Perjalanan dari rumahnya ke ladang itu mengambil masa sekitar 20 minit dengan kereta.

Sebaik sahaja sampai di tempat kerjanya dalam pukul 7.30 pagi, dia bergegas ke kandang kambing yang terletak di kawasan ladang itu.

Anak muda yang berasal dari Sepang, Selangor itu kemudiannya memilih dua hingga tiga ekor kambing untuk disembelih.

“Tugas hakiki saya di Goat2Go Farm ini ialah menyembelih kambing sejak setahun lalu. Dalam seminggu saya menyembelih sekitar 30 ekor kambing. Setelah selesai melakukan sembelihan, ia akan diproses oleh pekerja lain.

“Selepas itu, saya menuju ke dapur TeknoKafe untuk menyediakan bahan-bahan bagi memasak hidangan yang berasaskan kambing sebelum dihidangkan kepada pelanggan,” jelas Muhammad Abdul Hafiz yang merupakan salah seorang cef di kafe itu.

TeknoKafe bertanggungjawab untuk menyediakan hidangan berasaskan daging kambing segar kepada pengunjung.

Muhammad Abdul Hafiz menjelaskan dia bersama dua pembantu lain akan melakukan kerja-kerja penyembelihan di ladang itu jika permintaan terhadap kambing bertambah terutamanya untuk tujuan akikah.

Kambing yang terdapat di Goat2Go Farm yang dibawa dari ladang ternakan di Pondok Tanjung, Perak kesemuanya cukup umur untuk disembelih.

Muhammad Abdul Hafiz memberitahu, dia belajar menyembelih haiwan ternakan seperti ayam dan kambing sejak berumur 15 tahun ketika menuntut di Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan, Pahang.

“Semasa belajar di situ, ustaz saya mengajar cara untuk menyembelih haiwan ternakan.

“Kini ilmu yang diperoleh itu saya dapat gunakan di tempat kerja saya,” jelasnya dalam nada yang sopan.

Tambahnya,, ketika melakukan kerja penyembelihan dia akan mengikut tertib atau adab seperti yang disarankan dalam agama Islam.

Permintaan tinggi

Selain itu, dia juga mengamalkan tip daripada orang lama iaitu dengan menyengetkan sedikit kedudukan badan agar kemaluan penyembelih tidak bertentangan dengan haiwan yang akan disembelih.

Goat2Go Farm merupakan salah satu ladang ternakan kambing secara fidlot yang diusahakan oleh, Nordin Mat, 45.

Nordin menjelaskan, pada mulanya dia lebih fokus kepada ternakan kambing untuk dijual bagi tujuan akikah dan sebagainya.

“Saya mempunyai sebuah ladang ternakan kambing di Pondok Tanjung di Perak dan ia telah diusahakan sejak tahun 2003.

“Ladang itu berkeluasan 202 hektar dan kini terdapat lebih 2,000 ekor kambing,” jelasnya.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk membuka sebuah ladang kambing di MAEPS bagi memenuhi permintaan pasaran di Lembah Klang pada tahun lalu.

Dia kemudiannya membuka TeknoKafe selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang mahu menikmati hidangan segar berasaskan kambing.

Mula dibuka pada Mac tahun lalu, TeknoKafe hanya memperkenalkan menu iaitu kambing panggang.

“Bagi menu ini, pelanggan berpeluang untuk memanggang sendiri daging kambing yang telah diperap.

“Pada awalnya, pelanggan hanya menikmati hidangan kambing di ladang kami dan tempat duduk pada waktu itu agak terhad,” kata Nordin.

Spesies kambing

Melihat kepada sambutan para pelanggan yang ramai, pihak MAEPS menawarkan sebuah lokasi yang terletak berhampiran ladang Goat2Go Farm kepada mereka untuk membuka sebuah kafe yang menghidangkan makanan berasaskan daging kambing.

Nordin mengambil peluang itu untuk membuka TeknoKafe, sekali gus menambah pelbagai menu menarik untuk dinikmati pelanggan.

