CASPER FOO
CASPER FOO

Ramai memilih untuk menyiapkan tugasan di tempat-tempat seperti kafe, namun suasana yang bising juga merupakan satu gangguan, seterusnya mengganggu mood bekerja.

Jika menyiapkan tugasan di rumah pula, ada kalanya suasana yang terlalu selesa itu menjadikan mood malas datang dan seterusnya tugasan yang sepatutnya disiapkan terus tertangguh.

Menyedari hakikat tersebut, dua orang sahabat iaitu Casper Foo, 31, dan Lye Yu Min, 31, mewujudkan sebuah ruang pejabat dengan dekorasi yang cukup cantik dikenali sebagai Sandbox Coworking Space.

Terletak di Jalan Radin Bagus 3, Sri Petaling, Kuala Lumpur, premis itu mula membuka pintunya kepada pekerja bebas pada 7 Januari lalu.

Dekorasi yang ditonjolkan semestinya menjanjikan satu pengalaman yang berbeza saat bekerja, khususnya bagi individu yang bergelar freelancer.

Kru Panorama baru-baru ini berpeluang melihat sendiri suasana bekerja di premis dengan keluasan 464.5 meter persegi itu.

Santai

Penggunaan rona-rona ceria pada keseluruhan ruang ternyata berjaya mencipta satu suasana segar pada Sandbox Coworking Space.

Susun atur perabot yang kemas digabungkan pula dengan dekorasi konsep moden ternyata menjadi kerana Sandbox Coworking Space kelihatan cukup selesa.

Menurut Foo, konsep yang cuba diketengahkan pada dekorasi premis tersebut ialah moden dan santai.

“Jika dilihat, kebanyakan ruang kerja yang lain kelihatan agak formal, menjadikan pengunjungnya juga berasa perlu untuk mengenakan pakaian formal semasa berada di situ.

“Di sini, kami mewujudkan suasana santai supaya pengunjung tidak terasa terikat dengan kod pakaian dan berasa lebih selesa sewaktu bekerja,” tuturnya.

Idea untuk mewujudkan ruang pejabat ini timbul kerana kedua-dua sahabat karib itu juga pernah be­kerja secara bebas.

“Umum mengetahui bahawa individu yang bekerja secara bebas berdepan masalah kurang bersemangat untuk menyiapkan kerja.

“Maklumlah, jika sudah berada di rumah, kita akan berasa terlalu selesa dan kurang motivasi untuk menyiapkan tugasan. Oleh itu, ruang pejabat yang kondusif dan ceria sebegini sudah semestinya membangkitkan semangat untuk bekerja,” ujarnya.

YU MIN
YU MIN

Premis itu cukup lengkap sebagai sebuah pejabat mini kerana dilengkapi dengan meja bekerja, bilik mesyuarat besar dan kecil, pantri serta sebuah bilik mandi untuk kegunaan pengunjung.

Residen

Menariknya, dengan bayaran serendah RM 26.90 sehari, pengunjung boleh menggunakan ruangan ini bagi tempoh 24 jam.

Pengunjung juga boleh menggunakan semua kemudahan yang disediakan seperti wi-fi dengan kelajuan maksimum serta minuman kopi secara free-flow sepanjang hari.

Ia turut menawarkan pakej sebagai residen yang membolehkan pengunjung datang ke premis itu pada bila-bila masa.

Begitu pun, Foo membe­ritahu, pihaknya akan menjalankan sesi temu bual ringkas sebelum membenarkan seseorang untuk mendaftar sebagai residen.

“Sebagai pemilik, kami mahu semua residen lain berasa selesa apabila bekerja di bawah satu bumbung yang sama.

“Hal ini kerana ruang ini dikongsi bersama dan kami mahu semua re­siden berasa seronok dan berjumpa kawan baharu apabila bekerja dan bersantai di sini,” ujarnya.

Ruang pejabat buat freelancers itu dihias dengan konsep moden dan santai sesuai untuk bekerja dalam suasana selesa.