Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, 14 Julai 2016 itu, turut meragut nyawa sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak dan remaja selain kira-kira 50 kanak-kanak lain cedera.

Ketika kejadian, pengganas berkenaan yang dikenali sebagai Mohamed Lahouaiej-Bouhlel yang berasal dari Tunisia telah memandu lori besar berwarna putih dengan kelajuan tinggi pada jarak lebih 100 meter di sepanjang kawasan pinggir laut terkenal, Pro­menade des Anglais sebelum me­rempuh kumpulan penonton.

Penyerang lelaki berusia 31 tahun itu kemudian mati ditembak anggota polis.

Sorang wanita memberitahu France Info bahawa dia dan mang­sa-mangsa lain melarikan diri dalam ketakutan.

“Lori itu datang mengikut pergerakan bentuk zig-zag sepanjang jalan. Kami berlari ke sebuah hotel dan bersembunyi di dalam tandas bersama ramai orang,” ceritanya.

Sorang lagi wanita memberi­tahu stesen televisyen itu, dia berlindung di sebuah restoran di kawasan pejalan kaki dengan kira-kira 200 orang yang lain selepas keadaan kembali tenang kira-kira dua jam selepas kejadian.

Wartawan Nice-Matin, Damien Allemand yang turut berada di tempat kejadian pula melaporkan, orang ramai lari bertempiaran dalam keadaan panik semasa trak berkenaan menuju dan merempuh ke arah orang ramai.

“Terdapat mangsa berlumuran darah dan semestinya ramai yang cedera,” katanya.

Bom tangan

Penyerang itu turut melepaskan tembakan kepada orang ramai semasa kejadian.

Ketua pihak berkuasa tempatan, Christian Estrosi memberitahu BFM TV, senjata api serta bom tangan turut ditemui di dalam lori itu selepas lelaki berkenaan dibunuh.

Militan Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan di Nice itu dan memuji perbuatan yang dilakukan La­houaiej-Bouhlel.

Daesh menyifatkan Lahouaiej-Bouhlel adalah salah seorang ‘askar’ mereka, namun pemandu lori tersebut tidak pernah berada di dalam senarai pihak polis Pe­rancis.

Perdana Menteri Perancis ketika itu, Manuel Valls berkata, penyerang yang menetap di Perancis itu diterapkan dengan fahaman radikal begitu cepat.

Lapan bulan sebelum kejadian itu, militan Daesh juga telah membunuh 130 orang di Paris pada 13 November.

Empat hari sebelum tragedi rempuhan trak itu, Perancis telah menarik nafas lega kerana kejohanan bola sepak Euro 2016 yang berlangsung selama sebulan di negara itu berakhir tanpa sebarang insiden.

Ekoran kejadian pada sambutan Hari Bastille itu, Perancis telah melanjutkan tempoh darurat sehingga Januari 2017 bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan menempatkan orang ramai dalam tahanan rumah.

Sokongan logistik

Lapan hari selepas tragedi ber­kenaan, empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun dituduh membantu pemandu Lahouaiej-Bouhlel dalam serangan keganasan tersebut.

Menurut pendakwa raya Perancis, Francois Molins, salah seorang suspek telah kembali ke tempat kejadian pada hari berikutnya untuk merakam kesan serangan.

Menurutnya, Lahouaiej-Bouhle menerima sokongan logistik bagi melakukan serangan itu dari lima tertuduh dan telah merancang serangan sejak beberapa bulan.

Tiga daripada tertuduh dikenali sebagai Ramzi A dan Mohamed Oualid G serta Chokri C didakwa sebagai rakan jenayah ‘pembunuhan dalam kumpulan berkaitan keganasan’.

Seorang warga Albania, dikenali sebagai Artan dan seorang wanita bernama Enkeldja yang disyaki membekalkan pistol kepada Lahouaiej-Bouhlel turut didakwa melanggar undang-undang senjata berhubung dengan kumpulan pengganas.

Tambah Mollins, seperti Lahouaiej-Bouhlel, tiada seorang pun daripada mereka yang ditahan dikenali oleh pasukan perisikan Perancis sebelum serangan itu, namun Ramzi A mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kecil.