotak kutipan di tempat awam seperti restoran, hab pengangkutan, institusi akademik dan pejabat korporat di sekitar Lembah Klang.

“Terdapat 22 lokasi kutipan buku di Selangor, manakala lima lokasi lagi di Kuala Lumpur,” tambahnya sambil memberitahu, ada antara lokasi-lokasi itu telah pun dilancarkan seawal tiga bulan lalu.

The Book Effect bakal menerima 50 lagi lokasi kutipan di premis-premis Starbucks yang terpilih.

Pada awalnya, Asphy tidak menyangka idea kecil persatuan itu akan menjadi bermakna dan menerima sambutan.

“Usaha ini lebih daripada sekadar mengumpul buku dan meletakkannya di atas rak. Kami berkongsi keseronokan dan kasih sayang menerusi pembacaan.

“Kami benar-benar terharu melihat anggota masyarakat berganding bahu dalam kempen ini, daripada menderma buku sehinggalah menjadi sukarelawan untuk kempen The Book Effect,” ujarnya.

Sehingga hari pelancaran, The Book Effect telahpun berjaya menerima sehingga 4,000 buah buku, kebanyakannya diterima daripada organisasi dan NGO.

Mengulas mengenai kepelbagaian buku yang diterima, Asphy berkata, buku akan dikumpul, dibahagikan mengikut kategori dan dilabel mengikut kesesuaian penerima. Antara genre buku yang diterima ialah buku kanak-kanak, pengembaraan, novel dan buku bukan fiksyen.

“Tahap seterusnya untuk projek ini merangkumi aktiviti seperti penubuhan kelab buku, sahabat bacaan dan acara-acara menarik melibatkan kerjasama mana-mana pihak yang berminat,” ujarnya.

Asphy berkata, The Book Effect berhasrat mewujudkan 12 buah perpustakaan sepanjang tempoh kempen. Dua daripada perpustakaan itu telahpun berjaya diwujudkan di Tadika Kasih Sayang dan Rumah Cahaya Kasih, masing-masing terletak di Rawang dan Kota Damansara, Selangor.

Pendorong

Guru di Tadika Kasih Sayang, Fauziah Kamarudin berkata, pihaknya menerima kira-kira 800 buah buku terdiri daripada genre buku cerita, pengetahuan am dan sains.

“Pihak Friends To Mankind hadir ke tadika dan menyumbangkan bahan bacaan itu beserta dengan rak yang diperlukan untuk meletak buku-buku.

Buku-buku diterima sejak dua bulan lalu.

Tadika itu mempunyai 50 kanak-kanak berumur antara 4 hingga 7 tahun terdiri daripada anak-anak daripada keluarga yang memerlukan atau kurang bernasib baik. Ia beroperasi sejak enam tahun lalu dan digerakkan oleh tenaga kerja sukarela.

Jelasnya, kewujudan perpustakaan itu menjadi pemangkin kepada kerajinan dan disiplin kanak-kanak.

“Perpustakaan itu menjadi pendorong untuk memupuk tabiat membaca kerana mereka mempunyai banyak pilihan bahan bacaan.

“Kami mengadakan sesi bacaan bebas, namun pada masa sama turut mengadakan sesi membaca buku cerita bersama guru,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Tunku Zain Al-’Abidin berkata, usaha itu merupakan batu loncatan yang baik bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi semua lapisan masyarakat.

“Semasa saya kecil, saya kerap membaca dan ia membentuk fikiran dan kepercayaan saya.

“Pada zaman media sosial, internet, aplikasi telefon pintar dan hampir semua perkara boleh didapati secara online ini, amalan membaca masih sesuatu yang istimewa, mampu memprovokasi serta membuatkan kita mencermin diri sendiri,” jelas beliau.

Katanya, manfaat yang diperoleh daripada amalan membaca amatlah besar tanpa mengira bahasa ia ditulis.

“The Book Effect bukan sahaja tentang membangunkan perpustakaan, tetapi ia adalah tentang membina komuniti supaya orang ramai boleh berkongsi pengajaran daripada buku yang dibaca. Ini sangat bagus untuk minda dan sosialisasi rakyat Malaysia,” kata beliau yang turut mendermakan sejumlah buku untuk projek berkenaan.