Selesai menuang susu, anak muda itu menghidangkan kopi ais yang dibuatnya itu kepada tetamu.

Sekali imbas, tiada siapa menyangka bahawa Muhammad Khairi sebenarnya merupakan seorang penghidap autisme.

Secara zahirnya, jejaka itu kelihatan sama seperti belia seusianya yang lain.

Bertugas sebagai pegawai sambilan harian di Kafe Rimau, Muhammad Khairi agak pendiam dan agak sukar untuk berbual, lebih-lebih lagi dengan individu yang tidak dikenalinya.

Kru Jurnal mendekatinya dan bertanya tentang cabaran serta pengalamannya bekerja sebagai barista di Kafe Rimau yang terletak di pekarangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Presint 4, Putrajaya.

“Saya sudah bekerja di sini selama tiga minggu. Rutin harian saya ialah datang ke premis ini seawal pukul 7 pagi untuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) kafe sebelum ia dibuka pada pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang,” ujarnya.

 

Cabaran

Bertutur lanjut, Muhammad Khairi yang memiliki Diploma Kulinari daripada Universiti Teknologi Mara kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan memberitahu, bekerja di kafe tersebut sebenarnya agak mencabar baginya.

“Sejujurnya, saya berdepan cabaran apabila mahu menyediakan kopi dengan barista art iaitu seni lukisan daripada buih susu yang ada di atas minuman kopi,” ujarnya.

Kafe Rimau yang mula beroperasi sepenuhnya pada 9 Januari lalu ternyata mempunyai tarikan yang tersendiri apabila pekerjanya terdiri daripada golongan belia autisme.

Ia merupakan sebuah kafe yang menawarkan kemahiran kepada golongan belia autisme dan pelajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi di bawah KBS untuk mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari dalam kelas kepada pelanggan-pelanggan kafe.

Menurut Ketua Pengarah ILKBS, Wasitah Mohd. Yusof, pelajar-pelajar ILKBS akan diuji dari segi kemahiran yang dipelajari dan kemahiran berkomunikasi dengan pelanggan secara efektif dan berkesan.

“Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebegini ternyata memberi peluang kepada belia autisme supaya mereka boleh berdikari dan mendapat peluang pekerjaan kelak.

“Di kafe ini, golongan belia autisme diberi pendedahan terhadap bidang kulinari dan penyediaan makanan, menjadikan mereka berjaya mengaplikasikan kemahiran yang dimiliki dengan menguruskan sebuah kafe,” tuturnya ramah.

Tambah Wasitah, Kafe Rimau juga beroperasi sebagai medium untuk memasarkan produk hospitaliti yang dihasilkan oleh belia autisme daripada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

“Selaku sebuah badan pakar atau profesional untuk golongan autisme, NASOM membantu memberi pandangan dalam membangunkan modul khas hospitaliti kepada belia yang mengalami tersebut.

“Hal ini kerana kita sedia maklum bahawa golongan autisme memerlukan keperluan yang sedikit berlainan daripada belia normal,” ujar Wasitah.

 

Sambutan menggalakkan

Wasitah kemudian membawa kru Jurnal untuk meninjau ruang penyediaan makanan yang disediakan di Kafe Rimau. Semua peralatan yang disediakan di kafe itu lengkap dan mudah untuk dikendalikan oleh belia autisme.

Wasitah menambah, pihaknya tidak membiarkan belia autisme yang bertugas di situ tanpa pengawasan.

“Beberapa orang staf ILKBS akan turut berada di kafe ini dan membantu melancarkan operasi kafe kerana sekiranya terlalu banyak tempahan, Muhammad Khairi mungkin akan berdepan cabaran untuk menyiapkan pesanan pelanggan,” tuturnya.

Kafe kecil tersebut menyediakan menu minum petang seperti kopi dan pastri. Selain itu, ia juga turut menyediakan menu makanan berat yang terdiri daripada pasta, nasi lemak dan sandwic.

Beroperasi pada setiap hari bekerja, Wasitah memberitahu, pihaknya tidak menyangka sambutan terhadap kafe mini itu cukup menggalakkan terutamanya daripada mereka yang bertugas di kawasan sekitar.

“Syukur, sambutan yang diterima khususnya daripada warga KBS dan kementerian lain di sekitar premis ini amat menggalakkan.

“Biarpun belum sebulan beroperasi, kafe ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan sejak dibuka,” tuturnya.

Ditanya adakah pihak ILKBS akan menambah cawangan Kafe Rimau di lokasi-lokasi lain, Wasitah berkata, pihaknya perlu melihat beberapa aspek terlebih dahulu terutamanya dari segi tenaga kerja mahir.

“Buat masa ini, belum ada perancangan untuk menambah lokasi Kafe Rimau biarpun kami ada mendapat permintaan daripada beberapa pihak.

“Hal ini kerana, proses memilih calon atau belia autisme yang sanggup untuk bekerja dalam bidang ini untuk satu tempoh yang lama sebenarnya agak sukar,” ujarnya menutup bicara.

Individu yang berminat untuk mencuba sendiri menu enak setanding dengan kafe-kafe hipster lain dengan harga yang berpatutan bolehlah berkunjung ke Kafe Rimau yang terletak di pekarangan KBS.

Kafe Rimau dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Orang ramai berpeluang mencuba sendiri menu enak dengan harga berpatutan yang disediakan oleh belia autisme kelahiran Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan di pekarangan Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.