Lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang itu kemudian menghubungi pelanggannya untuk bertanyakan arah yang ingin dituju.

“Saya sudah sampai di lorong kedua. Arah mana yang saya harus ambil sekarang?” soalnya kepada pelanggan yang berada dalam talian.

Itu adalah rutin harian individu yang bekerja sebagai penghantar barang seperti Sarajuddin sejak urusan membeli-belah secara online wujud di Afghanistan.

Lebih satu pertiga penduduk di negara itu sudah mendapat kemudahan mengakses internet.

Keadaan itu merancakkan lagi perkembangan perniagaan jualan online menggunakan laman sosial seperti Facebook.

Seperti yang diketahui umum, perniagaan itu digemari ramai kerana urusannya yang sangat mudah.

Kurier

Pelanggan hanya perlu membuat pesanan dari rumah. Barangan yang dipesan kemudian akan dihantar menggunakan perkhidmatan syarikat kurier.

Namun, tugas menghantar barang ke sebuah bandar yang sedang berdepan konflik peperangan itu bukan perkara yang mudah.

Terdapat beberapa cabaran yang mungkin tidak dirasakan oleh kebanyakan penghantar barang di negara lain.

Menurut Sarajuddin, dia perlu melalui beberapa pos kawalan keselamatan yang dikawal pihak tentera yang bertugas untuk sampai ke sesuatu destinasi di Kabul.

Ada masanya, dia terpaksa menunggu sehingga hampir 30 minit agar pemeriksaan terhadap barangan yang dibawanya dapat dilakukan.

Selain itu, dia dan rakan-rakan sekerja juga berdepan risiko keselamatan kerana keadaan jalan yang rosak serta ancaman serangan bom yang berlaku tanpa diduga.

Kebanyakan rumah juga sukar dicari mengikut alamat dan pandu arah yang diberikan ekoran bentuk bangunan serta jalan yang rosak dibedil bom.

“Keadaan itu menyebabkan saya sering sampai lewat ke destinasi yang ingin dituju dan mengakibatkan pelanggan marah.

“Sukar untuk saya menjelaskan kepada pelanggan mengenai masalah yang dihadapi warga penghantar. Tiada siapa boleh mengagak berapa lama masa yang diperlukan untuk tiba di sesuatu destinasi di Kabul,” ujarnya bersedia untuk meneruskan misi mencari rumah pelanggan.

Masalah yang membelenggu golongan penghantar barang di Kabul bukanlah perkara baharu.

Ia dijangka menjadi bertambah teruk apabila semakin ramai penduduk terlibat dalam pasaran e-Dagang di negara itu.

Seorang pengusaha perkhidmatan penghantaran, Ahmad Asmar Faqiri berkata, penghantar barang juga tertekan akibat sering dirompak ketika menjalankan tugas.

“Ketiadaan sistem pembayaran mudah alih di negara ini memaksa pelanggan membayar secara tunai apabila barang diserahkan kepada mereka.

“Pekerja pula terpaksa membawa wang tunai bersama dan menyebabkan mereka menjadi sasaran utama perompak yang berada di sekitar Kabul,” katanya yang baharu melancarkan perkhidmatan penghantaran makanan dengan nama Foodbooking.

Tambah Ahmad Asmar, kekurangan dari segi pembayaran mudah alih sudah diusulkan kepada kerajaan Afghanistan, namun masih tiada tindakan yang diambil sehingga ke hari ini.

Trauma

Dia berharap, kerajaan Afghanistan akan melakukan sesuatu bagi mengurangkan masalah yang dihadapi bukan sahaja pekerja penghantar barang, malah orang ramai.

Sementara itu, seorang pelanggan, Madina Sadat berkata, pembelian secara online merupakan antara cara untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dalam keganasan yang melanda bandar itu.

“Sebagai seorang pembeli, semestinya saya lebih gemar untuk menyentuh dulu produk sebelum membeli.

“Namun, trauma menyaksikan serangan bunuh diri yang terjadi beberapa bulan lalu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk membeli-belah dalam talian,” komennya di laman Facebook.

Perkara sama turut dikongsi seorang lelaki bernama Zabihullah Danish yang merupakan pelanggan kepada Sarajuddin.

Zabihullah mengucapkan syukur apabila menerima barang itu tepat pada masanya pada hari itu. – AFP