Menjadikan restoran Foodmonger, Tamarind Square di Cyberjaya sebagi lokasi pertamanya, Tauke memberitahu, penglibatan dalam perniagaan makanan merupakan salah satu bidang yang menjadi minatnya sejak dahulu.

Menurutnya, idea Mie Keren tercetus selepas dia berkunjung ke sebuah kedai makan di Surabaya yang menjual menu mi syurga dan mi neraka. Mie bermaksud mi manakala Keren pula adalah sedap dalam bahasa Indonesia.

“Kita tahu di Indonesia mi segera juga popular tetapi menariknya, mereka menghidangkan sajian itu dalam pelbagai resipi. Hal ini mencetuskan ilham kepada saya untuk membawa konsep ini ke Malaysia.

“Pembukaan Mie Keren bukan sahaja membawa idea tetapi saya turut mengambil tukang masak dari Indonesia bagi mengekalkan keaslian resipi dalam setiap menu yang ditawarkan selain menggunakan mi segera asal negara jiran itu iaitu Indomie dan Mie Sedaap,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran gerai Mie Keren di Cyberjaya baru-baru ini.

Tambahnya, sejak dibuka pada awal bulan lalu, dia tidak menyangka maklum balas diterima daripada pelanggan amat menggalakkan.

Malah, ada yang berminat membuka francais Mie Keren meskipun baru tujuh hari beroperasi.

Lapan menu

Gerai Mie Keren di Foodmonger menawarkan lapan menu mi segera yang diolah kepada sajian istimewa.

Antaranya soto keren, medan, tek kicap, keju, bencong, matah, sambal keren dan pedas cinta.

Menariknya untuk semua menu ini pelanggan boleh memilih untuk tahap pedas yang bermula daripada pertama iaitu gegirl, berapi (kedua) dan berahi (ketiga).

Selain itu pelanggan juga boleh membuat tambahan untuk makanan sampingan seperti potongan ayam, daging cincang, parutan keju dan kiub daging kambing.

Menawarkan harga yang berpatutan bermula RM6 hingga RM12, Tauke juga memberitahu, pihaknya akan menambah senarai menu dari semasa ke semasa.

“Kita telahpun merancang 14 menu pada peringkat awal tetapi buat permulaan kita memperkenalkan hanya lapan menu dahulu sebagai proses pengenalan.

Tambahnya lagi, selain beroperasi di Foodmonger bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi pada setiap hari, Mie Keren turut membuat khidmat penghantaran makanan kepada pelanggan menerusi tempahan secara online.