Landskap pulau berkenaan yang terdiri daripada batu gunung berapi dan hutan hujan tropika menyajikan pemandangan yang begitu mendamaikan.

Walaupun dikenali sebagai pulau di tengah-tengah dunia kerana hampir dengan Meridian namun ia tidak mampu menarik kehadiran pelabur.

Pada tahun 2002, bekas Presiden Sao Tome, Fradique de Menezes mengumumkan perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan pelabuhan laut dalam dan membina pangkalan ketenteraan AS.

Kini, Evaristo Carvalho merupakan presiden di negara tersebut.

Bagaimanapun, Washington tidak pernah mengesahkan perjanjian tersebut meskipun terdapat kepentingan dalam industri minyak di rantau berkenaan.

Seperti negara-negara Afrika yang lain, Sao Tome turut beralih ke negara China dalam usaha membantu meningkatkan infrastruktur pembangunannya.

Diplomatik

Pada Disember 2016, Sao Tome memperbaharui hubungan diplomatik dengan Beijing dan sedikit sebanyak memberikan saingan kepada Taiwan yang telah bekerjasama dengan kepulauan Afrika sejak tahun 1997.

Menteri Kewangan Sao Tome, Americo De Oliveira Ramos berkata, negara berkenaan menjalinkan kerjasama dengan China bagi mendapatkan manfaat dan pembiayaan untuk pembangunan.

“Sektor kesihatan, minyak dan perikanan diperuntukkan bagi tujuan pembangunan yang menyumbang kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Selain itu, Sao Tome turut menandatangani perjanjian untuk membiarkan China memasuki perairan negara berkenaan bersama dengan Jepun dan Kesatuan Eropah.

Perjanjian tersebut telah menimbulkan kebimbangan terutamanya pakar alam sekitar yang menentang penangkapan ikan yu secara haram.

Perairan pulau Sao Tome yang tidak tercemar menjadi syurga kepada hampir 600 spesies tumbuhan dan hidupan laut yang masih belum diteroka.

Kemiskinan

Kerajaan Sao Tome berminat untuk menggalakkan pembangunan sektor pelancongan dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada penduduknya tanpa merosakkan keindahan semula jadi pulau itu.

Sehingga kini, dua pertiga penduduk Sao Tome hidup di bawah paras kemiskinan.

Selebriti Portugal, Joao Carlos Silva adalah salah seorang yang menyumbang kepada ekopelancongan negara tersebut dengan paluan gendangnya.

Malah, dia yang juga merupakan cef menggunakan hasil organik yang ditanam di sekitar rumah dan ladangnya sebagai sumber makanan seharian.

“Kami hidup dengan kepelbagaian biodiversiti dan dapat menanam tumbuhan tanpa sebarang bahan kimia menggunakan teknik tradisional,” katanya.

Namun begitu, antara halangan pertumbuhan ekopelancongan di negara itu adalah kos pinjaman yang terlalu tinggi.

Pemilik hotel Praia Inhame, Manuel Nazare berkata, dia telah meminjam sejumlah wang daripada bank dengan kadar yang amat tinggi mencecah 24 peratus.

Selain itu, harga perjalanan yang terlalu murah menjadi halangan pertumbuhan ekopelancongan.

Para pelancong dari Eropah akan menikmati perjalanan yang mewah walaupun kos sara hidup penduduk di situ rendah.

Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa, tol dan alam sekitar sering kali menjadi isu hangat yang diperdebatkan.

Malah, salah seorang tokoh veteran dalam sektor pelancongan turut melahirkan kebimbangan terhadap dasar degradasi laut itu.

“Persoalannya, adakah orang ramai akan mendapat manfaat daripada pembangunan itu? Pemeliharaan alam semula jadi di Sao Tome turut menjadi kebimbangan,” katanya.