Namun, buat golongan miskin seperti Leung Cho Yin, 67, apa yang dipanggilnya sebagai rumah cukup sekadar sebuah sangkar besi seluas kira-kira 1.5 meter persegi. Keluasan itu hanya muat untuk sebuah tilam.

Sebagai perbandingan, ruang tidur Cho Yin jauh lebih kecil daripada tapak parkir yang biasanya dibuat seluas antara 7 meter persegi hingga 13 meter persegi.

Dalam hal ini, ruang tidur sangkar besi seumpama itu biasanya dibina di sesebuah unit pangsapuri yang menempatkan lebih 10 penghuni bagi memisahkan mereka yang menyewa ruang tidur secara individu.

Pemotong daging itu bercerita dia membayar HKD1,300 (RM683) untuk tinggal di ruang sempit terletak di barat Kowloon. Kowloon merupakan kota yang maju terbahagi kepada Semenanjung Kawloon dan Kowloon Baharu dengan populasi dua juta penduduk.

Bandar termahal

“Di sini banyak pepijat. Jadi, saya dan rakan-rakan serumah lebih rela tidur berlapikkan tikar buluh atau pelapik lantai kayu berbanding tidur di atas tilam.

“Sudah banyak kali saya digigit. Saya sudah biasa. Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Saya perlu tinggal di sini dan terpaksa bertahan,” ujar Cho Yin sambil menunjukkan lengannya yang dipenuhi kesan kemerahan bekas gigitan serangga parasit itu.

Kediaman seumpama itu adalah sah dengan syarat pemilik kediaman perlu memohon lesen khas mengikut garis panduan yang ditetapkan undang-undang perumahan Hong Kong.

Bloomberg pada Jun lalu melaporkan Hong Kong menduduki kedudukan teratas bandar termahal di dunia berdasarkan tinjauan badan penyelidikan firma perkhidmatan profesional, Mercer.

Tinjuan itu meneliti kos rumah di samping 200 item di setiap lokasi meliputi pengangkutan, pakaian, makanan, hiburan dan membandingkan harga barangan seperti sepasang jean, petrol, susu, penginapan dan harga tiket wayang. Dalam hal ini, Hong Kong merupakan tempat paling mahal untuk didiami dengan nilai median (penengah) harga hartanah dianggar 19.7 kali ganda daripada pendapatan tahunan isi rumah.

Menurut South China Morning Post, sejak tahun 2014, Jabatan Banci dan Perangkaan telah mengumpulkan laporan tahunan mengenai isu rumah kategori sub atau ruang terbahagi tersebut.

Jabatan itu mentakrifkan unit terlibat sebagai rumah untuk tujuan sewa. Laporan 2016 mendedahkan bahawa dianggar 209,700 orang tinggal di 92,700 bilik yang terbahagi kepada 27,100 pangsapuri.

Menurut laporan itu, sejumlah 55.3 peratus daripada kelompok tersebut tinggal di Kowloon meliputi kawasan seperti Yau Tsim Wong, Sham Shui Po, Yuen Long, Kwun Tong. Manakala, 22.9 peratus tinggal di Wilayah Baru dan 21.8 peratus tinggal di Pulau Hong Kong.

Menurut pekerja sosial Persatuan Pertubuhan Masyarakat (SoCo), Sze Lai Shan, rumah sangkar menelan kos antara HKD1,800 (RM941) hingga HKD2,400 (RM1,255) sebulan. Ia seluas kira-kira dua meter panjang dan dua meter lebar.

Selain itu, rumah dalam kumpulan serupa dipanggil bilik kubikel bersaiz besar sedikit daripada rumah sangkar iaitu 2.7 hingga 4.6 meter persegi dengan bayaran HKD1,800 (RM940) hingga HKD3,500 (RM1,828).

“Rumah pangsa yang dipecah, biasanya dengan tandas bersama, boleh mencapai luas keseluruhan 7.4 hingga 12 meter persegi dan kos antara HKD3,000 (RM1,567) hingga HKD6,500 (RM3,395) sebulan untuk disewa.

