Ia yang sebelum ini diberikan kepada lebih 100 syarikat sumber luar di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

APS juga akan mempunyai akta khas bagi memastikan pengambilan pekerja asing lebih terurus dan mengikut peraturan sedia ada.

Tindakan itu diambil bagi mengelak beberapa perkara yang tidak diingini seperti kes pemerdagangan manusia dan pelbagai perkara yang dikaitkan dengan isu melibatkan pekerja asing.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu khidmat ejen pekerja asing yang dimansuhkan ini, ikuti temu bual yang dilakukan oleh wartawan Kosmo! Ahad, ROSLI HASSAN bersama Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion di pejabatnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Apakah pandangan pihak tuan mengenai dasar baharu iaitu satu saluran pengambilan pekerja asing di negara ini yang diperkenalkan kerajaan?

TUKIMAN: Perkobf menyambut baik dasar baharu ini kerana ia mendatangkan pelbagai kebaikan kepada kontraktor terutamanya di dalam sektor pembinaan yang sering menggunakan khidmat pekerja asing.

Dengan melalui satu saluran, kos pengambilan warga asing dijangka menjadi lebih rendah berbanding pelbagai saluran luar sebelum ini yang dilihat hanya menguntungkan ejen pekerja asing.

Sebelum ini, kontraktor perlu membayar kira-kira RM8,000 untuk seorang pekerja asing jika mahu menggunakan khidmat ejen.

Menerusi sistem baharu ini, kos ini dijangka boleh turun sehingga 50 peratus iaitu sekitar RM4,000 sahaja kerana keuntungan ejen telah ditiadakan.

Kos yang lebih rendah ini semestinya mendatangkan kebaikan kepada kontraktor terutamanya kontraktor Kelas F yang mempunyai modal kecil.

Bagaimanapun, melalui sistem baharu ini bermakna kontraktor perlu menguruskan pengambilan pekerja asing dengan sendiri. Proses pengambilan pekerja asing pada masa kini renyah yang mana majikan perlu melalui pelbagai proses dan adakalanya memakan masa lama.

Apakah yang mungkin berlaku sekiranya sistem untuk mengambil pekerja asing secara sah masih susah dan mahal?

Sekiranya sistem mengambil pekerja asing secara sah masih susah dan mahal, sesetengah kontraktor mungkin akan mengambil risiko dengan mengupah pekerja asing tanpa dokumen.

Kontraktor seboleh-boleh mahu menggunakan pekerja asing yang sah kerana mereka berdepan risiko didenda dan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit pula ditangkap pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen.

Sekiranya ini berlaku, pembinaan yang dilakukan mungkin tertangguh akibat kekurangan pekerja menyebabkan kontraktor terbabit dikenakan denda lewat.

Perasan kontraktor yang menggaji pekerja asing yang sah juga lebih tenteram berbanding majikan yang menggunakan khidmat PATI yang sentiasa bimbang premis mereka diserbu pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Perkobf berharap kerajaan dapat memudahkan proses pengambilan pekerja asing ini pada masa hadapan terutamanya kepada kontraktor Kelas F yang hanya menggunakan pekerja asing dalam bilangan yang kecil.

Apakah risiko yang ada sebelum ini sekiranya kontraktor menggunakan khidmat ejen bagi mendapatkan perkhidmatan pekerja asing?

Menggunakan ejen bagi mendapatkan pekerja asing memudahkan kontraktor. Ini kerana, mereka tidak perlu turun naik ke agensi kerajaan berkaitan menguruskan pengambilan pekerja diingini.

Walaupun perlu membayar kos yang lebih tinggi, sebahagian majikan sanggup mengeluarkan wang lebih kerana kekangan masa.

Begitupun, majikan seperti kontraktor adakalanya kerugian ribuan ringgit akibat ditipu ejen yang tidak bertanggungjawab.

