Sebagai penyelesaian, golongan ini akan menjadikan restoran makanan segera ataupun gerai sebagai pilihan untuk mengisi perut masing-masing.

Bagaimanapun, tanpa mereka sedari, keadaan tersebut sebenarnya mampu mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan seseorang jika ia diamalkan dalam tempoh yang panjang.

Lebih-lebih lagi apabila setiap bahan yang digunakan dalam masakan tersebut tidak diketahui kandungannya.

Menyedari permasalahan yang dialami oleh golongan bekerjaya pada hari ini, seorang jurutera, Ng Jin Kiat, 33, mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kaedah memasak dengan mudah dan berkhasiat melalui jualan kit makanan yang dikenali sebagai Whisk.

Menerusi kit makanan tersebut, individu akan dibekalkan dengan satu set hidangan makanan seimbang dan dilengkapi dengan kesemua kandungan nutrien yang diperlukan tubuh seperti nasi, ayam, herba dan rempah-ratus, sos serta sayur-sayuran.

Makanan berkualiti

Bukan itu sahaja, kit tersebut turut dilengkapi dengan jumlah kalori yang terkandung di dalam setiap makanan.

Menariknya mengenai kit masakan ini ialah, individu hanya perlu mengambil masa antara lima sehingga 10 minit untuk memasak semula makanan tersebut sebelum menjamu selera memandangkan 80 peratus daripada makanan itu telah dimasak oleh tukang masak khas.

“Whisk baru sahaja beroperasi pada bulan Januari lalu.

“Idea untuk mewujudkan Whisk terbit setelah melihat dilema generasi muda pada hari ini yang tidak mempunyai masa untuk memasak dan mendapatkan makanan yang berkualiti.

“Bukan itu sahaja, kekurangan ilmu dalam bidang masakan juga menyebabkan mereka mengambil pendekatan singkat untuk membeli sahaja makanan di luar,” jelasnya.

Keadaan tersebut menyebabkan Jin Kiat turut menawarkan penghantaran kit makanan secara terus di hadapan pintu rumah kepada pelanggan-pelanggannya.

Bukan itu sahaja, Jin Kiat turut menunjukkan teknik-teknik memasak kit makanan yang dibeli pelanggannya menerusi arahan dan lakaran gambar yang diletakkan di dalam kotak tersebut.

Tambah Jin Kiat, melalui pendekatan yang diperkenalkan oleh Whisk, orang ramai kini boleh memasak dengan mudah dan cepat biarpun tidak mempunyai pengalaman memasak.

Tiga hari

Menurut Jin Kiat lagi, walaupun baharu sahaja sebulan beroperasi, namun Whisk kini mempunyai lebih 50 kit masakan yang menawarkan pelbagai menu dan rasa kepada pelanggan.

Menariknya, kit-kit makanan tersebut tidak tertumpu kepada hidangan tempatan semata-mata.

Ini kerana, Jin Kiat turut menyediakan kit makanan luar negara seperti makanan barat, Thailand, China dan India.

Antara menu yang terdapat di dalam kit makanan tersebut ialah risoto itik, sandwic stik panggang dengan keledek bakar, pasta pesto salmon dan spageti bebola ayam.

“Kesemua menu ini akan diubah secara mingguan bagi membolehkan pelanggan menikmati kepelbagaian rasa terhadap makanan-makanan mereka.

“Disebabkan itu, kami hanya menawarkan lapan kit makanan kepada pelanggan pada setiap minggu dan ia akan diubah-ubah pada minggu yang berikutnya,” jelasnya.

Menurut Jin Kiat lagi, walaupun kesemua makanan tersebut disediakan secara harian, namun ia mampu bertahan sehingga tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk.

“Sebenarnya, makanan tersebut boleh sahaja bertahan sehingga lima hari.

“Bagaimanapun, bagi menjamin kesegaran makanan yang dimasak, individu perlu memasaknya dalam tempoh tiga hari selepas penghantaran dilakukan,” jelasnya.

Ujar Jin Kiat lagi, setakat ini, kit masakan tersebut dijual dengan harga serendah RM12.90 hingga RM18.90.

Pembelian kit makanan tersebut boleh dilakukan melalui laman web Whisk iaitu www.whiskmeal.com.

Whisk tawar kit makanan yang dilengkapi dengan bahan-bahan berkhasiat lengkap sumber nutrien untuk permudahkan urusan memasak golongan bekerjaya.