“Ramai ibu bapa berpendapatan rendah bergantung kepada skim CSSA (Bantuan Komprehensif Sosial). Dalam beberapa kes, ada yang kematian penjaga, meninggalkan mereka dengan tanggungjawab menjaga tanggungan seperti adik-beradik yang masih kecil,” katanya.

 

Permit kerja

Secara rasmi tiada penanda aras tertentu untuk menetapkan seseorang berada di garis kemiskinan di Hong Kong. Namun, takrifan umum melihat golongan berpendapatan rendah ialah mereka yang memperoleh separuh daripada pendapatan median sebanyak HKD12,000 (RM6,260) sebulan.

Hasil soal selidik oleh pertubuhan sosial, Oxfam Hong Kong mendapati, suku daripada 500 keluarga yang memohon perumahan awam telah berada dalam senarai menunggu selama lebih empat tahun.

Lee Tat Fong, 63, salah seorang daripadanya. Wanita berusia 63 tahun itu berharap dia segera keluar dari pangsapuri kecil di Wan Chai yang merupakan satu daripada pusat komersial tersibuk di Hong Kong.

Dia yang turut menghidap diabetes dan masalah belakang turut menjaga dua cucunya Amy, 9, dan Steven, 13, selepas bapa mereka menghilangkan diri. Anak perempuannya berada di tanah besar China gagal mendapat permit pekerjaan di Hong Kong.

Mereka tinggal di bilik kubikel berkeluasan 5 meter persegi yang merupakan satu daripada tujuh ruang untuk menempatkan penyewa-penyewa lain.

Ruang terhad itu menempatkan sebuah katil dua tingkat yang turut dipenuhi beg plastik yang dipenuhi pakaian, kipas elektrik dan peralatan memasak.

Jabatan Kebajikan membiayai sewa bulanan sebanyak HKD3,500 (RM1,826) selain menyalur wang sara hidup kepada tiga sekeluarga itu sebanyak HKD4,000 (RM2,087).

“Kami berkongsi dapur dan dua tandas dengan penghuni lain. Sejujurnya baki wang yang tinggal sukar menampung perbelanjaan harian kami. Kehidupan agak mencabar buat diri saya yang sudah tua dan membesarkan dua cucu yang kian membesar.

“Ia meletihkan. Kadang-kadang saya tertekan dan ia membuatkan saya menjadi orang pemarah tanpa disedari. Saya sering menangis disebabkan perkara ini,” ujarnya.

Pakar bependapat, penggunaan dan pengurusan tanah tidak mampan antara faktor menyumbang kepada masalah pemilikan hartanah di Hong Kong.

 

Rumah mikro

Penumpuan zon perumahan di kawasan urban menjadikan ia padat dan sesak. Selain itu, sistem pajakan pemaju untuk projek pembangunan serta pembelian aset mengikut sistem bidaan oleh pemaju yang bersaing menyebabkan harga hartanah melambung tinggi.

Saban tahun, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif baharu untuk mengatasi masalah tersebut termasuk memperkenalkan skim bantuan perumahan awam namun tidak semua kumpulan sasar dapat dibantu.

Dalam hal ini, kemunculan inovasi memperkenalkan konsep rumah mikro atau idea canggih seperti bilik kapsul di tengah-tengah krisis perumahan yang melanda Hong Kong diharap boleh dijadikan sandaran.

Salah seorang daripada mereka ialah seorang arkitek, James Law. Dia memperkenalkan idea membina rumah diperbuat daripada tiub konkrit dipanggil Opod di tengah bandar.

Tiub selebar 2.5 meter dengan lantai 9.25 meter persegi turut dilengkapi keperluan asas seperti tempat tidur, tandas, dapur dan penyaman udara.

“Saya akui seni bina seperti Opod semata-mata tidak dapat menyelesaikan semua masalah sekali gus kerana ia melibatkan pelbagai isu yang saling berkait. Faktor kekurangan tanah sering dipersalahkan untuk peningkatan harga hartanah.

“Selain menambak laut, kita perlu memanfaatkan semua ruang yang tersisa dengan sebaik-baiknya. Ia termasuk bawah jejambat, atas bangunan atau ruang antara bangunan yang dibiar kosong selama bertahun-tahun. Mungkin perancang bandar boleh meneliti perkara ini,” luahnya.