Selepas membayar wang yang banyak kepada ejen, pekerja asing yang dijanjikan tidak kunjung tiba, manakala ejen terbabit pula menghilangkan diri.

Terdapat juga kes pekerja asing yang dibekalkan melarikan diri selepas selepas bekerja dalam jangka masa pendek dan ejen terbabit pula lepas tangan dengan tidak menggantikan pekerja lain.

Ejen terbabit kemungkinan telah berpakat dengan pekerja asing berkenaan dengan menawarkannya kepada majikan lain pula bagi mendapat keuntungan berganda.

Adakah sistem pengambilan pekerja asing baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan ini dapat menangani pelbagai isu negatif yang dikaitkan dengan ejen sebelum ini.

Antara isu negatif yang sering dikaitkan dengan ejen pekerja asing sebelum ini adalah kes pemerdagangan manusia.

Pekerja asing yang dibawa masuk ini biasanya dijanjikan dengan pelbagai jawatan menarik sebelum mereka tiba di negara ini.

Sebaik tiba di negara ini, mereka bagaimanapun dipaksa bekerja sebagai pelacur atau gadis pelayan pelanggan di kelab-kelab malam.

Disebabkan pasport pekerja asing disimpan oleh ejen yang membawa mereka masuk selain diugut dengan pelbagai cara, mereka akhirnya melakukan perbuatan terkutuk terbabit.

Dengan menghapuskan khidmat ejen asing, pengambilan pekerja asing ini akan diserahkan kepada APS, sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara tidak diingini seperti kes pemerdagangan manusia

Adakah pekerja asing yang dibawa masuk menerusi ejen ini lebih berkualiti berbanding diuruskan sendiri?

Selain pembantu rumah yang biasanya telah diberi latihan sebelum memasuki negara ini, pekerja asing lain seperti pekerja binaan biasanya tidak terlatih.

Kontraktor yang mengambil mereka perlu melatih semula dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan.

Biarpun begitu, pekerja asing binaan yang telah sedia ada di dalam negara ini biasanya mahir dengan kerja-kerja binaan dan tidak perlu diberi tunjuk ajar lagi.

Disebabkan itu, kontraktor binaan biasanya lebih gemar mengambil pekerja asing sedia ada di dalam negara berbanding yang dibawa masuk dari negara asal mereka.

Walaupun pekerja asing sedia ada ini meminta kadar upah yang lebih tinggi, majikan tidak kisah kerana kerja-kerja pembinaan berjalan dengan lebih lancar dengan adanya mereka yang berpengalaman ini.

Mengapakah sesetengah majikan lebih gemar menggunakan pekerja asing berbanding rakyat tempatan?

Pengambilan pekerja asing biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila usaha untuk mendapatkan khidmat pekerja tempatan tidak dapat dipenuhi.

Pengambilan pekerja asing adalah lebih mahal dan ia adalah hakikat yang ditanggung oleh kontraktor terutamanya apabila pengambilan tersebut dibuat melalui ejen-ejen yang dilantik.

Kebanyakan pekerja asing mempunyai sikap positif terhadap pekerjaan, jarang mengambil cuti sakit atau ponteng kerja dan bersedia membuat kerja lebih masa apabila diminta.

Biarpun ditawarkan gaji yang tinggi sehingga RM100 sehari, kami masih sukar mendapatkan pekerja tempatan yang berminat untuk bekerja terutamanya di sektor pembinaan.

Kerja di sektor pembinaan mungkin dilihat sebagai kerja berat, berbahaya dan terpaksa berjemur di bawah terik matahari.

Kesukaran mendapatkan pekerja tempatan ini menyebabkan kami tiada pilihan lain selain terpaksa menggunakan khidmat pekerja asing.

Kos pengambilan pekerja asing dijangka lebih rendah berbanding menggunakan pelbagai saluran luar sebelum ini sekali gus menguntungkan majikan seperti kontraktor Kelas F.