“Kebiasaannya, suasana di MAEPS sangat sunyi pada hari biasa. Kehadiran ramai pengunjung hanya pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA). Bagi menarik lebih ramai pengunjung, kami sediakan satu tempat untuk membuka sebuah kafe,” jelasnya.

TeknoKafe yang dibuka pada bulan tujuh tahun lalu kini menawarkan lebih 20 menu kepada para pelanggan.

Antara menu yang disediakan ialah nasi minyak bersama kari kambing, nasi lemak rendang, kambing goreng dan sup kambing. Harga menu berasaskan kambing di kafe itu bermula dari RM10.

“Di sini, pengunjung berpeluang untuk menikmati sajian daging kambing segar. Kambing-kambing ini akan disembelih pada setiap hari.

“Tidak ada istilah daging kambing disejuk beku dan semuanya segar dari ladang,” jelasnya.

Pada hari biasa, Goat2Go Farm akan menyembelih antara dua hingga tiga ekor kambing tetapi jumlah itu meningkat kepada empat hingga lima ekor pada hujung minggu.

Nordin menambah, kambing-kambing yang diternak di Pondok Tanjung, Perak akan dibawa ke ladang Goat2Go Farm setiap minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Lebih 150 ekor kambing akan dibawa ke ladang ini setiap minggu untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahu melakukan akikah serta hidangan di kafe kami.

“Kami menternak dua jenis kambing iaitu jenis Boer dan Damara kerana kedua-dua spesies ini cepat membesar selain dagingnya yang lebih lembut,” kata Nordin.

Dalam tempoh tiga hingga empat bulan, kedua-dua spesies itu boleh mencapai berat sehingga 20 kilogram (kg) dan ia sesuai untuk disembelih.

Dalam pada itu, Goat2Go Farm juga menawarkan pakej majlis akikah kepada pelanggan yang berminat.

“Pelanggan juga boleh mengadakan majlis akikah di kafe kami. Mereka hanya perlu datang dan memilih kambing yang ingin dibuat akikah, sekali gus menjemput tetamu ke majlis itu,” kata Nordin

Sementara itu, Goat2Go Farm juga membuka sebuah taman iaitu G2G Animal Garden yang mempamerkan pelbagai spesies haiwan bagi memberi kelainan kepada pengunjung.

“Di sini, pengunjung bukan sahaja boleh menikmati makanan tetapi membawa anak-anak mereka mengunjungi G2G Animal Garden yang menempatkan pelbagai jenis spesies haiwan,” jelas Nordin

Di taman itu, pengunjung diberi peluang memegang, memberi makan dan bergambar bersama haiwan-haiwan yang dijaga dengan rapi termasuk ular, iguana, rakun, arnab, kura-kura, pelbagai spesies burung serta ayam.

Dalam pada itu, bagi Nurfarhani Abd. Kahar, 25, hidangan kambing yang ditawarkan di Goat2Go Farm sangat menarik.

Jelasnya, daging kambing yang dihidangkan sangat segar dan tidak berbau hamis setelah dimasak.

“Bagi saya, menu kari kambing sangat enak. Dagingnya lembut dan rasa rempah pada hidangan kari ini begitu kuat.

“Harga yang ditawarkan untuk setiap menu juga amat berpatutan dan tidak terlalu mahal,” jelasnya.

Tambahnya, suasana di sekitar Goat2Go Farm juga amat tenang dan ia sesuai untuk seisi keluarga.

Nurfarhani menambah, dia mengetahui tentang kewujudan Goat2Go Farm melalui rakannya.

“Setelah diberitahu tentang kewujudan tempat ini, saya mencari Goat2Go Farm di Facebook untuk melihat maklum balas pelanggan yang pernah berkunjung ke ladang ini.

“Maklum balas yang diberi sangat baik dan gambar-gambar makanan yang dimuat naik di laman sosial itu cukup menarik, sekali gus mendorong saya untuk datang ke sini,” jelasnya.

Pada hari biasa, Goat2Go Farm akan menyembelih antara dua hingga tiga ekor kambing tetapi jumlah itu meningkat kepada empat hingga lima ekor pada hujung minggu.