Namun, di sebalik kesedihan yang terpaksa dihadapi oleh ahli keluarga mangsa, rupa-rupanya ada pihak dengan sengaja bertindak menyebarkan gambar-gambar kejadian yang memaparkan keadaan mangsa yang cedera parah.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai yang menyebarkan gambar ngeri peristiwa itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SKMM, perbuatan tidak beretika itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan gambar-gambar yang mengganggu sensitiviti masyarakat.

Malah, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari turut berang dengan tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan gambar mangsa tragedi tersebut.

Beliau turut menyifatkan individu yang melakukan perbuatan itu sebagai cuba menjadi jaguh dengan cara menular berita di media sosial tanpa memikirkan sensitiviti mangsa dan keluarga.

Faktor

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, pakar psikologi, Dr. Maria Chong Abdullah berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong seorang individu melakukan perkara tersebut.

“Antaranya ialah sikap tidak ambil peduli terhadap kesan yang bakal dihadapi oleh mangsa atau individu di sekelilingnya.

“Kebanyakan mereka yang bertindak menyebarkan gambar ngeri sesuatu kejadian atau kemalangan biasanya tidak pernah mempedulikan tentang kesannya terhadap orang lain terutama mangsa.

“Mereka melakukan perkara itu hanya untuk mencapai kepuasan diri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, faktor lain ialah sikap ingin meraih populariti dalam kalangan rakan-rakan untuk muncul sebagai orang yang terawal menyebarkan gambar sesuatu kejadian.

Individu dalam kategori berkenaan katanya, kebiasaannya merupakan mereka yang aktif dengan media sosial dan kerap memuat naik pelbagai status terkini tentang apa yang dibuat dan berlaku di sekeliling mereka.

“Mereka mempunyai sikap suka berkongsi apa sahaja perkara dan gambar yang bagi mereka menarik untuk diketahui oleh orang lain tanpa mempertimbangkan kemungkinan apa yang dikongsi itu bakal menimbulkan kesan negatif pada kemudian hari,” tambahnya.

Katanya, satu lagi faktor yang mendorong seseorang individu melakukan perbuatan menyebar gambar ngeri sesuatu kejadian ialah sikap tidak berfikir panjang tentang apa yang dilakukan.

Jelasnya, ada antara mereka yang melakukannya tanpa niat buruk untuk mengaibkan sesiapa tetapi selepas gambar yang disebarkan itu menimbulkan rasa marah pihak lain, mereka mula menyesal dengan perbuatan tersebut.

Namun jelas Maria, walaupun timbul rasa menyesal dan bersalah, ia sudah tidak berguna kerana gambar yang disebarkan sudah menjadi tular di media sosial dan ia akan terus berlegar selagi ada orang terus berkongsi dengan pihak lain.

“Mereka yang melakukan perkara ini boleh dianggap sebagai ‘sakit mental’ kerana walaupun tidak gila, mereka sebenarnya tidak mampu mengawal kelakuan diri sendiri terutamanya untuk tidak menyakiti atau mengganggu orang lain,” katanya.

Menjelaskan mengenai kesan perbuatan tersebut, kata Maria, ia memberi implikasi yang buruk dari sudut psikologi dan sosial sama ada terhadap mangsa mahupun ahli keluarga.

Dari sudut psikologi katanya, tindakan menyebar gambar boleh mendatangkan aib selain boleh mengganggu emosi mangsa dan ahli keluarga, apatah lagi apabila ada anggota masyarakat memandang serong.

“Sekiranya mangsa meninggal dunia, sudah pasti ahli keluarganya akan berasa sedih, apatah lagi apabila kematiannya dalam keadaan yang mengerikan.

Berdosa

“Apabila gambar mangsa menjadi tular di media sosial, kesedihan ahli keluarga terbabit tidak akan berakhir kerana mereka akan terus menyaksikan gambar berkenaan untuk tempoh yang lama walaupun secara tidak sengaja,” katanya.

Justeru katanya, beliau menyokong penuh tindakan SKMM yang ingin mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dikesan bersalah menyebarkan gambar-gambar ngeri sesuatu kejadian sebagai satu pengajaran dan tidak melakukan perbuatan itu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, perbuatan menyebar gambar ngeri mangsa kemalangan adalah satu tindakan yang ditegah di sisi Islam.

“Malah di dalam Islam, perbuatan tersebut dianggap berdosa kerana telah mengaibkan mangsa walaupun mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Jelas beliau, Islam mengajar agar umatnya menjaga aib orang lain, apatah lagi menjaga nama baik dan hubungan sesama manusia.

Beliau turut menasihatkan anggota masyarakat agar tidak terlalu ghairah dalam berkongsi apa sahaja gambar dengan orang lain khususnya menerusi laman sosial kerana bimbang ia boleh mendatangkan fitnah yang akhirnya akan membawa kepada masalah yang lebih besar.