Momen ini sangat bermakna bagi Chee Choo Yee Arun, 23, yang mengundi buat kali pertama.

“Saya berasa sangat teruja untuk merasai sendiri pengalaman mengundi dan memilih calon perwakilan yang akan menentukan masa depan negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, mengundi merupakan tanggungjawab yang besar kepada negara maka, peluang ini tidak harus dipersiakan,” katanya yang mengundi di Kuantan, Pahang.

Choo Yee Arun yang berkecimpung sebagai pereka fesyen sejak enam tahun lalu di Kuala Lumpur berharap lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dibuka untuk para belia.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, setiap individu mempunyai kemahiran masing-masing maka, mereka perlu diberi peluang yang luas untuk memperbaiki taraf hidup dan pada masa sama berbakti kepada negara.

Dalam keterujaan rakyat Malaysia untuk mengundi terdapat segelintir orang memandang remeh mengenai perkara ini.

Mereka menjadikan alasan sibuk bekerja dan jarak yang jauh untuk tidak mengundi kerana merasakan kehilangan satu undi tidak mengapa apatah lagi masih ramai yang keluar mengundi malah sistem demokrasi tetap berjalan seperti biasa.

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperwakilan, mengundi merupakan proses penting.

Hak memilih

“Penyertaan merupakan salah satu prinsip penting dalam sistem demokrasi dan ia dizahirkan menerusi penglibatan dalam proses mengundi.

“Oleh sebab itu, peratusan keluar mengundi sangat signifikan kerana di situ kita dapat melihat sama ada sistem demokrasi itu subur atau tidak dalam sesebuah negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sehubungan itu, sistem demokrasi tidak dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya rakyat tidak keluar mengundi.

Ujarnya, tidak ada makna kemenangan tanpa penyertaan daripada majoriti rakyat yang layak mengundi

Tambah Zaid, sistem satu undi satu orang menerima semua undian tidak kira kedudukan atau darjat, di bandar mahupun desa.

“Semua orang mempunyai hak untuk memilih siapa wakil mereka untuk ke Dewan Rakyat,” tuturnya.

Mengulas mengenai cara berkempen alaf baharu, Zaid berkata, kini kempen bersemuka kelihatan agak ‘sejuk’ tidak seperti dahulu kerana masyarakat tampaknya sudah beralih ke arah penerimaan maklumat menerusi media sosial.

Berkempen menggunakan media sosial menjadi pilihan kerana maklumat dapat diterima dengan lebih cepat tanpa batasan jarak dan waktu membuatkan kempen di alam maya cukup ‘panas’ pada masa ini.

Setiap masa sentiasa ada perkembangan terkini, perkongsian maklumat dan siaran langsung hanya di hujung jari.

Sementara itu, Pengarah Pusat pengajian Perang Saraf dan Informasi Media, Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, undi sangat penting untuk menentukan kemenangan sesebuah parti bagi membentuk kerajaan dan dilantik perdana menteri.

“Jika hilang satu undi maka akan menjejaskan kemenangan sesebuah parti dan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

“Justeru, dinasihatkan agar rakyat Malaysia tidak mensia-siakan peluang dan tetapkan pendirian untuk memilih calon yang layak,” ujarnya.

Peratusan keluar mengundi yang rendah dan cubaan membuat undi rosak akan menjejaskan sistem demokrasi di negara ini. Bercerita mengenai kriteria yang menjadi perhatian pengundi, Ismail berkata, ia mempunyai empat faktor utama iaitu parti politik, personaliti calon, manifesto dan menggabungkan kesemua elemen itu.