Kawanan bebiri jirannya telah menyerang ternakan dan merosakkan ladang sekali gus menjejaskan pendapatannya.

Mahmoud enggan melaporkan tragedi tersebut kepada pihak polis sebaliknya mahu melangsaikan rungutan itu menerusi kaedah tradisi Oman.

Bagi penduduk tempatan, perkara sedemikian boleh diselesaikan menerusi perbincangan jawatankuasa penduduk atau lebih dikenali sebagai sabla.

Sambil mengenakan jubah dan topi berkait, Mahmoud mengambil tempatnya di bahagian luar sebuah dewan di kejiranan kampung Ghala.

Keputusan

Rungutannya itu dibicarakan pada sabla sambil disertai oleh pemilik bebiri terbabit.

Setelah duduk dalam posisi masing-masing, ahli jawatankuasa sabla kemudian memulakan proses pengantaraan sebaik menyedari masalah tersebut harus diselesaikan.

Kisah Mahmoud dibincangkan sebelum keputusan untuk mendapatkan pampasan daripada pemilik biri-biri itu dimuktamadkan.

“Ladang ini merupakan satu-satunya mata pencarian saya.

“Dia akhirnya dikehendaki membayar pampasan sebanyak 150 riyal (RM1,543) dan berjanji akan menjaga bebiri dengan lebih baik,” katanya yang berpuas hati dengan keputusan terbabit.

Sabla di Oman merupakan institusi konsensus yang dilihat sebagai tradisi teras di teluk negara berkenaan.

Ia telah diamalkan sejak dahulu sehinggalah zaman telefon pintar mengambil alih.

Bahkan kata ahli sabla, Sayeed Khalfan Nabhani, sabla merupakan medium pertemuan bagi warga emas dengan golongan belia.

Jelasnya, golongan belia belajar mengenal adab dan tatasusila daripada warga emas menerusi medium berkenaan.

Sayeed berkata, taraf sabla diangkat dan diiktiraf oleh pihak kerajaan setelah Sultan Qaboos mengambil alih pemerintahan di Oman kira-kira empat dekad lalu.

“Sejak tahun 1970, gabenor, hakim akan duduk semeja bersama saksi, penduduk kampung bersama individu yang mahu mengutarakan masalah.

“Satu solusi pasti akan dipersetujui tanpa campur tangan penglibatan institusi kehakiman,” ujarnya.

Menurut aktivis komuniti Oman, Hilal al-Siyabi, sabla yang menjadi teras kepada tradisi masyarakat Oman seharusnya berkembang mengikut peredaran zaman.

Di kawasan pinggir bandar Saael, Muscat, pusat sabla baharu sedang giat dibangunkan dengan berlatar belakang kawasan gunung-ganang.

Ia mula dibangunkan kira-kira tiga tahun lalu yang mengambil kira penyertaan golongan wanita untuk mengadakan pertemuan mereka secara mingguan.

Menariknya, skrin paparan cecair kristal (LCD) dan komputer turut dipasang di pusat tersebut untuk dijadikan pusat internet.

“Kami sedang membangunkan konsep sabla yang baharu kerana ia berpotensi untuk memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti hari ini.

“Seluruh keluarga akan menikmati konsep sabla baharu ini sambil memberikan penekanan terhadap golongan belia.

“Peranan sabla bukan sahaja sebagai autoriti pengantara malah ia mampu dikembangkan menjadi sebuah dewan forum dan pusat komuniti bandar,” katanya.

Sementara itu, penganalisis polisi awam Muscat, Ahmed al-Mukhaini berpendapat, sabla merupakan mikrokosma penting dalam daerah Oman.

Sepakat

Katanya, maka tidak hairanlah kerajaan Oman menyokong penuh pelaksanaan sabla di negara tersebut.

Semasa pemerintahan Sultan Qaboos, sabla yang merupakan perhimpunan mesra itu ditambah baik sambil menyambung fungsi kerajaan moden dengan cara patriarki dan hierarki.

Selepas Qaboos menggulingkan bapanya pada tahun 1970, pemerintah berlatar belakang pendidikan British itu menegaskan untuk mengangkat dan memelihara peranan ketua puak dan dipelihara.

Pihak berkuasa Muscat terus mengiktiraf ketua-ketua puak atau rasheed sebagai wakil rasmi pihak kementerian yang berdaftar. Fungsi rasheed ialah sebagai jurucakap atau penyalur bagi pihak kerajaan.

Di Oman, mereka menghabiskan masa dalam pembinaan kesepakatan berbanding keputusan berdasakan pandangan khalayak.

Katanya, Majlis Syura moden juga didominasi oleh rasheed dan bukannya teknokrat atau ahli falsafah dalam kerajaan persekutuan yang dipilih menerusi sabla.

Oleh yang demikian tegasnya, sabla penting bagi budaya Oman dan berhak dipertahankan kerana ia akan menentukan pemerintah seterusnya selepas sultan berumur 77 tahun itu mangkat nanti. – AFP