Dari jauh, beberapa balang kaca berisi tangan, kaki, fetus dan anggota badan yang lain dapat dilihat dengan jelas menerusi tingkap kaca kedai tersebut.

Melihatkan objek-objek tersebut, pasti ramai yang menyangka ia merupakan spesimen palsu. Bagaimanapun, ia sebenarnya merupakan spesimen manusia sebenar.

Lebih mengerikan apabila kesemua spesimen tersebut telah berusia lebih 30 tahun dan ke atas.

Menurut pemiliknya, Henry Scragg, kesemua spesimen yang terdapat di dalam kedai tersebut merupakan koleksi peribadi yang dikumpul sejak di bangku sekolah.

Mayat dibakar

“Mengumpul spesimen mayat manusia merupakan hobi saya sejak kecil. Biarpun aneh dan menggerunkan, namun saya merasakan ia merupakan satu aktiviti yang unik dan menarik.

“Hobi ini bermula sejak tahun 2011 apabila saya mula tertarik melihat spesimen manusia yang dijual di laman eBay. Sejak itu, saya mula menjinak-jinakkan diri membeli dan memburu spesimen menarik sebagai koleksi.

“Bagaimanapun melihatkan koleksi yang semakin bertambah, saya kemudian menjual sebahagian daripadanya pada pameran but kenderaan vintaj di Colchester Castle,” jelasnya.

Lima tahun selepas menjual spesimen manusia dan haiwan di but kenderaan, Scragg nekad membuka sebuah kedai dan berhenti bekerja sebagai tukang kebun di Universiti Anglia Ruskin.

“Spesimen di sini merupakan sisa manusia yang tidak digunakan lagi, Kebanyakannya merupakan spesimen perubatan lama atau peninggalan suku daripada pelbagai budaya di seluruh dunia.

“Selain itu, ada antara koleksi spesimen diambil daripada mayat yang dibakar atau ditanam.

“Sesetengah orang menganggap perbuatan itu tidak sopan dan salah kerana menjual anggota individu yang sudah tiada.

“Saya tidak rasa ini perkara aneh atau menakutkan. Sebaliknya, ini merupakan salah satu kaedah untuk menghormati mayat-mayat dalam keadaan kekal.

“Malah dengan spesimen mayat-mayat ini juga, kita boleh mengenali tradisi budaya masyarakat lain menerusi kajian,” jelasnya.

Menurut Scragg lagi, kesemua koleksi spesimen tersebut dijual pada harga antara £10 (RM5.30) sehingga £2,650 (RM13,951).

Tujuan kajian

Rata-rata pelanggan Scragg terdiri daripada pakar-pakar perubatan yang sedang membuat kajian sehinggalah jiran terdekat.

“Selain bahagian tubuh yang diperam, cebisan daging manusia dan organ haiwan merupakan antara spesimen yang terdapat di kedai ini.

“Bukan itu sahaja, janin manusia dan ovari wanita turut diawet di dalam balang kaca. Walaupun ada yang telah berusia puluhan tahun, namun ia kekal terpelihara kerana kesemua organ ini telah direndam di dalam formaldehid sebelum dipindahkan ke dalam larutan alkohol dan air suling,” jelasnya.

Biarpun kedainya itu kini mendapat sambutan ramai, namun menurut Scragg, pembukaan kedai tersebut mendapat reaksi negatif daripada orang sekeliling.

Akui Scragg, tidak semua individu menyukai hobi luar biasanya itu.

“Beberapa individu tidak bertanggungjawab menconteng kedai dengan ayat ‘anda dan kedai sungguh menjijikkan’. Cacian pula sudah menjadi halwa pendengaran saya.

“Mungkin mereka fikir saya merupakan pembunuh haiwan dan manusia.

“Sedangkan mereka tidak tahu kesemua spesimen manusia dan haiwan yang berada di dalam kedai ini sudah mati secara semula jadi. Apa yang saya lakukan adalah kitar semula dan tidak mendatangkan ancaman kepada mana-mana individu,” katanya.

Menurutnya lagi, biarpun dihina, namun Scragg sedar sekurang-kurangnya dia mampu membantu insan yang lebih memerlukan.

“Bagi saya spesimen ini berguna kepada orang-orang begitu memerlukannya terutamanya pelajar, pensyarah atau doktor untuk tujuan kajian dan perubatan.

“Meminati benda aneh seperti ini tidak bermaksud anda merupakan individu bermasalah,” jelasnya.

Hobi pelik tukang kebun di sebuah universiti membolehkan Henry Scragg buka kedai menjual spesimen manusia dan haiwan yang dibeli daripada laman web eBay untuk membantu pelajar, pensyarah atau doktor melakukan penyelidikan.