Bagaimanapun, sebuah salun kecantikan di Jepun menawarkan satu perkhidmatan unik kepada pelanggan iaitu dengan menyediakan layanan mencabut uban yang tumbuh di kepala secara manual.

Salun kecantikan tersebut, Shiraganuki Main Store yang terletak di Tokyo, Jepun telah hadir dengan perkhidmatan unik tersebut kerana sedar mencabut uban adalah perkara yang sangat menenangkan bagi pelanggan.

Menurut bahasa Jepun, perkataan shiraganuki adalah bermaksud menghilangkan rambut putih. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web salun tersebut, mereka mendakwa bahawa uban bukanlah satu masalah besar, namun kehadiran rambut putih itu selalu membuatkan hidup mereka terganggu.

“Mencabut uban di kepala sendiri bukanlah suatu tugas yang mudah dan bukan kerja yang digemari oleh orang lain untuk membantu mencabutkan uban anda.

“Perkhidmatan mencabut uban yang kami buat tidak menyakitkan sehingga boleh membuatkan anda tertidur,” kata wakil jurucakap salun tersebut.

30 hingga 70 helai

Menurut laporan oleh portal World of Buzz, bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan mencabut uban adalah bermula pada harga 3,980 Yen (RM144) selama 30 minit yang akan dilakukan oleh pakar profesional.

Jika pelanggan mempunyai masalah uban yang teruk, mereka boleh memilih perkhidmatan selama satu jam yang ditawarkan pada harga 7,480 Yen (RM272) dan bayaran tambahan sebanyak 1,000 Yen (RM36) akan dikenakan untuk setiap 10 minit masa tambahan.

Walaupun harga perkhidmatan mencabut uban yang ditawarkan itu boleh dikatakan agak mahal, namun kecekapan dan hasil yang diberikan kepada pelanggan sangat baik.

Menurut pihak pengurusan Shiraganuki Main Store, jumlah uban yang dapat dicabut daripada kepala seseorang adalah bergantung pada beberapa faktor seperti panjang rambut dan struktur rambut seseorang.

Namun, rata-rata pakar di sana mampu mencabut antara 30 hingga 70 helai uban dalam masa 10 minit sahaja.

Menurut kenyataan salun tersebut, sebanyak 400 helai uban pernah dicabut daripada kepala seorang pelanggan dari daerah Kansai hanya dalam tempoh satu jam oleh pakar secara manual dengan menggunakan penyepit kecil atau pinset.

Untuk memberi jaminan kepuasan kepada pelanggan, mereka boleh memberitahu pihak salun sama ada untuk mencabut rambut yang telah putih sepenuhnya atau separa putih.

Optimis

Pelanggan di Shiraganuki Main Store sebahagian besarnya adalah pelanggan yang berusia sekitar 40 tahun dengan 70 peratus daripada mereka adalah lelaki.

Untuk mendapatkan perkhidmatan mencabut uban itu, para pelanggan disarankan untuk membuat tempahan terlebih dulu melalui laman web shiraganuki.jp dengan mengisi maklumat peribadi secara online di borang yang disediakan.

Bagaimanapun, pihak Shiraganuki Main Store mengakui pergerakan perniagaan yang disediakan itu sebenarnya agak perlahan kerana rata-rata orang ramai lebih memilih untuk mewarnakan rambut yang telah beruban daripada mencabutnya.

Dalam sehari, Shiraganuki Main Store hanya mendapat kira-kira empat orang pelanggan sahaja, bahkan terdapat waktu salun tersebut langsung tidak dikunjungi sama sekali.

Namun, pihak salun masih bersikap optimis kerana percaya masih terdapat lagi pelanggan yang akan menggunakan perkhidmatan mencabut uban yang ditawarkan oleh Shiraganuki Main Store.

Sebuah salun di Jepun bernama Shiraganuki Main store tawar perkhidmatan unik dengan menyediakan perkhidmatan mencabut uban secara manual kepada pelanggan dengan bayaran bermula RM144 selama 30 minit.